Tag: Internet

  • Fasa 1 Projek Internet Tabika KEMAS bermula hujung tahun

    Fasa 1 Projek Internet Tabika KEMAS bermula hujung tahun

    PELAKSANAAN fasa satu projek naik taraf capaian Internet di premis Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dijangka bermula hujung tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedang menunggu jumlah peruntukan yang akan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

    “Keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di pedalaman merupakan usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika KEMAS berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

    Mengulas lanjut projek naik taraf Internet Tabika Kemas itu Mahdzir menjelaskan, kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan bulan depan bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaannya.

    Mei lalu, Mahdzir dilaporkan berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan capaian Internet di premis Tabika KEMAS di seluruh negara lebih baik.

    Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung projek meningkatkan capaian Internet untuk 11 ribu premis Tabika KEMAS.

  • Telco untung RM1 bilion tetapi perkhidmatan tak memuaskan

    Telco untung RM1 bilion tetapi perkhidmatan tak memuaskan

    MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak berbangga dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau telco yang mencatat keuntungan RM1 bilion tetapi masih menyediakan perkhidmatan tidak memuaskan untuk rakyat.

    Beliau berkata, kerajaan telah melabur berbilion ringgit untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi antaranya projek hab gentian optik titik kehadiran atau ‘Point of Presence’ (PoP) dengan kos hampir RM4 bilion untuk rakyat tanpa mengharap pulangan kewangan walau sesen.

    Justeru, katanya, beliau setuju telco mendapat keuntungan namun perlu bertanggungjawab dengan melabur sebahagian keuntungan diperoleh untuk teknologi bagi meningkatkan mutu capaian internet mereka sediakan, selari dengan pembangunan infrastruktur dilaksana kerajaan.

    “Infrastruktur itu disediakan kerajaan, TM dan sebagainya tetapi peringkat akhir itu disediakan operator (telco) bergantung perkakasan mereka pasang di menara, tetapi telco ini ada keutamaan mereka kalau pelanggan banyak di satu kawasan dia tertumpu di situ dan kawasan pinggiran, pekakasan tidak dinaik taraf.

    “Inilah menyebabkan internet 4G itu (kelajuan) boleh jadi 10mbps hingga 100mbps bergantung perkakasan peringkat akhir disediakan telco itu, justeru saya buat seruan kepada telco kita kini kena jalan berganding tangan beri perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kenderaan Digital Satellite News Gathering (DSNG) RTM Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.

    Menurut Annuar, liputan 4G contohnya di Sabah adalah pada tahap 86 peratus untuk kawasan berpenduduk, namun kualiti Internet di sesetengah kawasan yang mempunyai liputan itu masih tidak mencapai kelajuan yang dikehendaki.

    “Ada tempat (4G) 10mbps, ada tempat belas-belas mbps, ada tempat sekitar 20mbps begitu, sedangkan matlamat kualiti minimum kita purata 4G LTE mesti 35mbps… kalau kita nak capai tahap itu tempat banyak penduduk kena capai 60, 70, 100mbps kerana Internet ini bila ramai penduduk kelajuan jatuh.

    “Liputan 4G itu, macam mana kita mahu perbaiki kelajuan itu kita lancar PoP tadi, kita dapatkan Internet lebih stabil… 4G itu hanya suatu teknologi yang membolehkan ia memberi keupayaan (Internet) lebih tinggi tetapi berapa tinggi bergantung kepada infrastruktur dan pekakasan disediakan,” katanya.

    Annuar berkata, selain menaik taraf perkakasan telekomunikasi di menara, pelaburan tambahan yang disaran dibuat telco adalah bersama-sama dengan pihak bertanggungjawab meningkatkan keupayaan menara itu sendiri antaranya daripada segi komponen bekalan kuasa elektrik sandaran.

    “Bila bekalan elektrik itu terputus secara automatik Internet akan terputus kerana menara ini bergantung kepada bekalan elektrik, jadi telco dan mereka diamanahkan boleh lihat untuk buat menara hibrid seperti ada bekalan kuasa dari panel solar dan generator, bukan beri khidmat sekadar ada sahaja,” katanya.

    Beliau berkata, usaha memberikan kemudahan Internet berkelajuan tinggi tidak akan ke mana tanpa telco menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama meningkatkan kemudahan telekomunikasi untuk rakyat. – BERNAMA

  • 90 peratus kawasan di Sarawak nikmati internet berkelajuan tinggi menjelang 2022

    90 peratus kawasan di Sarawak nikmati internet berkelajuan tinggi menjelang 2022

    KERAJAAN Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan Sarawak dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menjelang 2022 menerusi pendekatan yang sedang dilaksanakan.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS). 

    “(Melalui pendekatan ini) kita akan dapat meningkatkan lagi kelajuan dan juga akses kepada seluruh kawasan sama ada di bandar atau di luar bandar (di Sarawak),” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (HIITS).

    Menurutnya kepentingan kesalinghubungan ini ditekankan dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak yang diumumkannya Julai lepas dan perlu dimanfaatkan anggota perkhidmatan awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan rakyat.

    “Strategi pembangunan ini akan membawa rakyat Sarawak mengalami pembangunan pesat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dengan lebih banyak akses kepada peluang ekonomi,” katanya.

    Dalam pada itu, Abang Johari turut meminta agensi-agensi kerajaan lain di Sarawak untuk mencontohi langkah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    JTS Sarawak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai satu memorandum persefahaman dalam majlis itu untuk mewujudkan Makmal Satelit JTS-UTM bagi tujuan R&D, menerusi perkongsian teknologi, kepakaran, peluang latihan dan penyelidikan.

    “(Kerjasama) ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada UTM untuk mendalami situasi sebenar dalam industri malah akan memberikan manfaat besar kepada JTS untuk berpeluang menjalankan penyelidikan yang lebih teliti dan terperinci,” katanya.

     Katanya kepentingan aspek R&D semakin terserlah sewaktu negara menghadapi krisis pandemik COVID-19 dan menurutnya projek ekonomi digital yang dilancarkannya pada 2017 telah membolehkan Sarawak melaksanakan persiapan awal menghadapi keadaan ini.

    “Kalau kita tidak berinovasi, tiada R&D, tiada inisiatif untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan, mungkin kita akan mengalami krisis yang kritikal untuk berhadapan dengan situasi pada ketika ini, dalam keadaan pandemik COVID-19,” tambahnya.- BERNAMA