Tag: insurans

  • Arab Saudi kurangkan insurans premium haji, umrah

    Arab Saudi kurangkan insurans premium haji, umrah

    ARAB Saudi telah mengurangkan insurans premium jemaah haji daripada 109 Riyal (RM127) kepada 29 Riyal (RM34), iaitu penurunan sebanyak 73 peratus.

    Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Menteri Haji dan Umrah Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah turut mengumumkan pengurangan premium insurans komprehensif untuk menunaikan umrah daripada 235 Riyal (RM274) kepada 88 Riyal (RM103).

    Berucap pada majlis perasmian persidangan dan pameran ‘Ekspo Haji 2023’ pada Selasa, menteri itu berkata tempoh visa umrah juga akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada 90 hari.

    “Seperti pemegang visa Umrah yang kini boleh melancong di seluruh pelusuk negeri, pemegang visa lain juga dibenarkan menunaikan umrah,” menurut kenyataan itu.

    Al-Rabiah juga menjelaskan bahawa mulai tahun ini, semua pengelola jemaah haji boleh membuat kontrak dengan mana-mana syarikat berlesen di Arab Saudi dan tidak hanya membabitkan beberapa syarikat terpilih seperti sebelum ini.

    “Beliau menekankan peranan kementerian dalam meningkatkan daya saing dengan memberi peluang kepada pengelola jemaah haji untuk menjalin kontrak dengan beberapa syarikat dan bukannya satu syarikat seperti sebelum ini,” kata kenyataan itu.

    ‘Ekspo Haji 2023’, anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dari 9-12 Jan, 2023, adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk membina ekosistem perkhidmatan dan penyelesaian inovatif dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah haji sambil meningkatkan pengalaman beribadah dan budaya tempatan.- BERNAMA

  • 2 buat bot penumpang tanpa lesen, insurans sah ditahan

    2 buat bot penumpang tanpa lesen, insurans sah ditahan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot penumpang di kawasan perairan Teluk Bahang petang semalam kerana kesalahan tidak mempunyai lesen sah dan insuran tamat tempoh.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim, S. P. Nak Rong berkata, bot tersebut ditahan pada kedudukan 0.3 kilometer barat laut dan satu kilometer di utara Teluk Bahang antara pukul 3 hingga 3.30 petang.

    Katanya, kedua-dua bot tersebut ditahan semasa sedang membawa pelancong di perairan Teluk Bahang.

    “Bot yang menggunakan nombor pendaftaran PPP 02095 (P) dan PPP 02315 (P) di kendalikan dua kru warga tempatan berusia 68 dan 48 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua buah bot tidak mempunyai lesen yang sah dan insuran telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua buah bot tidak mempunyai lesen yang sah dan insuran telah tamat tempoh

    Menurutnya, bot serta kru itu telah ditahan dan dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

    Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insuran tamat tempoh.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut supaya mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

    “Orang ramai serta komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.