Tag: Iraq

  • Peletakan jawatan Sadr cetus keganasan berdarah, 20 maut

    Peletakan jawatan Sadr cetus keganasan berdarah, 20 maut

    PERTEMPURAN hebat tercetus di Baghdad mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang selepas ulama berpengaruh Syiah, Moqtada al-Sadr, mengumumkan akan berhenti dari politik, mendorong penyokong setia beliau menyerbu istana kerajaan.

    Agensi berita Reuters melaporkan, menjelang malam, bunyi tembakan mesingan dan letupan kedengaran di kawasan Zon Hijau yang menempatkan ibu pejabat kerajaan dan kedutaan asing.

    Pegawai keselamatan berkata, beberapa pertempuran tercetus antara pejuang Briged Keamanan Sadr dan anggota pasukan keselamatan Iraq yang ditugaskan untuk melindungi Zon Hijau, selain anggota bersekutu dengan Iran mungkin juga terbabit.

    Reuters tidak dapat mengesahkan pihak yang menembak dan sasarannya daam kejadian malam tadi.

    Pertempuran tercetus antara lelaki muda yang setia kepada Sadr dan penyokong tentera pro-Iran, yang membaling batu antara satu sama lain berhampiran Zon Hijau, sebelum pertempuran bersenjata pada sebelah malamnya.

    Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan ramai lagi cedera, menurut polis dan pasukan perubatan.

    Tentera Iraq mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dan menggesa penunjuk perasaan meninggalkan Zon Hijau.

    Pertempuran itu menyusul berikutan pengumuman Sadr bahawa beliau akan menarik diri daripada semua kegiatan politik, keputusan didakwanya sebagai reaksi kepada kegagalan pemimpin dan parti Syiah lain untuk melakukan reformasi sistem pemerintahan yang diancam rasuah dan lemah.

    Sadr kemudian memaklumkan akan mengadakan mogok lapar sebagai protes terhadap penggunaan senjata oleh semua pihak.

    Kebuntuan politik antara Sadr dan kumpulan Syiah lawan yang kebanyakannya disokong Iran sudah menyebabkan Iraq kembali berdepan keganasan baru ketika negara itu sedang bergelut untuk pulih daripada peperangan sejak berdekad, sekatan, persengketaan awam serta rasuah.

    Kemenangan pergerakan Sadr dalam pilihan raya pada Oktober, dilihat percubaannya untuk membentuk kerajaan bebas daripada kumpulan disokong Iran, namun akhirnya menarik diri daripada parlimen, sehingga mencetuskan keganasan baru semalam.

  • Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    POLIS menahan seorang lelaki warga Iraq yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi membantu siasatan kejadian kes bunuh seorang wanita warga Somalia di sekitar Ampang Point, Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 25 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Jalan Ampang Putra, Ampang pada 11.20 malam tadi.

    Katanya, turut dirampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Siasatan mendapati mangsa dan suspek saling mengenali kerana sama-sama bekerja di sebuah restoran makanan Arab. Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, suspek warga Iraq itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mohamad Farouk meminta orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan.

    Semalam, beliau berkata pihaknya menerima laporan sekitar 12 tengah hari berhubung kejadian seorang wanita warga asing berusia 28 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2, Ampang.

    Beliau dalam kenyataan berkata maklumat orang ramai mengatakan mangsa pada mulanya dilihat bertengkar dengan seorang lelaki di hadapan premis itu sebelum dilihat ditikam dengan objek tajam. – BERNAMA