Tag: JAIS

  • “Rasul Melayu”: Mahkamah benar rayuan JAIS, Enakmen Prosedur Jenayah Syariah sah

    “Rasul Melayu”: Mahkamah benar rayuan JAIS, Enakmen Prosedur Jenayah Syariah sah

    MAHKAMAH Rayuan hari ini memutuskan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 berpelembagaan dan penahanan 14 individu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas dakwaan gerakan “Rasul Melayu” sebagai sah.

    Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi, dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan JAIS, mendapati Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah itu adalah tidak batal.

    “Seksyen 23 Enakmen itu membenarkan orang yang ditangkap dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu selesai siasatan terhadap kesalahan yang didakwa. Pada masa yang sama, Seksyen 187 Enakmen itu memperuntukkan kuasa yang diperlukan untuk mengenakan syarat, termasuk jumlah bon dan jaminan.

    “Oleh itu, kami berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi secara jelas terkhilaf dalam keputusannya bahawa Seksyen 23 Enakmen itu adalah serupa dengan perintah reman,” kata Hakim Azizah, yang bersidang bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah semasa menyampaikan keputusan melalui prosiding dalam talian.

    Pada 14 April 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan sebahagian tindakan undang-undang oleh Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain terhadap penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri itu pada 20 Sept 2020.

    JAIS, Ketua Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Islam Selangor, hakim Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam Masnizar @ Mohd Nizar Mohtar, kerajaan negeri, hakim Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam Shanizah Ngatiman, sebagai perayu pertama hingga keenam, merayu untuk mengetepikan keputusan tersebut.

    Azizah dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan perintah Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Sivil dan Syariah adalah dua sistem perundangan yang berasingan.

    “Mahkamah Syariah bukanlah tribunal inferior tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, tetapi merupakan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang kompeten. Oleh itu, mahkamah sivil tidak boleh menyemak keputusan Mahkamah Syariah menurut Aturan 53 Kaedah itu.

    “Mahkamah Tinggi dalam kes ini hanya boleh mengisytiharkan kesahihan Seksyen 23 Enakmen dengan Kerajaan Negeri sebagai pencanggah,” katanya.

    Oleh itu, hakim berkata pendapat mahkamah yang dipertimbangkan ialah Hakim Mahkamah Syariah, menjalankan fungsi kehakiman mereka apabila memberikan perintah tersebut dan oleh itu dilindungi di bawah Seksyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

    “Kesimpulannya, kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan hakim bertarikh 14 April 2022,” katanya.

    Sementara itu, mahkamah juga mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan JAIS dan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada Abdul Kahar dan 13 yang lain.

    Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid mewakili enam perayu manakala peguam Fahri Azzat mewakili Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain.

    Sebelum ini, media melaporkan JAIS menahan Abdul Kahar dan yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada 20 Sept 2020 atas dakwaan kebangkitan gerakan “Rasul Melayu”.

    Mereka ditahan antara satu hingga 99 hari dari 21 Sept 2020 hingga 28 Dis 2020, kerana tidak dapat memenuhi syarat jaminan.

    Bagaimanapun sehingga hari ini mereka masih belum didakwa di Mahkamah Syariah.

    Selepas pembebasan mereka daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk mencabar kesahan penangkapan dan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari dalam tahanan. – BERNAMA

  • JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAlS) mengingatkan semua pihak sama ada individu atau kumpulan termasuk pemilik sekolah swasta Islam dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik untuk tidak memungut wang atau sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan Islam atau manfaat dan faedah bagi umat Islam.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan selepas mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di bawah Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

    Mohd Shahzihan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

    “Baginda bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh selain untuk menguatkan lagi kumpulan-kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tindakan mana-mana individu membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS adalah merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 106 (4) Enakmen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Mohd Shahzihan berkata, oleh itu pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak selain untuk tujuan dan manfaat kepada masjid, surau dan musolla di bawah pentadbiran masing-masing.

    Dalam masa yang sama katanya, penerimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah hendaklah diaudit dan laporkan kepada JAIS.

    Beliau berkata justeru, orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat apa-apa sumbangan untuk memastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran tidak lagi berlaku di Selangor dan boleh juga menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang diuruskan oleh JAIS. – BERNAMA

  • Senarai individu enggan divaksin dipersembah kepada Sultan Selangor

    Senarai individu enggan divaksin dipersembah kepada Sultan Selangor

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) dijangka mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia susulan terdapat kalangan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah JAIS yang masih enggan menerima vaksin walaupun program khas vaksinasi diwujudkan untuk mereka.

