Tag: Individu dikompaun langgar SOP

  • ‘Dine in’ belum lengkap divaksin, 6 dikompaun RM2,000

    ‘Dine in’ belum lengkap divaksin, 6 dikompaun RM2,000

    PADAH melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan ‘dine in’ di sebuah bar dan restoran meskipun belum lengkap divaksin, enam pelanggan di Georgetown, Pulau Pinang dikompaun masing-masing RM2,000.

    Turut dikenakan kompaun ketika pemeriksaan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) kira-kira pukul 10.50 malam menerusi Operasi Op Pemantauan dan Pematuhan itu ialah pemilik premis berkenaan sebanyak RM10,000.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua yang dikompaun terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita masing-masing berusia  23 hingga 37 tahun.

    Kompaun dikenakan terhadap enam pelanggan yang melanggar SOP di sebuah bar dan restoran di Georgetown

    “Tindakan kompaun itu dilakukan mengikut Peraturan 16(1) Kawalan Pergerakan Penyakit Berjangkit dan hukuman di Bawah Peraturan 17(1) Peraturan sama dan Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit berdasarkan nilai magnitud jadual kesalahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu tambah Soffian, beliau menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan demi membantu memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

  • 53 individu dikompaun RM113,500 gagal patuhi SOP

    53 individu dikompaun RM113,500 gagal patuhi SOP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGAGALAN 53 pelanggan termasuk pengusaha premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mudah dengan menjaga penjarakan fizikal dan mengimbas QR code mengundang padah apabila dikompaun keseluruhan berjumlah RM113,500.

    Kesemua individu tersebut dikesan melanggar perintah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika operasi pematuhan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sekitar Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 8 malam telah membuat pemeriksaan di tujuh buah premis.

    Polis mengenakan kompaun terhadap pengunjung dan pemilik premis gagal patuh SOP di empat premis Sekitar Johor Bahru

    Katanya, daripada 103 individu yang diperiksa, seramai 49 berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati melakukan kesalahan melanggar SOP ditetapkan.

    “Kesemua mereka ini dikesan tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis dan tidak mengimbas QR code sebelum memasuki premis berkenaan.

    “Oleh itu, setiap seorang individu yang dikesan dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang dengan jumlah RM73,500,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung di sebuah premis dalam operasi malam tadi

    Raub memberitahu, daripada premis yang diperiksa itu didapati empat daripadanya dikesan gagal menyediakan laluan keluar masuk dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal pelanggan.

    “Setiap pemilik premis dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 tiap seorang dengan jumlah RM40,000.

    “Keseluruhan kompaun yang dikenakan terhadap 32 lelaki dan 21 wanita termasuk empat pemilik premis adalah sebanyak RM 113,500,” ujarnya.