Tag: Ismahalil

  • Ismahalil, ibu saling berpelukan, air mata tak henti mengalir

    Ismahalil, ibu saling berpelukan, air mata tak henti mengalir

    PENYAMPAI radio, Ismahalil Hamzah, 50, yang dibebaskan Mahkamah Tinggi, kelmarin bertemu ibunya, Salbiah Mat Noor, 88, di kampungnya di Sepang, Selangor, hari ini.

    Pertemuan menyayat hati dua beranak itu turut dikongsikan dalam akaun Facebook isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abd Manaf, 48, memaparkan Ismahalil dan ibunya saling berpelukan erat bagi melepas kerinduan yang sarat dengan linangan air mata mengalir tanpa henti.

    Lebih memilukan lagi, suasana sedih dan hiba itu amat dirasai dengan latar lagu Air Mata Ibu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mana bait liriknya cukup membawa maksud mendalam dan begitu terkesan.

    Nor Haslinda dalam catatannya, mengucap syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada barisan peguam yang berjuang membantu suaminya sehingga berjaya dibebaskan oleh mahkamah pada Isnin lalu.

    “Terima kasih Allah atas peluang ini. Terima kasih kepada peguam dan ‘team’ (pasukan) yang lain kerana pulangkan anak ini bertemu ibunya. Terima kasih keluarga, kawan-kawan yang sentiasa membantu dan memberi kata semangat.

    “Terima kasih untuk diri sendiri juga kerana dapat harungi dugaan ini. Selamat menyambut Maal Hijrah,” tulisnya pada kapsyen video berserta dengan tanda pagar, #tahunbarubukubaru, lapor Berita Harian.

    Ismahalil mahu mengotakan janji kepada arwah bapanya untuk menjaga ibu yang kini kurang sihat dan menetap di Sepang.

    Selepas dibebaskan Mahkamah Tinggi, kelmarin, Ismahalil yang ditemui media berkata, dia mahu mengotakan janji kepada arwah bapanya untuk menjaga ibu tercinta yang kini kurang sihat dan menetap di Sepang.

    “Perkara pertama yang ingin saya lakukan selepas dibebaskan adalah berjumpa emak di kampung yang kini sakit dan kurang sihat.

    “Saya nak balik kampung untuk jumpa emak. Saya ingin menjaganya (emak) kerana sudah berjanji pada arwah ayah. Lagipun, sudah dua tahun saya tak jumpa emak,” katanya.

    Sebelum ini, Ismahalil berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram, dua tahun lalu dan keputusan pembebasan dibacakan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, kelmarin.

    Pada 21 Februari lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, pada pukul 5.35 petang 27 Ogos 2021.

    Terdahulu, Ismahalil didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

  • Kes dadah: Ismahalil Hamzah diperintah bela diri

    Kes dadah: Ismahalil Hamzah diperintah bela diri

    BEKAS penyampai radio Ismahalil Hamzah hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismahalil, 49, di akhir kes pendakwaan.

    Muhammad Jamil, dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mendapati 22 paket dadah yang ditemukan dalam bilik tertuduh (Ismahalil) berada dalam kawalan dan jagaannya.

    “Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah dari lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.

    “Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut. Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh.

    Justeru, hujahan peguam bela bahawa anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan dadah berkenaan tidak mempunyai merit,” katanya dan menambah keterangan saksi-saksi pendakwaan tidak bercanggah dan boleh dipercayai.

    Hakim itu turut memaklumkan kepada tertuduh bahawa bagi tujuan membela diri, dia mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri; atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang keterangan secara tidak bersumpah; atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

    Ismahalil kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

    Selepas mahkamah memberikan keputusan, tertuduh dilihat menangis teresak-esak sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya yang berada di galeri awam.

    Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang mewakili Ismahalil memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil seramai lima saksi pembelaan termasuk tertuduh untuk prosiding membela diri yang ditetapkan oleh mahkamah pada 30 dan 31 Mei depan.

    Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2022.

    Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ahmad Zaharil turut dibantu peguam Adi Zulkarnain Zulkafli. – BERNAMA