Tag: Jabatan Perhutanan

  • 14 pemandu 4×4 dicekup ceroboh Hutan Simpan Petuang

    14 pemandu 4×4 dicekup ceroboh Hutan Simpan Petuang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEJADIAN ceroboh hutan simpan kekal di Terengganu membabitkan penganjuran aktiviti kenderaan lasak terus berulang.

    Semalam, seramai 14 pemandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) ditahan Jabatan Perhutanan Terengganu setelah didapati menceroboh kawasan Hutan Simpan Petuang, di Hulu Terengganu.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, penahanan lelaki berusia antara 21 hingga 65 tahun itu dibuat melalui serbuan pada pukul 11. 30 pagi.

    Katanya, mereka ditahan kerana memasuki kawasan Hutan Simpan Petuang tanpa sebarang permit.

    Menurut beliau, operasi dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu bersama anggota Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat setelah menerima aduan terdapat pencerobohan di kawasan tersebut.

    Melalui operasi itu katanya, anggota terbabit telah menahan 14 lelaki bersama kenderaan 4×4 dinaiki, dipercayai digunakan untuk memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran bertulis atau permit.

    Beliau berkata, sewaktu serbuan dibuat, mereka sedang berehat di tepi sungai berhampiran dan mendakwa memasuki kawasan hutan simpan itu untuk menikmati keindahan alam sempena cuti hujung minggu.

    “Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut, manakala kenderaan tersebut turut disita,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Roslan memberitahu, Khamis lalu, pihaknya menahan 13 penunggang motosikal lasak di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu kerana kesalahan sama.

    Menurut beliau, pihaknya memandang serius isu pencerobohan memandangkan kawasan hutan simpan kekal tidak boleh diceroboh tanpa kebenaran pihak berkuasa.

    “Kita bukan hanya menahan mereka yang mencuri hasil hutan sahaja, tetapi menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang masuk ke dalam hutan simpan tanpa kebenaran,” ujar beliau.

    Katanya, kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

  • 2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    CUBAAN dua lelaki untuk mencuri dan membawa keluar 77 batang kayu pelbagai spesis dan saiz bernilai RM13,000 di Kampung Pela, Hulu Terengganu terkantoi, apabila tindakan mereka berjaya dihidu anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu, Rabu lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, penguat kuasa yang membuat pemantauan pada pukul 5 petang di laluan utama Jerangau-Jabor, terserempak dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu bulat pelbagai spesis dan saiz.

    Menurut beliau, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati lori jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun itu membawa pelbagai spesis kayu seperti kayu berpaya, gerongang, jubin, bintangor, terap, pulai dan kelat.

    “Hasil pemeriksaan dibuat, mendapati mereka tidak memiliki sebarang pas pemindah atau kebenaran bertulis daripada pihak kami,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Berikutan itu kata Roslan, pihaknya telah menahan pemandu lori berkenaan bersama kelindan berusia 19 tahun.

    Selain itu tambah beliau, pihaknya turut merampas lori itu bersama 77 batang kayu berkenaan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, kes disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu mengikut peruntukan Seksyen 68 (1) di mana terdapat hasil hutan dalam milikannya atau kawalannya tanpa memiliki pas bagi pemindahan hasil hutan.