Tag: Ivermectin

  • Ivermectin terhad untuk tujuan klinikal sahaja

    Ivermectin terhad untuk tujuan klinikal sahaja

    AHLI farmasi berlesen di negara ini diarahkan agar menghentikan aktiviti pengimportan, pengilangan dan penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk yang mengandungi Ivermectin bagi tujuan rawatan jangkitan Covid-19 serta merta.

    Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi berkata, sebarang pengimportan atau penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk mengandungi Ivermectin perlu mematuhi semua keperluan perundangan dan regulatori ditetapkan bagi tujuan itu.

    “Pengiklanan produk racun termasuk Ivermectin tidak dibenarkan sama sekali kerana bertentangan dasar Lembaga Iklan Ubat (LIU),” kata kenyataan itu, semalam.

    Senarai edaran itu turut menyebut, ia merujuk kepada dasar Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan media pada 16 Mei lalu.

    Antara lain, KKM menyatakan tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal di Malaysia.

    Surat edaran itu menamakan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Presiden Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG), Presiden Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA).

    Sehubungan itu, ahli farmasi diarah menghentikan pengiklanan produk itu dan tidak diulang siar dalam mana-mana media.

    Persatuan farmasi juga perlu memastikan ahli masing-masing mematuhi undang-undang dikuatkuasakan serta dasar KKM dalam usaha pencegahan penggunaan tidak sah produk Ivermectin.

    Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan sebarang penjualan atau pembekalan serta pengiklanan ubat tertakluk kepada kawalan bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, bakal berdepan dengan tindakan penguatkuasaan.

  • Tindakan undang-undang menanti penjual ubat Ivermectin

    Tindakan undang-undang menanti penjual ubat Ivermectin

    PIHAK yang mempromosi penjualan ubat Ivermectin sebagai penawar Covid-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

    Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) yang dipetik Sinar Harian, Amrahi Buang, kesalahan itu berdasarkan Akta Racun 1952 mengenai penjualan ubat tersebut.

    Katanya, sesiapa yang melakukan perkara itu telah menyalahi undang-undang dan boleh dihukum tanpa mengira sama ada mereka doktor, ahli farmasi dan sebarang pihak.

    “Mereka (ahli farmasi atau doktor) perlu memaklumkan kepada pesakit mengenai ubat ini tidak boleh digunakan untuk merawat Covid-19,” katanya.

    Dalam pada itu, Amrahi pada masa sama membidas penjualan ubat tersebut secara meluas termasuk dalam talian.

    Ujarnya, ubat itu boleh didapati menerusi dalam talian dan jika diimport, ia boleh melepasi pelbagai peringkat seperti kastam.

    “Sedangkan ubat berkenaan belum diluluskan penggunaannya bagi rawatan Covid-19 di negara ini,” katanya.

    Mengulas lanjut, Amrahi berkata, pihaknya berasa bimbang dengan pembelian Ivermectin oleh pengguna sama ada di luar negara atau dalam talian adalah ubat yang palsu.

    “Macam mana seseorang itu boleh tahu itu bukan ubat palsu? Sebab ia tidak didaftarkan di Malaysia,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau turut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan terhadap penjualan ubat ini sama ada secara dalam talian atau dibawa masuk dari luar negara.

    Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat ini secara off label untuk kajian klinikal sahaja.