Tag: jalaluddin Alias

  • Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    SEORANG Ahli Parlimen menggesa kerajaan menggunakan sistem lebih maju bagi pembayaran tol kerana kaedah sedia ada terlalu lama menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

    Pada sidang Dewan Rakyat, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata, kesesakan jalan raya yang antaranya berpunca daripada sistem tol tidak moden menyebabkan “gangguan mental” kepada rakyat.

    “Soal masalah kesesakan ini sangat penting sekarang, tahap tekanan pengguna jalan raya semakin tinggi bukan sebab apa, sebab jalan sesak, bukan Kuala Lumpur saja. Antara faktornya adalah disebabkan tol.

    “Saya nak tanya, sudah berapa tahun kita bagi tol kepada syarikat konsesi? Takkan konsep kutipan tol masih sama, pakai palang yang sudah tua itu sekejap naik, sekejap turun?

    “Kenapa tak guna ‘sensor’? Saya setuju dengan negara maju, kita pakai ‘sensor’, kereta lalu dan rekod, kita ada RFID, Touch ‘n Go, SmartTAG dan sebagainya.

    “Saya nak tanya, berapa lama kita bagi kepada syarikat konsesi tapi tak ada kemajuan? Itu jadi gangguan mental kepada rakyat Malaysia. Ini fakta, tol naik, tapi pergi sampai tol RFID sangkut, bila sangkut saja kenderaan kena undur, sangkut undur, nak pergi lorong lain tak boleh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

    Jalaluddin mencadangkan kerajaan tidak lagi menggunakan sistem palang, sebaliknya menaik taraf sistem tol dengan mempelbagaikan penggunaan teknologi dalam satu lorong.

    “Kenapa tak guna pemikiran satu lorong semua boleh masuk, sama ada SmartTAG, RFID dan sebagainya dan sistem palang yang sudah tua itu dikeluarkan,” katanya sambil menyarankan penubuhan jawatankuasa kesesakan jalan raya.

    Ini kerana katanya, kesesakan jalan raya yang berterusan akan menyebabkan rakyat mengalami tekanan, gangguan mental dan akhirnya merugikan rakyat.

  • MP BN pertikai peranan J-KOM

    MP BN pertikai peranan J-KOM

    SEORANG ahli Parlimen kerajaan hari ini mempersoalkan peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri sama ada sebagai lidah kerajaan atau parti politik.

    Menurut Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), agensi itu sepatutnya menjadi lidah rasmi kepada kerajaan dan bukan parti.

    “Saya mencadangkan adalah lebih baik kerajaan melantik semula bekas-bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan sebelum ini.

    “Mereka mempunyai banyak pengalaman dan itu perlu diambil kira bagi mengisi jawatan J-KOM yang ditubuh kerajaan Malaysia Madani sekarang,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian pada perbahasan peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

    J-KOM ketika ini diketuai bekas pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Muhamad Agus Yusoff, manakala kalangan pegawainya difahamkan termasuk aktivis Pakatan Harapan (PH).

    Menyentuh isu sama, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, penubuhan J-KOM tidak dapat dinafikan lagi adalah bagi tujuan politik.

  • Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk enam daripada UMNO, menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bukan membelakangkan atau mengkhianati parti.

    Beliau yang juga seorang daripada 10 Ahli Parlimen berkenaan menegaskan, tindakannya menandatangani SD menyokong Muhyiddin adalah selaras dengan naratif parti pada ketika itu.

    Jelas beliau, selepas UMNO dan BN memutuskan pendirian terakhir untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, semua 10 Ahli Parlimen terbabit akur dengan terus menarik balik SD berkenaan.

    “Mengenai 10 Ahli Parlimen termasuk saya (menyokong Muhyiddin), ketika itu kita buat satu keputusan berdasarkan naratif parti. Apabila parti buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka yang 10 itu menarik diri dengan membatalkan SD dan mengikut keputusan parti.

    “Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan mengkhianati parti.

    “Khianat kepada parti ialah kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi PRU15. Itu khianat kepada parti.

    “Ketika kita menghadapi PRU15, kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan BN. Saya bertanding atas BN. Apabila parti buat keputusan, kita akur,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Selain Jalaluddin, mereka adalah Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Datuk Shamshulkahar Deli (Jempol); Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Isam Isa (Tampin); Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Itam) dan Datuk Seri Wee Jack Seng (Tanjong Piai).

    Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di WTC Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, 10 Ahli Parlimen itu hanya boleh dianggap mengkhianati parti sekiranya mereka tetap kekal dengan pendirian menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, selepas UMNO dan BN sudah memutuskan menyertai kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

    “Saya tak nampak sudut negatif dalam ucapan Presiden atau Timbalan Presiden. Kita kena teliti apa isi ucapannya, iaitu UMNO kena bergerak ke hadapan dengan satu konsep perpaduan dan solidariti.

    “Perkara yang sudah berlaku mesti dijadikan satu sempadan dan pengajaran untuk setiap pemimpin serta akar umbi supaya meletakkan parti sebagai satu keutamaan.

    “Ini ucapan yang lebih realistik, futuristik dan memiliki visi yang menampakkan perjalanan ke hadapan yang lebih jelas,” katanya, lapor Berita Harian.

  • 45.2 peratus warga asing pengguna bas percuma KL

    45.2 peratus warga asing pengguna bas percuma KL

    DIANGGARKAN 45.2 peratus penggunaan perkhidmatan bas percuma GoKL adalah oleh warga asing, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    Justeru beliau tidak menolak kemungkinan untuk mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan awam tersebut. 

    “Mereka mengguna perkhidmatan ini secara pecuma. Kalau kita kutip RM1 sahaja untuk setiap penggunaan oleh warga asing ini, kita boleh kutip RM9.2 juta pada setiap bulan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu jumlah warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL dan adakah pihak kerajaan merancang mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu pada masa hadapan.

    Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengenai punca rakyat tempatan tidak menggunakan pengangkutan awam di ibu kota, Jalaluddin berkata antara sebab utama adalah ketersambungan jajaran batuan awal dan akhir masih belum memuaskan.

    Selain itu, katanya pengguna jalan raya mendakwa tempoh masa menggunakan kenderaan sendiri adalah lebih singkat berbanding menggunakan pengangkutan awam.

    “Batuan awal antara kediaman pergi ke tempat bermula pengangkutan awam dan ke hentian akhir stesen pengangkutan awam ke pejabat, ini yang kita kena naik taraf dan dimasukkan dalam pelan jangka panjang DBKL,” katanya. – BERNAMA