Tag: Ismail Sabri

  • Tabika, taska, pusat jagaan harian di negeri Fasa 1,2 PPN dibenar beroperasi – PM

    Tabika, taska, pusat jagaan harian di negeri Fasa 1,2 PPN dibenar beroperasi – PM

    TABIKA, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 Sept.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor.

    “Operator dan pekerja di pusat-pusat ini perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata berkuat kuasa pada tarikh yang sama, aktiviti kolam memancing juga dibenarkan dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap di negeri Fasa Satu bermula 6 pagi hingga 8 malam di daerah sama manakala 6 pagi hingga 10 malam di negeri yang sama bagi negeri Fasa Dua.

    Turut dibenarkan adalah pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat di negeri Fasa Dua PPN yang berkuat kuasa pada 17 Sept.

    Ismail Sabri berkata selain itu, mesyuarat juga bersetuju memberi kelonggaran baharu bagi aktiviti sukan dan rekreasi di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN.

     “Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup dibenarkan kepada individu telah lengkap vaksin menerusi tempahan.

    “Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain juga dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya,” katanya.

    Beliau berkata aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan atau premis yang sama dibenarkan bagi individu yang lengkap divaksin dengan seliaan jurulatih atau pengajar dan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang, mengikut mana yang lebih rendah.

    Selain itu, beliau berkata aktiviti ziarah kubur untuk umat Islam dan bukan Islam juga dibenarkan di semua fasa PPN  dengan mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

    Turut dibenarkan di semua fasa PPN adalah pengoperasian kapal persiaran dengan semua anak kapal dan penumpang lengkap divaksin dan mematuhi 50 peratus kapasiti.

    Kebenaran terhadap aktiviti sukan, rekreasi, aktiviti kecerdasan, ziarah kubur serta pengoperasian kapal persiaran dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang dinyatakan berkenaan juga berkuat kuasa pada 17 Sept. 

    Perdana Menteri turut mengumumkan peralihan ke Fasa Tiga bagi Terengganu berkuat kuasa 17 Sept.

    “Kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Tiga sebelum ini. Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan dikemas kini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya.

    Ismail Sabri berharap rakyat terus patuh pada SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

    “Kesediaan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini. Justeru, saya berharap kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

    “Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup separuh muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Pihak penguat kuasa akan sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.- BERNAMA

  • Langkah ‘kurung’ rakyat tidak lagi sesuai – PM

    Langkah ‘kurung’ rakyat tidak lagi sesuai – PM

    KERAJAAN membuka sektor ekonomi memandangkan langkah ‘mengurung’ rakyat dilihat tidak lagi sesuai malah dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata pembukaan sektor itu bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

    “Pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah wajar berikutan peratusan penerima vaksin yang tinggi.

    “Malah, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai kewajaran pembukaan semula 11 sektor ekonomi ketika kes harian baharu COVID-19 masih mencatatkan angka membimbangkan.

    Ismail Sabri berkata sehingga kini, sebanyak 74.7 peratus penduduk dewasa telah lengkap menerima vaksin COVID-19 manakala 91.6 peratus menerima satu dos vaksin.

    Bagaimanapun, beliau berkata sektor berkenaan dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk hanya pelanggan yang telah lengkap divaksin dibenarkan masuk membuat urus niaga dan mendapatkan perkhidmatan, selain pekerja permis berkaitan juga mesti melengkapkan vaksinasi.

    Sebanyak 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu PPN berkuat kuasa 16 Ogos lepas meliputi antaranya kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas, kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan.

    Menjawab soalan tambahan Mohd Salim berhubung sama ada keputusan pembukaan sektor ekonomi itu mengambil kira risiko penularan COVID-19 terhadap mereka yang berumur 17 tahun ke bawah yang belum divaksin, Perdana Menteri berkata rakyat perlu mengamalkan disiplin dan kawalan kendiri bagi mengelak diri sendiri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti wabak tersebut.

    “Apabila kita buka (sektor ekonomi), kita lihat di tempat percutian penuh, tidak ada memakai pelitup muka pun, maknanya masa depan negara kita dari segi COVID-19 ini bergantung kepada kita sendiri, kita tidak boleh harapkan vaksin semata-mata tetapi kawalan kendiri itu sangat penting. Kalau tidak ia akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya.

    Sementara  itu, Ismail Sabri berkata pembukaan semula 11 sektor ekonomi itu turut melihat kepada sains dan data berkaitan kluster COVID-19 sektor berkenaan.

    “Sebagai contoh, ramai yang mengatakan gunting rambut ini bahaya sebab kontrak rapat tetapi sepanjang 2020, hanya satu melibatkan kes kluster gunting rambut.

