Tag: industri

  • JBPM sahkan sisa industri di Kg Baru Sri Aman

    JBPM sahkan sisa industri di Kg Baru Sri Aman

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini mengesahkan terdapat kewujudan sisa buangan industri di tali air Kampung Baru Sri Aman dekat sini malam tadi, sehingga menyebabkan ada penduduk sesak nafas manakala yang lain dipindahkan ke balai raya berdekatan, sejak tengah malam tadi.

    Pengarah JBPM negeri Datuk Yahaya Madis berkata pihaknya mengesyaki terdapat bahan kimia yang mengeluarkan bau seperti minyak diesel, dipercayai berpunca dari tali air Sungai Tawakal hingga Sungai Pandan melibatkan kawasan seluas radius satu kilometer.

    Beliau berkata JBPM bertindak membuat pengepungan di air menggunakan alat bom water bagi mengelakkan pencemaran itu mengalir.

    “KIta mengesan ada sisa buangan yg kelihatan seperti minyak hitam dan yang pasti alat pengesan kita mengesan  ‘methyl alcohol termasuk methanol’.

    “Sehingga 11 pagi tadi, keadaan dilaporkan terkawal dan semua 102 penduduk daripada 25 keluarga yang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru dan mengikut keadaan sekarang ini, mereka boleh pulang dalam masa terdekat,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di kampung berkenaan, di sini hari ini.

    Sejak malam tadi, Yahaya berkata seramai 40 pegawai dan anggotanya dikerahkan ke kawasan tersebut.

    Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, dua wanita berusia 20an dan 40an sesak nafas manakala 102 penduduk daripada 25 keluarga dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

    Hasil siasatan awal malam tadi, pihak bomba mengesyaki tumpahan yang ditemui di sungai berhampiran adalah methyl alcohol, sejenis bahan buangan berjadual dengan kepekatan 120 ppm (bahagian per juta).- BERNAMA

  • 53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, setakat ini seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif COVID-19 sejak Julai, melalui saringan yang dijalankan di tempat kerja masing-masing.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan yang dijalankan itu adalah melalui pihak majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, kontak rapat kepada rakan kerja yang positif, dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti kesihatan swasta.

    “Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan (33,214 orang); 14.5 peratus adalah terdiri dari sektor perkhidmatan (7,768 orang); 13.5 peratus pekerja sektor pembinaan (7,232 orang) dan 10 peratus pekerja di sektor perdagangan (5,357 orang).

    “Secara kasarnya, jumlah tersebut meliputi 17.1 peratus kes yang dikenal pasti di Selangor adalah pekerja daripada (sektor) industri,” katanya yang menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), yang ingin mengetahui jumlah individu yang disyaki dijangkiti dalam sektor industri semasa mereka bekerja.

    Dalam pada itu Amirudin berkata, sebanyak 79 buah kilang sektor pembuatan telah diberikan arahan penutupan, di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 disebabkan melakukan tiga atau lebih kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard akta tersebut, mulai 13 Julai sehingga 23 Ogos oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    “Arahan penutupan ini dikeluarkan selama tempoh tujuh hari dan pemilik industri turut diberikan arahan kerja serta penambahbaikan, untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan tersebut,” katanya.- BERNAMA