Tag: IPD Dang Wangi

  • Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video di aplikasi sosial semalam yang mendakwa seorang anggota polis memeras ugut individu di Bulatan Dato Onn di ibu negara.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Yahaya, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

    Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok semalam memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.- BERNAMA

  • Perhimpunan 21 Ogos:Tujuh individu dipanggil polis

    Perhimpunan 21 Ogos:Tujuh individu dipanggil polis

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur memanggil tujuh aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan perhimpunan #Lawan pada 21 Ogos ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semua mereka sudah hadir di IPD berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Beberapa individu lain akan turut dipanggil dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi.

    Pada 7 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan itu.

    Acryl Sani menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang masih berdegil menganjurkan atau menyertai perhimpunan itu.