    “Begitu juga dengan kedai cuci kereta, ramai kata pekerja warga asing dan sebagainya, jadi tentu jangkitan lebih mudah, tetapi sepanjang 2020, tidak ada satu pun (kes) melibatkan kedai cuci kereta. Data-data seperti inilah yang menyebabkan kita fokus kepada sektor-sektor tertentu untuk dibuka walaupun di tempat lain ada kluster-kluster lain,” katanya.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Ismail Sabri berkata Muhyiddin telah mempengerusikannya sejak kewujudan MPN.

    “Memang Pagoh telah pun mempengerusikan mesyuarat ini sejak daripada mula MPN ini diwujudkan, jadi sebab itu kita memberikan kepercayaan kepada Pagoh untuk meneruskan tugasnya,” katanya.- BERNAMA

  • PM galak anak muda terlibat perniagaan digital, ekonomi gig

    PM galak anak muda terlibat perniagaan digital, ekonomi gig

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan dan menggalakkan lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam perniagaan digital dan ekonomi gig.

    Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau berkata perniagaan berkenaan dilihat mampu menjana pendapatan yang baik ketika ini.

    Ismail Sabri berkata demikian susulan sesi diskusinya melalui sidang video bersama pengasas aplikasi Grab iaitu Anthony Tan dan Tan Hooi Ling yang bermula di Segambut.

    “Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan komitmen untuk bantu menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada anak muda, merancakkan lagi sektor ekonomi gig dan membuka platform kepada peniaga kecil di luar bandar,” katanya.

    Menurut Ismail Sabri, aspek-aspek lain seperti kebajikan dan keselamatan rakan penghantar turut dibincangkan dan diberi perhatian supaya menjadi keutamaan.- BERNAMA

  • Lebih banyak bantuan untuk rakyat selepas BKC – PM

    Lebih banyak bantuan untuk rakyat selepas BKC – PM

    KETIKA pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) mula disalurkan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih banyak bantuan akan disalurkan kerajaan kepada rakyat bermula bulan depan.

    Dalam sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kediamannya di Petaling Jaya khusus bagi meninjau proses pembayaran BKC yang bermula hari ini, Ismail Sabri berkata BKC adalah antara bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

    Ismail Sabri dalam sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kediamannya di Petaling Jaya khusus bagi meninjau proses pembayaran BKC yang bermula hari ini.

    “Harap semua proses pembayaran BKC yang dirancang Kementerian Kewangan berjalan lancar. Semoga tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh sebabkan kelewatan dan sebagainya,” katanya.

    Ismail Sabri yang masih menjalani kuarantin kendiri sejak 30 Ogos lepas setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19 turut menasihatkan warga BSN supaya memastikan penerima BKC yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.

    Turut serta dalam sidang video tersebut ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  yang berada di BSN Putrajaya di sini dan Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah yang berada di BSN di Bera, Pahang.

    “Semoga apa yang diberikan kerajaan hari ini, walaupun mungkin tidak begitu besar tetapi sekurang-kurangnya dapat bantu mengurangkan perbelanjaan ketika ini,” kata Ismail Sabri yang turut merujuk makluman Tengku Zafrul bahawa banyak lagi bantuan akan diberikan kepada rakyat.Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 Sept dan dijangka selesai pada 10 Sept, dengan dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

    BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

    Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

    Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500). Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200); manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

    Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan mengagihkan pelbagai bentuk bantuan yang dirancang sehingga hujung tahun ini.

    “Perdana Menteri bersetuju untuk teruskan bantuan-bantuan yang diumumkan,” katanya.

    Antara bantuan yang akan diagihkan kerajaan ialah Bantuan Prihatin Rakyat fasa 3 berjumlah RM2.32 bilion yang akan disalurkan pada akhir bulan ini dan bantuan kehilangan pendapatan pada Oktober. 

    Mengenai proses pembayaran BKC di BSN Putrajaya, Tengku Zafrul berkata ia dikendalikan dengan baik oleh warga BSN.- BERNAMA

  • 69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah jawatan di Istana Negara esok

    69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah jawatan di Istana Negara esok

    SERAMAI 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.

    Turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Selain itu, istiadat dijadual bermula jam 2.30 petang itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Kesemua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara oleh Ismail Sabri Jumaat lepas, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Seri Paduka 20 Ogos lepas.

    Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

    Menamakannya ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’, Perdana Menteri berkata senarai ahli pentadbiran baharu itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan ‘Keluarga Malaysia’.- BERNAMA

  • Tiada pengumuman Kabinet hari ini – PMO

    Tiada pengumuman Kabinet hari ini – PMO

    SENARAI barisan menteri kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan diumumkan hari ini.

