Tag: jalan sesak

  • Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    SEORANG Ahli Parlimen menggesa kerajaan menggunakan sistem lebih maju bagi pembayaran tol kerana kaedah sedia ada terlalu lama menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

    Pada sidang Dewan Rakyat, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata, kesesakan jalan raya yang antaranya berpunca daripada sistem tol tidak moden menyebabkan “gangguan mental” kepada rakyat.

    “Soal masalah kesesakan ini sangat penting sekarang, tahap tekanan pengguna jalan raya semakin tinggi bukan sebab apa, sebab jalan sesak, bukan Kuala Lumpur saja. Antara faktornya adalah disebabkan tol.

    “Saya nak tanya, sudah berapa tahun kita bagi tol kepada syarikat konsesi? Takkan konsep kutipan tol masih sama, pakai palang yang sudah tua itu sekejap naik, sekejap turun?

    “Kenapa tak guna ‘sensor’? Saya setuju dengan negara maju, kita pakai ‘sensor’, kereta lalu dan rekod, kita ada RFID, Touch ‘n Go, SmartTAG dan sebagainya.

    “Saya nak tanya, berapa lama kita bagi kepada syarikat konsesi tapi tak ada kemajuan? Itu jadi gangguan mental kepada rakyat Malaysia. Ini fakta, tol naik, tapi pergi sampai tol RFID sangkut, bila sangkut saja kenderaan kena undur, sangkut undur, nak pergi lorong lain tak boleh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

    Jalaluddin mencadangkan kerajaan tidak lagi menggunakan sistem palang, sebaliknya menaik taraf sistem tol dengan mempelbagaikan penggunaan teknologi dalam satu lorong.

    “Kenapa tak guna pemikiran satu lorong semua boleh masuk, sama ada SmartTAG, RFID dan sebagainya dan sistem palang yang sudah tua itu dikeluarkan,” katanya sambil menyarankan penubuhan jawatankuasa kesesakan jalan raya.

    Ini kerana katanya, kesesakan jalan raya yang berterusan akan menyebabkan rakyat mengalami tekanan, gangguan mental dan akhirnya merugikan rakyat.

  • Jalan sesak setelah “Pendekar” alami kerosakan

    Jalan sesak setelah “Pendekar” alami kerosakan

    GARA-GARA sebuah kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) rosak, aliran trafik di Jalan Damansara, Kuala Lumpur pagi ini sesak.

    Namun kesesakan bersifat sementara itu berjaya dikawal anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas.

    Kereta kebal jenis PT-91M atau lebih dikenali sebagai “Pendekar” itu mengalami kerosakan ketika berada di lorong tengah hingga menghlang laluan.

    Kesesakan itu dimaklumkan menerusi pusat Info Trafik Kuala Lumpur dalam ciapan di Twitter pada pukul 10.29 pagi.

    Beberapa anggota polis trafik membantu mengawal aliran trafik ketika proses pengalihan dilakukan.

    Setelah hampir sejam, kereta kebal berkenaan berjaya ditunda pasukan ATM.

    Kereta kebal buatan Poland seberat 45.9 tan itu merupakan antara kenderaan berperisai milik Kor Armor Diraja, Tentera Darat Malaysia.