Tag: isytihar harta

  • DAP pun tak isytihar harta, KJ sindir PKR

    DAP pun tak isytihar harta, KJ sindir PKR

    CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menyindir PKR berkaitan pengisytiharan harta dengan berkata, DAP juga tidak berbuat demikian.

    “Kalau PKR nak buat boleh. Tiada masalah.

    “Tapi rakan PKR pun tak buat. DAP pun tak buat. Tapi biarlah, itu pendirian (parti) masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas hadir melancarkan pengorepasian Hospital Cyberjaya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya pendiriannya berhubung pengisytiharan harta seperti dilakukan oleh PKR, dan adakah parti-parti lain perlu melakukan perkara yang sama.

    Semua calon PKR dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada parti, tetapi keputusan untuk menerbitkannya tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Semalam Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, parti itu tidak bercadang untuk mewajibkan semua calon mereka yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta.

    Menurut Loke, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata, pengisytiharan harta sudah menjadi amalan yang dilakukan oleh BN.

    Bagaimanapun, Khairy berkata, mereka akan mengisytiharkan harta selepas membentuk kerajaan dan dilantik menjadi menteri di peringkat persekutuan.

    “Saya pun dah isytihar harta kepada SPR dan harta saya berada dalam julat harta yang dibenarkan oleh SPRM,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

  • PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, syarat PKR supaya calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengisytiharkan harta adalah satu “kebodohan”.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pendekatan itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

    “Isytihar harta ini kadang-kadang satu kebodohan. Nak tunjuk-tunjuk kepada orang ramai,” katanya dalam sidang media selepas kuliah mingguan di Rusila, Marang, menurut Malaysiakini.

    Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana parti itu akan turut sama mengikuti langkah PKR dalam pengisytiharan harta.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, setiap calon parti pada PRU-15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

    Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.

    Semalam, Pas berkata parti itu tidak akan mengambil pendekatan meminta calon PRU-15 mengisytiharkan harta kerana ia mungkin akan memberikan implikasi negatif.

    Naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah aset itu hanya dimaklumkan kepada menteri besar.

    “Kita tidak boleh mendedahkannya (harta) kepada orang awam kerana ia ada baik dan buruknya. Bila orang tahu kita ada harta banyak, mungkin ada implikasi negatif.

    “Oleh itu kita ambil pendekatan tidak berbuat demikian (isytihar harta). Lagi pun orang PAS tak ada harta banyak dan malu juga sedangkan orang lain berjuta-juta,” katanya menurut Utusan Malaysia.

  • Isytihar harta: Usah tunjuk hero tiap kali kempen PRU sahaja

    Isytihar harta: Usah tunjuk hero tiap kali kempen PRU sahaja

    “BUAT apa nak isytihar harta jika hanya nak sedapkan waktu berkempen je.”

    Itu reaksi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berhubung beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa yang mengisytiharkan hartanya hari ini.

    Beliau berkata, jika dilihat semasa pelantikan Kabinet terdahulu, beliau bersama jemaah menteri dan timbalan ketika itu sudah pun membuat pengisytiharan harta.

    “Masa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri dulu, kita sudah isytiharkan semua harta pemegang jawatan.

    “Jadi tak payahlah nak tunjuk hero pada kali ini. Kita sudah lakukan dah lama dah, cuma dulu-dulu masa BN (Barisan Nasional) pun dah buat, cuma kita tak umumkan.

    “Jika mereka (PH) isytihar harta, bermakna merekalah yang mengikut kita yang telahpun buat perkara itu terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kampung Sungai Jernih, Kubu Gajah, hari ini, lapor BH Online.

    Ditanya adakah beliau mahu mengekalkan jawatan sebagai menteri sekiranya PN menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Hamzah menegaskan perkara itu tidak perlu berebut dan akan membahagikan secara adil dan saksama demi kepentingan rakyat serta masa depan negara.