    “Tiada pengumuman dibuat oleh YAB PM hari ini,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Banyak pihak membuat spekulasi bahawa senarai nama barisan menteri kabinet itu akan diumumkan hari ini selepas Ismail Sabri menyerahkan senarai cadangannya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang hari ini.

    Kumpulan media dilihat ‘berkampung’ di beberapa lokasi utama kerana menunggu pengumuman itu, termasuk di Istana Abdulaziz dan pejabat perdana menteri di Perdana Putra.

    Ismail Sabri tiba di Perdana Putra pada kira-kira pukul 3.40 petang selepas kembali dari Pahang dan hanya melambaikan tangannya kepada petugas media yang menunggu di sekitar bangunan itu.

    Ismail Sabri, 61, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos lepas, sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai barisan kabinetnya dalam minggu ini.- BERNAMA

  • PM ucap takziah kepada keluarga Muhammad Aming

    PM ucap takziah kepada keluarga Muhammad Aming

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Aming Salleh Abdullah, yang dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira 1.30 pagi ini.

    Ismail Sabri menerusi hantaran melalui Facebooknya berkata, beliau pernah membuat hantaran tentang kanak-kanak itu di media sosial  pada 23 Jan, semasa menjawat jawatan Menteri Kanan Keselamatan berkaitan nasihat yang disampaikan olehnya.

    “Ternyata Allahyarham adik Aming merupakan seorang anak yang sangat baik dan bijaksana. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi,” katanya menerusi hantaran itu.

    Muhammad Aming, 8, sebelum ini popular dengan perkongsian video berbentuk nasihat di laman Facebook, yang disifatkan sebagai comel serta kepetahannya menyampaikan nasihat secara bersahaja dalam loghat Sabah.

    Antara video yang mendapat perhatian adalah tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • Jemaah Menteri: Bersatu telah serah senarai nama – Ahmad Faizal

    Jemaah Menteri: Bersatu telah serah senarai nama – Ahmad Faizal

    BERSATU telah menyenaraikan nama ahli-ahli yang sesuai untuk mengisi jawatan di dalam Kabinet Persekutuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk pertimbangan lanjut.

    Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, senarai nama tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, baru-baru ini.

    “Dalam mesyuarat tersebut, kami telah putuskan untuk serahkan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden kami, untuk cadang nama-nama daripada Bersatu dan disampaikan kepada Perdana Menteri.

    “Saya percaya Perdana Menteri akan putuskan dan membawa senarai tersebut untuk disembah maklum kepada Agong. Sekiranya proses ini berjalan baik tentunya Perdana Menteri akan membuat pengumuman selepas itu,” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu berkata demikian dalam sidang media secara maya, selepas perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

    Persidangan empat hari tersebut dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang bertitah, agar semua Ahli Dewan di negeri ini mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, dan saling bekerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat, sebagai timbal balik pemberian peruntukan saksama dalam Belanjawan 2021.

    Ketika ditanya sama ada beliau akan bersedih sekiranya tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri, Ahmad Faizal berkata ketika ini tanggungjawab dan tugas hakikinya sebagai wakil rakyat, kini menjadi fokusnya.

    “Semua sedia maklum walaupun saya pernah jadi Menteri Besar Perak dan sekarang tidak lagi pegang jawatan itu, saya percaya semua orang boleh nampak yang saya tidak bersedih.

    “Malahan saya tambah semangat untuk memberi khidmat kepada rakyat dalam apa juga kapasiti, sekarang saya kembali dalam kapasti sebagai Ahli Parlimen Tambun dan ADUN Chenderiang,” katanya.

    Pada Isnin, Ismail Sabri memaklumkan senarai nama menteri Kabinet beliau akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.- BERNAMA

  • Paralimpik Tokyo: PM harap Negaraku berkumandang

    Paralimpik Tokyo: PM harap Negaraku berkumandang

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melihat lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar sebanyak mungkin pada Sukan Paralimpik Tokyo.

    Ismail Sabri berkata beliau percaya dengan semangat tinggi serta latihan dijalankan selama ini, tiada sebab mengapa barisan atlet luar biasa ini tidak boleh berjaya pada temasya sukan berprestiji di Jepun itu.

    “Harapan negara kepada anda semua. Di Rio 2016 (Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil), kita berjaya raih tiga emas dan satu gangsa, maknanya tiga kali lagu Negaraku dimainkan di Rio. 

