Tag: Ismail Sabri

  • DUN Pahang ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    DUN Pahang ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabru lalu.

    Pelantikan itu, menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat membanggakan rakyat negeri ini yang kini mempunyai tiga perdana menteri anak jati Tok Gajah, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan anak beliau Datuk Seri Najib serta terkini Ismail Sabri.

    Lebih membanggakan apabila pelantikan dan pengurniaan surat cara pelantikan Ahli Parlimen Bera itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang juga Sultan Pahang, katanya. 

    “Pemilihan beliau (Ismail Sabri) adalah melalui proses yang teliti serta menepati kehendak undang-undang selain ia bermerit sama ada dari segi jawatannya dalam parti mahupun kerajaan Persekutuan serta dari segi kelayakan akademiknya. 

    “Saya berharap semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau agar dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan khususnya dalam menangani pandemik COVID-19 serta kesan sosioekonomi yang diakibatkan,” katanya pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

    Terdahulu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berlangsung secara sederhana dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

    Pada permulaan persidangan, Speker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad memaklumkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) dan Datuk Mohd Fadil Osman (BN-Kemayan) tidak dapat menghadiri persidangan yang berlangsung selama empat hari mulai hari ini, kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

    Persidangan bersambung esok. – BERNAMA 

  • Ismail Sabri mulakan tugas PM secara rasmi

    Ismail Sabri mulakan tugas PM secara rasmi

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di sini.

    Ketibaan Ismail Sabri di blok utama Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada jam kira-kira 8.25 pagi itu disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

    Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Ismail Sabri yang mengenakan sut serba hitam dan kelihatan bersemangat kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan tersebut.

    Ahli Parlimen Bera itu kemudiannya mengaminkan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad sebelum menandatangani Buku Selamat Datang.

    Ismail Sabri sempat melambai tangan ke arah para pengamal media yang ‘berkampung’ di luar perkarangan Perdana Putra yang menunggu ketibaan beliau untuk memasuki Pejabat Perdana Menteri.

    Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia, pada Sabtu.

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Selepas melapor diri di Perdana Putra, Ismail Sabri hari ini dijadualkan mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kedah bagi meninjau keadaan kawasan yang terjejas akibat banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lepas.

    Setakat ini, fenomena kepala air itu telah meragut  lima nyawa, dan seorang lagi masih hilang. Banjir itu dilaporkan turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.

    Semalam, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dengan mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum bersama-sama untuk memulihkan semula keadaan negara. – BERNAMA

  • Ahli Parlimen PN teguh bersama Ismail Sabri – Hamzah

    Ahli Parlimen PN teguh bersama Ismail Sabri – Hamzah

    SEMUA Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berdiri teguh bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan. 

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan Ismail Sabri dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini dan menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutama dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

    “Kami yakin bahawa pelantikan beliau dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan serta iltizam kerajaan PN terutamanya memulihkan negara daripada impak COVID-19 dengan segara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

    Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata PN menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Selain itu, Hamzah berkata PN juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan beristiqamah.

    Beliau berkata semua program bantuan rakyat, pakej rasangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang diluluskan oleh Muhyiddin adalah bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara.

    Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah dan Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara pada pukul 2.28 petang ini. 

    Beliau menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    MOHD LAZIM ENDUT

    UMNO Kelantan berharap barisan Kabinet baharu yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.

    Selain perhatian kepada aspek ekonomi dan kesihatan, tumpuan juga perlu diberikan kepada kebajikan rakyat.

    Sambil menyambut baik pelantikan tersebut, pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO Kelantan bersatu hati dalam memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

    “Kita sentiasa konsisten dengan prinsip dan pendirian kepatuhan kepada parti dan juga pucuk pimpinan.

    “Malah, kita mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan UMNO serta seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di atas keputusan sebulat suara bagi menyokong pencalonan Ismail sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Ahmad Jazlan, pada masa sama UMNO Kelantan juga berharap agar Ismail Sabri akan dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, penuh bertanggungjawab, amanah dan berintergriti.

    “Apa yang penting ialah agar beliau dapat memacu negara ke arah lebih baik termasuk dari segi ekonomi, kesihatan dan kebajikan rakyat,” jelas beliau.

  • Hormat pelantikan Ismail Sabri sebagai PM – Pas

    Hormat pelantikan Ismail Sabri sebagai PM – Pas

    PAS menyeru semua pemimpin dan rakyat menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

    Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan Naib Presiden UMNO itu membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.

    Menurutnya, parti itu menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    “PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan dikeluarkan pada 29 Julai lalu yang menyatakan 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri adalah sah.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama-sama 40 ahli Parlimen BN pada hari berkenaan.

    “Berita itu sah, memang 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

    “Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN.

    “Kami berpandangan, kami ahli Parlimen BN, takkan hendak guna kepala surat Pas, mestilah kita guna kepala surat BN sebab kita merupakan ahli Parlimen yang mewakili BN,” katanya.

    Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita selepas program penyampaian bakul makanan di Kampung Charuk Puting, Bera hari ini.

    Khamis lalu, Ibu pejabat BN menafikan kewujudan satu surat yang menggunakan logo dan alamat seperti tersebar dan tular pada hari berkenaan.

    Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Shafri Ab. Aziz memaklumkan, sebarang kenyataan hanya dikeluarkan melalui melalui Pengerusi atau Setiausaha Agung parti.

    Terdahulu, tular satu kenyataan menggunakan logo BN yang didakwa memetik kenyataan Ismail Sabri.

    Mengulas lanjut, Ismail berkata, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pun membenarkan ahli Parlimen menggunakan budi bicara sendiri untuk menentukan sokongan masing-masing.

    “Soal tarik sokongan tidak timbul, ahli Parlimen (BN) berpandangan kalau kita dibenarkan memberi sokongan kepada kerajaan (PN), kita tidak boleh ambil tindakan meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya.

  • Tidak perlu bantah di jalanan – TPM

    Tidak perlu bantah di jalanan – TPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keperluan untuk melakukan bantahan di jalanan kerana kerajaan sentiasa mengambil inisiatif mendengar suara dan pandangan rakyat.

    Malah kata Timbalan Perdana Menteri, malah tindakan mengadakan perhimpunan di tempat awam hanya akan mengundang peningkatan risiko penularan Covid-19.

    “Kita mendengar suara di mana-mana sekali pun. Kita mengambil perhatian setiap pandangan rakyat, bukan hanya daripada protes di jalanan.

    “Malah, Parlimen yang bersidang baru-baru ini di mana fokusnya untuk menyelesaikan isu rakyat dan Covid-19.

    “Kita mahu mendengar pandangan daripada Ahli Parlimen mengenai cadangan untuk rakyat kerana inilah peluang wakil rakyat menyuarakan pandangan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

  • Negara terhutang budi kepada pahlawan negara-TPM

    Negara terhutang budi kepada pahlawan negara-TPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    NEGARA dan rakyat amat terhutang budi kepada pahlawan negara kerana apa yang dinikmati hari ini tidak dapat dicapai tanpa pengorbanan mereka sejak sebelum merdeka sehingga kini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jasa dan pengorbanan pahlawan negara akan terpahat dalam sejarah yang abadi.

    “Alhamdulillah hari ini tanggal 31 Julai 2021, merupakan Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun bagi mengenang jasa pahlawan negara yang tiada titik noktahnya.

    “Tidak kira di darat, laut mahupun di awan biru, pahlawan kita terus bersiap siaga mempertahankan ibu pertiwi dan sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara serta rakyat tercinta,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Pahlawan 2021 yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya, hari ini.