Tag: Jabatan Audit Negara

  • Terdapat kelemahan pengurusan aktiviti 40 hutan simpan kekal di Selangor

    Terdapat kelemahan pengurusan aktiviti 40 hutan simpan kekal di Selangor

    LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan aktiviti melibatkan 40 daripada 76 Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor.

    Dalam kenyataan Jabatan Audit Negara (JAN) hari ini, HSK berkenaan masih belum melaksanakan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan luar hutan itu.

    Laporan itu memaklumkan sembilan pewartaan masuk dan tujuh pewartaan keluar HSK masih belum selesai disiar warta melibatkan tempoh antara satu hingga tujuh tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) manakala seluas 106,754.66 hektar (42.5 peratus) HSK masih belum diwartakan mengikut 12 kelas fungsi.

    “Pencapaian keberhasilan memberikan impak negatif terhadap aspek sosial dan alam sekitar kesan daripada ketidakpatuhan aktiviti kuari serta konflik hidupan liar,” menurut laporan itu.

    Laporan itu turut mendapati 40 kes penerokaan haram dalam HSK direkodkan dengan keluasan 3,537.01 hektar, iaitu aktiviti pertanian (3,356.67 hektar), penempatan dan infrastruktur (146.08 hektar) serta penternakan (34.26 hektar).

    Selain itu, terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) di negeri itu bagi aktiviti kuari seperti bekas penyimpanan minyak diletakkan di kawasan terbuka, pengendalian bahan buangan terjadual tidak diuruskan dengan sewajarnya, kesan pembakaran terbuka di tapak kuari dan kualiti air serta udara melebihi had ditetapkan.

    Menurutnya lagi, pencapaian output dari aspek kutipan hasil hutan menunjukkan penurunan dan anggaran kehilangan hasil permit penggunaan berjumlah RM7.16 juta bagi pengurusan hutan lipur dan RM1.36 juta untuk ladang hutan.

    Dalam pada itu, JAN memaklumkan LKAN mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Selangor Tahun 2021 secara kesuruhannya mendapati kedudukan kewangan negeri adalah kukuh.

    “Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan bagi Selangor meningkat sebanyak RM358.69 juta atau 14.7 peratus menjadi RM2.804 bilion pada 2021 berbanding RM2.445 bilion pada 2020,” menurut laporan itu.

    Pada akhir 2021, Selangor mencatatkan lebihan semasa dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM250.34 juta dan lebihan dicatatkan itu adalah apabila hasil yang diterima berjumlah RM2.284 bilion melebihi perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.034 bilion dalam tahun semasa.

    LKAN dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini dan laporan itu dimuat naik dalam laman web JAN http://www.audit.gov.my. – BERNAMA

  • Kehilangan, pembaziran RM158.08 juta dikesan di tiga kementerian, empat jabatan

    Kehilangan, pembaziran RM158.08 juta dikesan di tiga kementerian, empat jabatan

    JABATAN Audit Negara mengesan kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran berjumlah RM158.08 juta di tiga kementerian serta empat jabatan Persekutuan yang diaudit bagi tahun 2021.

    Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, tiga kementerian yang diaudit pematuhan itu adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan.

    Selain itu katanya, empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Nik Azman berkata, pengauditan pematuhan itu membabitkan jumlah semakan audit sebanyak RM1.127 bilion.

    Katanya lagi, pengauditan dibahagikan kepada kategori Terimaan dengan jumlah semakan sebanyak RM78.86 juta dan kategori Bayaran dengan jumlah semakan RM1.048 bilion.

    “Isu yang membabitkan kehilangan atau kerugian wang awam adalah sejumlah RM116.95 juta, pembayaran tidak teratur sejumlah RM26.03 juta dan pembaziran sejumlah RM15.10 juta.

    “Ketua Audit Negara mengemukakan 22 syor untuk tindakan penambahbaikan oleh kementerian dan jabatan persekutuan berkaitan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, hari ini.

    Nik Azman berkata secara keseluruhannya, terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di Pulau Bebas Cukai (PBC)) dengan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkutip kurang disebabkan syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi serta pengiraan duti eksais tidak tepat.

    Beliau berkata, audit itu dijalankan di Langkawi dan Labuan.