    “Kalau boleh saya nak supaya banyak kali bendera Malaysia dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang di Tokyo,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengukuhan Semangat Atlet Paralimpik Malaysia yang diadakan secara maya hari ini.

    Perdana menteri berkata barisan atlet paralimpik yang berjuang di Tokyo merupakan kebanggaan negara dan berharap nama Malaysia dapat dijulang di Tokyo.

    Ismail Sabri turut berkongsi kisah di sebalik penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini yang merupakan idea yang dicadangkan sewaktu zamannya menjadi Menteri Belia dan Sukan.

    Katanya keluhan atlet paralimpik mengenai kekurangan fasiliti untuk mereka ketika itu sehingga terpaksa berkongsi kemudahan sukan bersama atlet normal diberi perhatian pihaknya untuk mewujudkan pusat berkenaan.

    Beliau yang berpeluang melawat kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Beijing 2008 di China mengambil kesempatan untuk melihat sendiri keberkesanan pusat sukan paralimpik di sana untuk mendapat ilham mewujudkan fasiliti serupa di tanah air.

    “Saya lawat  pusat di Beijing itu… memang bagus, jadi kita cadang buka terus di negara kita,” katanya.

    Pusat bernilai RM50 juta itu yang beroperasi sejak 2013 dibina pada 2011 di kawasan seluas kira-kira 1.84 hektar untuk membolehkan atlet paralimpik berlatih serta membuat persediaan rapi bagi menghadapi temasya sukan tempatan dan antarabangsa.

    Ismail Sabri juga berharap agar semua atlet menjaga kesihatan diri, kekal berdisiplin serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Jepun bagi mengelakkan dijangkiti COVID-19.

    Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan membawa cabaran negara dalam sembilan jenis sukan yang disertai kontinjen Malaysia.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menerima ucapan tahniah daripada kem paralimpik negara diketuai Ketua Kontinjen ke Sukan Paralimpik Tokyo Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin serta barisan atlet dan jurulatih atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan negara.

    Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.- BERNAMA

  • RM78j perbaiki infra, bantu penduduk terjejas kepala air Gunung Jerai- PM

    RM78j perbaiki infra, bantu penduduk terjejas kepala air Gunung Jerai- PM

    RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM78 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur selain membantu penduduk yang terjejas dalam tragedi kepala air dekat Gunung Jerai, Rabu lalu.

    Daripada keseluruhan peruntukan itu katanya, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi tujuan membaiki dan menaik taraf sistem saliran, membina dua jambatan baharu Jabatan Kerja Raya serta pembinaan Empangan Sabo fasa satu.

    Sebanyak RM25 juta lagi diluluskan di bawah bantuan khas kecemasan dan bencana bagi tujuan pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa, pembaikan infrastruktur bekalan air masyarakat, membaik pulih kerosakan kawasan tanaman padi, pembaikan jalan, longkang dan titi kampung.

    “Sebanyak RM3 juta lagi diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tujuan membaiki rumah terjejas serta bantuan-bantuan lain.

    “Penyaluran peruntukan ini adalah nilai siling berdasarkan penilaian awal. Mungkin kalau ada keperluan lain, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor akan maklumkan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan di sini, hari ini.

    Terdahulu beliau dengan diiringi Muhammad Sanusi, melakukan lawatan kerja di kawasan-kawasan terjejas dalam daerah Kuala Muda dan Yan bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

    Ismail Sabri menambah, beliau mahu supaya semua bantuan itu disegerakan agar penduduk terlibat dapat kembali menikmati kehidupan seperti sebelum ini secepat mungkin.

    Sementara itu katanya, barisan Kabinet dijangka akan diumumkan minggu ini selepas beliau mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendapat perkenan dari baginda.

    “Sekarang ini setiap hari ada keluar senarai nama baharu di media sosial. Yang itu jangan percaya kerana semuanya palsu,” katanya.

    Sementara itu katanya, pembangkang sama sekali tidak akan dilibatkan dalam barisan Kabinet baharu kerana kerajaan sedia ada kini bukanlah kerajaan perpaduan.

    “Kerjasama yang saya sebutkan sebelum ini tidak semestinya memerlukan keberadaan mereka dalam Kabinet.

    “Kalau betul nak bantu berkaitan Covid-19, kita ada Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 manakala untuk pemulihan ekonomi pula, kita ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang saya jemput mereka sertai sebelum ini,” katanya.

    Tambahnya, beliau berterima kasih terhadap maklum balas menggalakkan dibuat pembangkang termasuk kesudian mengadakan perbinangan.

    “Insya Allah saya akan berjumpa mereka untuk bincang apa yang boleh terutamanya mengenai peranan dimainkan mereka,” katanya.