Tag: Isham Jalil

  • ‘Pernah presiden kamu tawar diri letak jawatan’, Pemimpin Bersatu tanya Isham

    ‘Pernah presiden kamu tawar diri letak jawatan’, Pemimpin Bersatu tanya Isham

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris membidas rakan sejawatnya dari UMNO, Isham Jalil yang mempertikaikan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bertanya sama ada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menawarkan diri meletak jawatan selepas didakwa di mahkamah.

    Beliau menegaskan, Muhyiddin ada menawarkan peletakan jawatannya sebagai presiden Bersatu, namun ditolak mesyuarat khas semalam dan perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini.

    “Saya nak tanya ketua penerangan UMNO, apakah presiden kamu pernah menawarkan diri meletak jawatan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO atau dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO)?

    “Beza presiden Bersatu dengan UMNO seperti langit dan bumi, presiden Umno dituduh 47 kes, manakala Muhyiddin tujuh kes, tiada tuduhan kemasukan wang dalam akaun peribadi, tetapi presiden kamu ada kegunaan peribadi,” dakwanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Isham menyindir Muhyiddin masih mengetuai Bersatu, walaupun sedang menghadapi tuduhan di mahkamah.

    Katanya, sebelum ini pemimpin Bersatu sering mendesak pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah meletak jawatan.

    “Lepas itu, bila Ketua Penerangan Bersatu (Wan Saiful Wan Jan) kena dakwa dan letak jawatan, Muhyiddin kata ini standard Bersatu, kononnya bila ada kes mahkamah mereka akan letak jawatan.

    “Kemudian Muhyiddin kata dia akan letak jawatan jika ada pertuduhan dan dakwaan, tetapi bila sudah ada pertuduhan dan dakwaan, dia tidak letak jawatan sebab kononnya kawan-kawan dia tidak izin,” kata Isham yang juga ahli MKT UMNO.

    Jumaat lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

  • Siasat pihak kutip dana PRU guna akaun peribadi: Pas sindir Isham

    Siasat pihak kutip dana PRU guna akaun peribadi: Pas sindir Isham

    KETUA Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pihak yang mengutip derma pilihan raya, tetapi menggunakan akaun peribadi sendiri.

    Tanpa merujuk kepada mana-mana parti atau pemimpin berkenaan, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu juga tidak membantah sekiranya SPRM turut menyiasat akaun bank PAS.

    “Boleh, dialu-alukan untuk siasatan (akaun bank Pas),” katanya dalam satu kenyataan, lapor Agenda Daily.

    Beliau dipercayai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil yang mengalu-alukan tindakan SPRM menyiasat sumber dana parti Bersatu, termasuk membekukan akaun bank.

    Isham dalam kenyataan dipetik daripada laporan NST berkata agensi anti rasuah itu juga perlu menyiasat dana sekutu rapat Bersatu, Pas.

    Beliau yang tidak terkejut dengan pembekuan akaun bank Bersatu berkata, SPRM juga perlu meneliti akaun PAS dan penglibatan parti itu dalam penyalahgunaan dana Covid-19 sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.

    “Memang bagus…tetapi saya harap SPRM tidak akan berhenti bersama Bersatu… saya tertanya-tanya bila pula giliran Pas,” kata Isham.

    Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkaitan kutipan derma pilihan raya, tetapi menggunakan akaun peribadi sendiri itu, dipercayai merujuk kepada Isham.

    “Cumanya, apa kata kita mulakan dengan orang yang lancarkan derma pilihan raya tapi menggunakan akaun peribadi?

    “Lebih teruk lagi, orang jenis ini pula yang beria-ia menyuruh siasat akaun parti lain.

    “Atau pada hakikatnya, sudah tiada air muka lagi untuk dijaga…?” kata Ahmad Fadhli.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Isham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Shah Alam melancarkan kutipan dana pilihan raya menggunakan akaun peribadi.

    Bagaimanapun, tindakan Isham itu mendapat perhatian daripada Twitter apabila akaunnya digantung.

  • ‘Siapa nak tanding jawatan tertinggi parti, umum awal-awal’ – Isham Jalil

    ‘Siapa nak tanding jawatan tertinggi parti, umum awal-awal’ – Isham Jalil

    UMNO tidak pernah menghalang mana-mana ahli partinya untuk bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kata Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.

    Justeru katanya, dakwaan bahawa demokrasi dalam UMNO sudah terkubur, adalah sama sekali tidak benar.

    Namun katanya, beliau mencadangkan agar mana-mana pemimpin yang mahu bertanding pada Pemilihan UMNO akan datang termasuk jawatan tertinggi parti supaya mengumumkan penyertaan mereka lebih awal.

    “Ada juga naratif yang dibawa bahawa kita (UMNO) nak halang, kita tak pernah halang ya (bertanding jawatan Presiden dan Timbalan).

    “Parti-parti lain sebelum ini mereka tidak bertanding jawatan Presiden, tetapi kita pada 2018 pertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, dan kali ini pun kita tak halang.

    “Saya juga nak tambah cadangan mungkin siapa yang nak bertanding jawatan tertinggi ini, Presiden, Timbalan Presiden atau tiga Naib Presiden, saya nak cadangkan supaya mereka umum awal-awal. Buat apa nak sorok-sorok pada saya, dan kalau kita cakap belakang-belakang sahaja, tak elok.

    “Siapa nak bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden… umum lah awal-awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengamal media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Sebelum itu, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam kemas kini di laman sosialnya berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bersedia untuk dicabar.

    Mengulas lanjut, Isham berkata, UMNO setakat ini tidak membuat sebarang pindaan terhadap Perlembagaan parti bagi menyekat ahlinya mencabar kedudukan jawatan tertinggi dalam Parti Melayu berkenaan.

    Berhubung tindakan 140 Ketua Bahagian yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pula, beliau berkata ia merupakan inisiatif mereka, yang tidak mahu melihat UMNO berdepan kekacauan.

    “Cuma ini atas inisiatif dan usul atau cadangan yang dibawa oleh Ketua-ketua Bahagian sebabnya mungkin pada masa kritikal ini, mereka tidak mahu menghuru-harakan UMNO.

    “Kita baharu sertai Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini masih rapuh pada (pandangan) saya. Kalau dalam pemilihan ini berlaku politik wang dan sebagainya, jadi ini mungkin yang dipertimbangkan oleh 140 Ketua Bahagian UMNO,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.

  • Isham mungkin ganti tempat Tajuddin dalam MT UMNO?

    Isham mungkin ganti tempat Tajuddin dalam MT UMNO?

    BEKAS Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur malam ini.

    Menurut beliau, jemputan itu adalah daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Sehubungan itu, timbul spekulasi dalam kalangan netizen tentang kemungkinan Isham dilantik sebagai Ahli MT UMNO bagi menggantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan.

    “Terima kasih kerana sudi jemput saya untuk menghadiri sesi mesyuarat bagi badan tertinggi parti pada malam ini. Saya akan hadir,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Perdana Menteri ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini digugurkan daripada jawatan Ketua Penerangan BN Selangor.

    Isham juga dikenali sebagai penyokong tegar Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Tajuddin pula digugurkan atas alasan ingin memberi ruang kepada Ahli Parlimen Pasir Salak itu memberi tumpuan kepada tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

    Umum mengetahui Tajuddin merupakan antara pemimpin UMNO yang lantang mengkritik tindak-tanduk Ahmad Zahid dan Najib.