Tag: Jabatan Perangkaan

  • Bazar Ramadan, Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion

    Bazar Ramadan, Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion

    BAZAR Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.4 bilion dan mewujudkan 156,361 peluang pekerjaan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

    Penemuan itu adalah berdasarkan Laporan Kajian Khas Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 yang julung kali dijalankan DOSM bermula 3 April hingga 29 April lepas, meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Selangor mendominasi nilai jualan bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan rekod jualan sebanyak RM0.6 bilion dengan bilangan pekerja seramai 31,563 orang.

    Ia diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan nilai jualan RM0.4 bilion dengan bilangan pekerja 10,993 orang dan Johor RM0.3 bilion (22,423 pekerja).

    Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.2 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM126.3 juta dan Hulu Langat, RM117.9 juta.

    Bagi prestasi bazar Ramadan, Mohd Uzir berkata, Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM527.4 juta, diikuti Kuala Lumpur sebanyak RM359.2 juta dan Johor RM257.4 juta.

    Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM213.8 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM113.6 juta dan Hulu Langat RM110.6 juta.

    Selangor mencatatkan bilangan pekerja bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 27,078 orang, diikuti Johor 20,326 orang dan Perak 11,126 orang.

    Bagi prestasi bazar Aidilfitri, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan nilai jualan dan bilangan pekerja bazar yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak RM115.8 juta dan 4,485 orang.

    Di peringkat daerah pentadbiran, Melaka Tengah mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM61.8 juta, diikuti Klang RM59.4 juta dan Seberang Perai Utara RM23.5 juta. – BERNAMA

  • Ekonomi Malaysia meningkat dengan lebih banyak negeri beralih fasa seterusnya dalam PPN – Perangkaan

    Ekonomi Malaysia meningkat dengan lebih banyak negeri beralih fasa seterusnya dalam PPN – Perangkaan

    EKONOMI Malaysia semakin meningkat dengan lebih banyak negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

    Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, strategi kesihatan dan langkah ekonomi yang berkesan bersama pengamalan norma baharu sangat penting kepada perniagaan untuk menjadi lebih berdaya tahan terutama dengan bermulanya lebih banyak aktiviti perniagaan dan waktu operasi yang lebih panjang.

    Beliau berkata, kelembapan aktiviti ekonomi utama negara dapat dilihat pada bulan Julai 2021, namun, ramalan ekonomi yang lebih positif dijangka berlaku menjelang akhir 2021.

    “Seterusnya, pemulihan ekonomi bukan sahaja akan kembali rancak pada akhir tahun 2021 tetapi juga akan mencorak masa depan yang lebih cerah bagi Malaysia pada tahun-tahun akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini bersempena dengan penerbitan terkini Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR).

    Mohd Uzir menyatakan indikator ekonomi terpilih mencatatkan peningkatan sederhana tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 berikutan negara beralih ke fasa pertama PPN pada 15 Jun 2021.

    “Perdagangan Malaysia kekal dalam momentum positif pada bulan Julai 2021, walaupun pada kadar yang lebih perlahan 13.0 peratus. Eksport meningkat 5.0 peratus manakala import melonjak 24.0 peratus, menyebabkan kemerosotan dalam lebihan dagangan sebanyak 45.8 peratus.

    “Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 5.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya setelah mencatatkan pertumbuhan positif selama lapan bulan berturut-turut terutamanya disumbangkan oleh kejatuhan 6.5 peratus dalam indeks pembuatan,” kata beliau.

    Mohd Uzir menambah di sektor perkhidmatan, trajektori pertumbuhan terus menurun berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara dengan nilai jualan perdagangan borong dan peruncitan jatuh 14.7 peratus kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021.

    Daripada segi harga, Indeks Harga Pengguna meningkat 2.2 peratus terutamanya disumbangkan oleh kumpulan pengangkutan, kata beliau.

    “Indeks Harga Pengeluar tempatan pada bulan Julai 2021 meningkat 11.7 peratus didorong oleh lonjakan dalam indeks perlombongan berikutan kenaikan harga komoditi gas asli dan minyak mentah,” tambahnya.

    Mohd Uzir memaklumkan prestasi ekonomi negara yang tidak setara menunjukkan Malaysia masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

    “Indeks Pelopor (IP) merosot 4.0 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 untuk mencatatkan 105.0 mata, manakala berasaskan bulanan, IP menyusut 0.6 peratus.

    “Trend penurunan juga dicerminkan dalam kadar pertumbuhan IP terlicin sejak Mac 2021yang menjangkakan ketidakpastian terhadap prospek ekonomi,” kata beliau. – Bernama

  • Keyakinan perniagaan merosot pada suku ketiga 2021 – Jabatan Perangkaan

    Keyakinan perniagaan merosot pada suku ketiga 2021 – Jabatan Perangkaan

    PENIAGA lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka pada suku ketiga 2021, menurut kajian terkini Jabatan Perangkaan yang dijalankan secara suku tahunan untuk mengukur jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.

    Berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan bagi suku ketiga 2021, petunjuk keyakinan merosot kepada -21.3 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -3.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.

    Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata semua sektor yang diliputi menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku ketiga 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang buruk dan berpanjangan di negara ini.

    “Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit merosot ke trajektori negatif dengan -39.4 peratus berbanding +5.6 peratus pada suku kedua 2021 disebabkan peniaga yang kurang keyakinan terhadap keadaan perniagaan mereka untuk tempoh tiga bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata sektor industri dan perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menyusut kepada -11.0 peratus dan -22.8 peratus pada suku ketiga berbanding -1.5 peratus dan -6.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

    Mohd. Uzir berkata, pada masa yang sama, sektor pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun rujukan dengan -45.0 peratus berbanding -30.5 peratus pada suku kedua.

