Tag: Ismail Abdul Muttalib

  • Saya bangkitkan isu Kg Baru Cina kerana ‘tujuan keselamatan’, kata Ismail

    Saya bangkitkan isu Kg Baru Cina kerana ‘tujuan keselamatan’, kata Ismail

    AHLI Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menyangkal dakwaan bahawa soalan yang dibangkitkannya pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini berbaur perkauman dan menghasut.

    Ia susulan soalan dibangkitkan ahli parlimen Pas itu tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan sama ada komunisme masih wujud di kawasan tersebut atau tidak.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ismail sebaliknya menegaskan soalan yang dibangkitkan itu adalah berdasarkan pemerhatiannya dan untuk tujuan keselamatan.

    “Saya tahu sejarahnya. Sebagai contoh, di Kampung Baru. memanglah penempatan di situ untuk (mengawal) penduduk yang dipengaruhi oleh komunis.

    “Jadi saya tidak mahu tanggapan bahawa masih ada komunis di kampung-kampung ini berlarutan,” katanya kepada Malaysiakini.

    Mengulas lanjut Ismail menjelaskan, apatah lagi penduduk kampung baru mesti berasimilasi (bergaul) dengan masyarakat sekeliling.

    Sebab itu, katanya beliau mencadangkan agar pengendalian kampung-kampung baru digerakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara supaya penduduk dapat bercampur dengan lebih baik dengan masyarakat lain.

    Kerajaan menubuhkan kampung baru semasa pemberontakan komunis untuk melindungi masyarakat Cina daripada ancaman mereka.

    Berdasarkan pemerhatiannya, Ismail mendakwa penduduk kampung baru cenderung bersifat mono-etnik dengan sebilangan penduduk kampung Cina tidak dapat menguasai bahasa Melayu.

    “Sedangkan di kampung lain, misalnya di Felda, ada juga orang Cina walaupun ia khusus untuk orang Melayu,” katanya.

    Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ismail bertanyakan soalan pelik kepada menteri dalam negeri tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan jika komunisme masih wujud di kawasan tersebut, pada soalan bertulis parlimen bertarikh 15 Feb 2023.

    Ismail juga mempersoalkan apakah kerajaan bercadang untuk menyatukan semua kampung baru di bawah kementerian yang sama.

    Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menjawab bahawa kampung-kampung baru telah ditubuhkan pada zaman darurat untuk menangani ancaman pemberontak komunis.

    Jelas Saifuddin, idea di sebalik rancangan ini untuk memindahkan penduduk kampung Cina di penempatan terpencil yang berselerak di pinggir hutan ke kampung baru bagi mengelakkan komunis mengancam atau menerima bantuan logistik atau maklumat daripada penduduk.

    Selain soalan itu, Ismail juga meminta kerajaan menyatakan apakah rasional untuk “mengiktiraf” rakyat yang dilahirkan selepas merdeka di Malaysia tanpa mengira “warna kulit”.

    Dalam soalan berasingan yang dikemukakan Ismail di Dewan Rakyat, ahli parlimen Pas itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan.

    Kenyataan Ismail itu mengundang kritikan daripada ahli parlimen lain termasuk pemimpin DAP, P Ramasamy yang berkata pemimpin PAS itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atas soalan bertulis parlimen yang dilontarkannya itu.

  • Keahlian isteri digantung UMNO: ‘Seolah-olah kita tiada maruah’, kata Ismail

    Keahlian isteri digantung UMNO: ‘Seolah-olah kita tiada maruah’, kata Ismail

    CALON Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menasihatkan pimpinan tertinggi UMNO agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, susulan penggantungan isterinya, Fatimah Kassim sebagai ketua Wanita UMNO Maran.

    Ismail yang memegang kerusi Parlimen Maran selama empat penggal ketika bersama UMNO berkata, penggantungan isterinya tidak sepatutnya berlaku kerana dia telah diundi perwakilan ketika pemilihan parti.

    “Sebagai isteri, dia akan berikan sokongan moral kepada saya. (Tapi) Belum tahu dia berikan sokongan sebenarnya kepada parti (saya) yang baru. Tetapi kenapa buat dia begitu?

    “Maknanya tindakan ini seolah menghina orang. Banyak orang komen pada saya, apa hak (UMNO) nak gantung, nak rehatkan dia.

    “Apabila anda buat macam itu, orang ramai lagi marah, seolah-olah kita tiada maruah,” katanya kepada Malaysiakini di Maran, hari ini.

    Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan Fatimah dan Ketua Wanita Umno Arau Shamsiah Yasin digantung selepas didapati memberikan sokongan kepada calon lawan dalam PRU15.

    “UMNO menerima aduan sahih berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-dua ketua Wanita Umno terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan,” kata Ahmad lagi.

    Untuk rekod, Ismail dan penyandang kerusi Parlimen Arau, Shahidan Kassim digugurkan dalam PRU kali ini.

    Bagaimanapun kedua-dua mereka kini menjadi calon kepada PN untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

    Ismail berkata, sikap pemimpin tertinggi sesebuah parti yang tidak boleh ditegur akan membawa parti itu ke arah kemusnahan.

    Sementara itu, Fatimah berkata keputusan UMNO untuk menggantungnya tidak mematahkan semangat dia untuk terus berjuang.

    “Saya lebih selesalah sekarang, bahkan dalam keadaan sekarang lebih bersemangat untuk berjuang, untuk membantu suami saya (Ismail) memastikan kemenangan,” katanya ringkas.

  • UMNO gugur keahlian empat pemimpin termasuk Shahidan,Ismail

    UMNO gugur keahlian empat pemimpin termasuk Shahidan,Ismail

    UMNO menggugurkan keahlian empat pemimpinnya selepas bertanding mewakili parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengguguran itu melibatkan Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan Datuk Dr Azhar Ahmad.

    Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pengguguran keahlian empat pemimpin terbabit selaras Fasal 20.11 Perlembagaan Umno.

    Katanya, fasal itu dengan jelas menyebut “seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya”.

    Katanya lagi, dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh timbalan ketua UmNO Bahagian yang berkenaan.

    “UMNO juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya, lapor Free Malaysia Today.