    “Saya telah dititahkan oleh Tuanku semalam untuk melaporkan segala fakta tentang program hari ini khususnya mengenai sesiapa yang tidak dan enggan hadir, untuk baginda meneliti dan membincangkan apa tindakan lanjut yang harus diambil,” katanya pada sidang media dalam program vaksinasi khas JAIS hari ini yang dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

    Mohd Shahzihan berkata daripada 146 individu yang hadir setakat 11 pagi tadi, hanya 20 peratus daripada jumlah itu bersetuju untuk mendapatkan suntikan dos pertama.

    Menurut beliau jumlah sebenar mereka yang diarahkan hadir dalam program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu adalah seramai 872 individu daripada kalangan guru KAFA, pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah.

    Sementara itu, Dr Sha’ari berkata jika individu yang enggan menerima vaksin hari ini terbuka hati untuk mendapatkan suntikan kelak, mereka boleh hadir ke 53 klinik kesihatan dan 10 hospital yang tersenarai di Selangor untuk mendapat suntikan secara jumpa terus (walk-in).

    Katanya pihaknya bersetuju untuk mengadakan program vaksinasi khas seperti yang dijalankan hari ini jika kelompok tersebut bersedia menerima suntikan dalam jumlah yang ramai.

    Pada 3 Sept lepas JAIS memaklumkan pihaknya bersama JKNS akan melaksanakan program vaksinasi khas bagi guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan menerima vaksin COVID-19.

    JAIS memaklumkan perkara tersebut susulan titah Sultan Sharafuddin mengingatkan guru KAFA di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin COVID-19 bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Shahzihan menasihati usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan yang sedang dihadapinya.

    Mohd Shahzihan berkata jika Muhammad Sajjad takut untuk pulang ke Malaysia susulan dakwaan menerima ugutan bunuh daripada mana-mana pihak, dia boleh membuat laporan polis agar siasatan berhubung perkara berkenaan dapat dijalankan.- BERNAMA

  • Boleh nikah di masjid mulai esok: JAIS

    Boleh nikah di masjid mulai esok: JAIS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengumumkan semua majlis akad nikah dibenarkan berlangsung di masjid, pejabat JAIS atau Pejabat Agama Islam Daerah, bermula esok.

    Melalui perkongsian dalam Facebook rasmi JAIS memaklumkan, majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari tetapi kehadiran masih terhad kepada pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

    “Bagi yang sudah lengkap vaksinasi berdasarkan kad atau sijil digital vaksinasi, mereka perlu memenuhi kriteria iaitu melepasi 14 hari dari tarikh suntikan kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca serta Sinovac, dan melepasi 28 hari bagi vaksin Johnson & Johnson serta CanSino.

    “Bagi yang belum lengkap vaksinasi pula, ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) hanya wajib ke atas pengantin serta wali.

    “Ujian saringan COVID-19 itu perlu dilakukan dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis, dan keputusan ujian perlu dikemukakan kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

    Pada 1 Julai lalu, JAIS hanya membenarkan majlis akad nikah dilangsungkan dengan kehadiran fizikal di jabatan berkenaan dan Pejabat Agama Islam Daerah.

    Menjelaskan lanjut, JAIS berkata, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

    “Jika terdapat pelanggaran ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguh atau membatalkan majlis akad nikah.

    “Tindakan tegas wajar diambil jika ada mana-mana individu atau pihak didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan semasa yang ditetapkan,” katanya.

    Bagi sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian 03-55143400 / 03-55143600 atau e-mel: [email protected].

  • Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    BAKAL pengantin di Selangor diminta untuk mendapatkan tarikh janji temu secara percuma bagi urusan berkaitan perkahwinan melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sahaja.

    JAIS menerusi poster yang disiarkan dalam laman Facebook jabatan itu berkata, permohonan bagi mendapatkan tarikh itu boleh dibuat menerusi laman web www.jais.gov.my.

    “Pihak JAIS tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan janji temu.

    “Segera laporkan kepada JAIS jika diketahui ada individu yang menjual atau mengambil kesempatan menjual slot janji temu JAIS.

    “Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dikemukakan melalui panggilan telefon 03-5514340/3600 atau emel [email protected],” kata JAIS menerusi pemakluman khas itu, hari ini.

    JAIS menerusi kenyataan pada 25 Jun lalu membenarkan majlis akad nikah di negeri itu bermula 1 Julai selepas melarangnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

    Menurut JAIS, kebenaran hanya tertakluk kepada pasangan yang telah mendapat tarikh janji temu daripada JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

    Selain itu kata JAIS, akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja, bermula Isnin hingga Ahad (setiap hari).

    “Kehadiran juga terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali sahaja manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

    “Pasangan juga mesti mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun selain keputusan Ujian Saringan HIV lelaki serta perempuan yang masih sah,” kata JAIS.

    Selain itu, pasangan pengantin serta wali wajib menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

    Menurut JAIS, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

    “Jika terdapat pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah berkenaan,” katanya.