Tag: infrastruktur

  • Banjir di Kelantan akibatkan kerosakan infrastruktur berjumlah RM172.3j

    Banjir di Kelantan akibatkan kerosakan infrastruktur berjumlah RM172.3j

    BEBERAPA siri banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Kelantan sejak 2021 hingga tahun ini telah mengakibatkan kerosakan kemudahan infrastruktur berjumlah RM172.3 juta.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata antara kerosakan yang dilaporkan ialah jalan raya, jambatan, sistem saliran dan pengairan, jeti serta runtuhan cerun.

    “Nilai kerosakan itu berdasarkan data yang direkodkan sehingga kini. Angka ini dijangka bertambah selepas proses pengumpulan data selesai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana (e-Bencana) Negeri Kelantan di sini hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub.

    Sistem e-Bencana yang dibangunkan dalam tempoh lapan tahun dengan kos RM300,000 itu akan membolehkan mangsa banjir mendapat bantuan segera selain bertindak sebagai mekanisme pengurusan yang lebih kemas dalam menentukan peranan serta tanggungjawab agensi terbabit semasa bencana.

    Sementara itu, Ahmad berharap kerajaan Persekutuan mempercepat pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Fasa Dua dan Tiga bagi menangani banjir.

    “Masalah banjir di Rantau Panjang bergantung kepada cepat atau tidak projek tebatan tersebut.

    “Kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membantu menyegerakan pelaksanaan projek berkenaan. Ia penting kerana dapat menyelamatkan kawasan kampung di sekitar Rantau Panjang,” katanya.

    Pada Ahad, Bernama melaporkan penduduk Kampung Tersang di Rantau Panjang melahirkan rasa bimbang berikutan kampung mereka kembali digenangi air sejak Sabtu akibat hujan lebat serta pertembungan air Sungai Lanchang dengan Sungai Golok. – BERNAMA

  • Peruntukan tambahan RM38j baiki infrastruktur di Yan, Merbok – Mahdzir

    Peruntukan tambahan RM38j baiki infrastruktur di Yan, Merbok – Mahdzir

    RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan sebanyak RM38 juta bagi memperbaiki infrastruktiur yang rosak teruk dan musnah dalam kejaian kepala air di Yan dan Merbok pada 18 Ogos lalu.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertambahan peruntukan itu diluluskan setelah pihaknya mengadakan tinjauan di kawasan terlibat, selain mendengar taklimat daripada pihak berkaitan.

    Katanya, sebahagian besar daripada peruntukan tersebut iaitu RM35 juta akan digunakan bagi menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tupah selain menyediakan akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 penduduk.

    “Sebanyak RM1 juta daripada peruntukan itu pula akan digunakan untuk membina rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan RM1 juta lagi, untuk bekalan air alternatif.

    “Selain itu sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk program ameniti sosial termasuk membaik pulih titi dan jambatan, RM335,000 bagi membaiki jalan kampung dan RM145,000 bagi membaik pulih empat premis tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir melawat kawasan terjeas di Yan, hari ini.

    Tambahnya dalam usaha membantu memulihkan kawasan itu, kementeriannya akan mengadakan kolaborasi bersama kerajaan negeri serta pihak-pihak berkaitan bagi menyelaras kerja-kerja yang perlu dilakukan.

    “Ini soal bencana dan disebabkan itu kita tak perlukan masa yang lama untuk mengeluarkan bajet bagi memulihkan keadaan.

    “Untuk membaik pulih rumah-rumah yang rosak contohnya, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang merupakan agensi di bawah kementerian ini sudah pun menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumah. Difahamkan setakat ini terdapat kira-kira 35 rumah di tepi sungai yang rosak teruk dan insya Allah kerja-kerja baik pulih akan berjalan secepat mungkin,” katanya.