Tag: injunksi Mareva

  • Permohonan Najib ketepi injunksi kes saman 1MDB didengar 26 Mei

    Permohonan Najib ketepi injunksi kes saman 1MDB didengar 26 Mei

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya bagi menghalang bekas Perdana Menteri itu daripada melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga US$681 juta akan didengar pada 26 Mei ini.

    Pada 8 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

    Peguam Wong Chee Lin yang mewakili 1MDB ketika dihubungi berkata pada prosiding secara dalam talian hari ini, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad turut menetapkan tarikh sama untuk pendengaran permohonan inter-parte bagi injunksi mareva.

    “Mahkamah turut melanjutkan injunksi ad interim yang diperoleh Najib sehingga pendengaran permohonan injunksi mareva didengar dan diputuskan,” katanya.

    Injunksi mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

    Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

    Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah nama beliau sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain.

    1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) telah dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.

    Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman US$8 bilion itu adalah antara 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih US$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International, terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan tersebut. – BERNAMA

  • Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    DATUK Seri Najib Tun Razak gagal mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak rayuan Najib hari ini serta memerintahkan bekas perdana menteri itu membayar kos RM15,000.

    Yaacob, yang menyampaikan keputusan itu berkata Mahkamah Rayuan tidak perlu campur tangan kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak silap dalam memberikan injunksi Mareva tersebut.

    Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah mempertimbangkan undang-undang dan menganalisis bukti yang terdapat dalam afidavit syarikat sebelum membenarkan injunksi Mareva itu.

    Hakim itu kemudiannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan injunksi Mareva kepada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Injunksi Mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

    Pada 24 Mac lepas, mahkamah memberikan injunksi Mareva kepada syarikat-syarikat itu dan mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset mereka di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah mereka failkan terhadapnya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

    Ini mendorong Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut. Saman itu masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Mohammad Arfan Wan Othman manakala peguam Nagarajah Muttiah dan Clament Tay mewakili syarikat-syarikat tersebut. – BERNAMA