    “Secara keseluruhan, imbangan bersih -12.9 peratus menunjukkan pertubuhan meramalkan pendapatan kasar mereka akan merosot, di mana 23.6 peratus pertubuhan menjangkakan hasil kasar meningkat untuk suku ketiga, manakala 36.5 peratus menunjukkan sebaliknya.

    “Pada masa yang sama, 39.9 peratus pertubuhan meramalkan hasil kasar mereka kekal sama. Dari segi pekerjaan, majoriti pertubuhan (76.5 peratus) meramal untuk mengekalkan pekerja mereka untuk suku tahun rujukan,” kata Mohd. Uzir.

    Beliau berkata sebanyak 8.5 peratus pertubuhan menjangkakan pengambilan pekerja yang lebih ramai, manakala 15.0 peratus berhasrat mengurangkan tenaga kerja seterusnya mendorong kepada imbangan bersih -6.5 peratus untuk suku ketiga 2021.

    Melihat kepada sentimen bagi enam bulan ke hadapan, Mohd. Uzir berkata, peniaga pesimis terhadap prospek perniagaan mereka bagi Julai hingga Disember 2021 dengan imbangan bersih keseluruhan -21.7 peratus berbanding +11.0 peratus bagi April hingga September 2021.

    Sama seperti jangkaan untuk tiga bulan akan datang, kesemua sektor menjangkakan prospek negatif dengan sektor yang merekodkan pesimis paling kecil adalah industri.

    Menurut tinjauan itu, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5 peratus kepada -11.8 peratus untuk separuh kedua 2021.

    Pada masa yang sama, beliau berkata sektor perkhidmatan dan pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang memberangsangkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -14.2 peratus dan -24.2 peratus berbanding +8.4 peratus dan +6.1 peratus dicatatkan bagi April hingga September 2021.

    Mohd. Uzir berkata, sektor perdagangan borong dan runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -59.7 peratus berbanding +12.5 peratus yang direkodkan sebelumnya. – BERNAMA

  • Malaysia catat penurunan kadar kelahiran, peningkatan kadar kematian

    Malaysia catat penurunan kadar kelahiran, peningkatan kadar kematian

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA mencatatkan penurunan jumlah kelahiran hidup di negara ini sebanyak 4.4 peratus iaitu 111,573 kelahiran pada suku kedua tahun ini, berbanding suku kedua 2020 sebanyak 116,688 kelahiran.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, itu adalah berdasarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) hari ini.

    “Berdasarkan data, jumlah kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki 55,692 kelahiran.

    “Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran atau 18.3 peratus, manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 390 kelahiran atau 0.3 peratus.

    “Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada perintah kawalan pergerakan semasa Covid-19 tetapi statistik menunjukkan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, penurunan bilangan kelahiran itu adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Korea Selatan, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

    Beliau berkata, sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021, meningkat 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 iaitu 40,241 kematian membabitkan 25,216 kematian lelaki manakala 19,091 lagi adalah perempuan.

    Pada tempoh yang sama katanya, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 kematian atau 15.4 peratus manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian atau 0.1 peratus.

    “Sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh Covid-19 direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua 2021, meningkat daripada 78 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020,” katanya.

  • Penduduk Malaysia 32.66 juta, meningkat 0.2 peratus

    Penduduk Malaysia 32.66 juta, meningkat 0.2 peratus

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDUDUK Malaysia kini meningkat 0.2 peratus kepada 32.66 juta orang pada suku tahun kedua tahun ini.

    Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah itu meningkat sedikit berbanding suku tahun kedua tahun lalu iaitu 32.58 juta orang.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk itu merangkumi 29.96 juta orang atau 91.8 peratus warganegara dan 2.69 juta orang atau 8.2 peratus bukan warganegara.

    “Komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada suku tahun kedua 2021.

    “Ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

    Beliau berkata, data penduduk itu adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran dan kematian serta migrasi bersih.

    Data tersebut bagaimanapun akan disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh.

    Selain itu, Mohd. Uzir berkata, data pada suku tahun kedua tahun ini menunjukkan penduduk lelaki kini berjumlah 16.77 juta orang melebihi penduduk wanita iaitu 15.88 juta orang menjadikan nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

    Bagi nisbah jantina penduduk warganegara dan bukan warganegara adalah 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 wanita.

  • Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini:Jabatan Perangkaan

    Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini:Jabatan Perangkaan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan purata pendapatan meningkat tahun ini tetapi bergantung kepada corak pemulihan ekonomi negara.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, corak pemulihan bagi setiap sektor ekonomi negara dijangka tidak sekata dan akan mempengaruhi gaji dan upah.

    “Jika kita (negara) berjaya dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi digital dan pembangunan teknologi dalam aktiviti ekonomi dalam jangka masa panjang, kita amat yakin purata pendapatan yang diukur daripada segi gaji dan upah pasti akan meningkat.

    “Tetapi ia bergantung bagaimana kita merealisasikannya dalam jangka masa sederhana.

    Dalam jangka masa pendek, keutamaan yang diberikan adalah kepada pekerja kembali bekerja dalam sektor-sektor perniagaan (yang terjejas),” katanya selepas mengumumkan laporan sosioekonomi negeri tahun 2020 secara maya, hari ini.