JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengenalpasti lokasi pusat penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
“Maklumat tersebut telah disalurkan kepada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Semalam baru kita dapat profil Hadi Minallah ini dan saya terus hubungi JAWI,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang pertama di Kompleks Islam Malaysia, di Putrajaya hari ini.
Pada 5 Ogos lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memantau aktiviti kumpulan ajaran ‘Hadi Minallah’ agar tidak menular di negeri itu susulan tular video perhimpunan pertubuhan itu di Pulau Langkawi, Jun lalu.
Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd. Yusri Md. Daud berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kumpulan ajaran tersebut hanya menggunakan pulau peranginan itu sebagai lokasi perjumpaan yang menghimpunkan semua ahlinya dari negeri lain.
Menurut Mohd. Yusri, pertubuhan yang dikatakan berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura itu tidak aktif di Kedah.