Tag: India

  • Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    SEBUAH blog memuat naik beberapa keping gambar yang didakwanya menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, gambar tersebut tersebar ketika persoalan berhubung pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk membekalkan telur ayam dari India.

    Beberapa gambar yang disiarkan di blog “Checkmatebro” turut menunjukkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan duduk bersama pemimpin Amanah itu.

    Gambar itu didakwa diambil semasa penerbangan mereka ke Chennai, India Januari lalu untuk bertemu pembekal bagi menangani masalah kekurangan telur ayam di Malaysia.

    “Betul ke Mat Sabu ke India tengok ladang ayam bawa Deepak dan Saravanan? Kalau betul, kenapa? Apa peranan dia orang?” soal blog tersebut.

    MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mat Sabu dan Deepak namun tidak berjaya.

    MalaysiaNow juga telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan maklum balas.

    Awal bulan ini, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat hanya sebuah syarikat dianugerahkan permit khas untuk mengimport telur dari India sehingga Jun tahun ini.

    Langkah itu mendapat kritikan daripada Presiden MCA Wee Ka Siong yang mempersoalkan kualiti telur import.

    Kenyataan Wee yang dibuat di Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

    Kenyataan itu menyebabkan Wee menerima surat tuntutan saman daripada firma undang-undang yang mewakili pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd.

    Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dua pemegang saham dalam syarikat itu iaitu Jeena Giri dan Shahrizal Ahmad, kedua-duanya adalah pemegang saham berjumlah RM850,000.

    Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

    Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.

  • Kerajaan tak jawab soalan syarikat mana dapat import telur

    Kerajaan tak jawab soalan syarikat mana dapat import telur

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan mengapa sehingga hari ini tidak ada penjelasan syarikat mana yang diberikan permit import (AP) telur ayam dari India oleh kerajaan.

    Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, perkara itu tidak dinyatakan menteri berkaitan dalam jawapan bertulis yang diterimanya.

    “Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini saya menerima jawapan bertulis untuk soalan saya berkaitan bekalan telur dalam negara.

    “Saya juga tanya mengenai telur import dari India. Tapi nampaknya jawapan Menteri tidak menjawab sepenuhnya soalan saya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini, lapor Agenda Daily.

    Berdasarkan satu daripada pertanyaan lisan Wan Saiful, beliau bertanyakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengimport telur dari India yang harganya lebih mahal dan saiz telur lebih kecil serta syarikat manakah yang mendapat AP import telur, bagaimana mereka dipilih dan berapa lama AP ini berkuat kuasa.

    Bagaimanapun, jawapan bertulis oleh Mohamad atau Mat Sabu hanya menjelaskan syarikat tersebut diberikan AP kerana mempunyai pengalaman sebelum ini tetapi tidak mendedahkan nama syarikat tersebut.

    “Syarikat tersebut diberikan kebenaran bagi mengimport telur dari negara India berdasarkan pengalaman mereka dalam membawa masuk telur dari India ke Qatar bagi memenuhi keperluan ketika penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.

    “Dengan keupayaan pihak syarikat yang mampu menghantar bekalan telur dalam masa yang singkat, Kementerian telah bersetuju untuk member kelulusan import khas selama tempoh 6 bulan bermula Disember 2022,” menurut jawapan bertulis itu.

    Untuk rekod, isu kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan berlaku apabila terdapat penyusutan pengeluaran yang dikesan mulai Oktober sehingga Disember 2022, di mana pengeluarannya tidak dapat menampung keperluan di dalam negara.

    Sebagai langkah intervensi jangka masa pendek bagi memastikan kecukupan bekalan telur di dalam negara, Kementerian ini telah membenarkan pengimportan telur dari India dari jenis Fresh White Shell Egg, dengan berat diantara 50-55 gram yang boleh digredkan sebagai gred D di Malaysia tau medium di India.

    Setakat ini, hanya satu syarikat yang diberi kebenaran berdasarkan permohonan dan cadangan yang diterima daripada pihak syarikat.

  • Paranoid dijangkiti Covid-19, dua beranak kurung diri selama 3 tahun

    Paranoid dijangkiti Covid-19, dua beranak kurung diri selama 3 tahun

    TERLALU paranoid dijangkiti COVID-19, seorang wanita di India mengurung diri dan anak lelakinya di rumah mereka di Chakkarpur, Gurugram dekat New Delhi, selama tiga tahun.

    Portal NDTV dalam laporan yang di petik Berita Harian melaporkan, kisah itu terbongkar apabila suami wanita berkenaan, Sujan Majhi, yang juga jurutera di sebuah syarikat swasta, memaklumkan perkara itu kepada polis bertugas di pos Chakkarpur.

    Sepasukan polis, pegawai kesihatan dan anggota jabatan kebajikan kanak-kanak kemudian tiba di kediaman berkenaan atas permintaan lelaki itu, baru-baru ini.

    Mereka memecah pintu utama rumah itu sebelum menyelamatkan wanita dikenali sebagai Munmun Majhi dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

    Imej sempat dirakam menunjukkan timbunan pakaian, rambut, sampah dan barangan runcit berselerak di rumah berkenaan.

    Difahamkan, wanita terbabit turut memotong sendiri rambutnya dan anak di rumah itu.

    Sementara itu, dia memasak menggunakan dapur elektrik dan bukannya dapur gas.

    Sampah di rumah itu tidak dibuang selama tiga tahun dan difahamkan, selama ini, tiada sesiapa yang berkunjung ke situ.

    Kanak-kanak itu pernah membuat lukisan di dinding rumah dan hanya belajar dengan menggunakan pensel.

    Apa yang mengejutkan, anak lelaki wanita itu dikatakan tidak pernah melihat matahari, sejak tiga tahun lalu.

    Difahamkan, selama tempoh sama, jiran sekeliling tidak tahu bahawa dua beranak itu berkurung di dalam rumah.

    Seorang pegawai polis berkata, wanita itu berada dalam keadaan panik akibat COVID-19 dan percaya anaknya akan mati, jika keluar dari rumah.

    Sepanjang tiga tahun berkurung dengan anaknya, wanita itu tidak membenarkan suaminya masuk ke dalam rumah.

    Suaminya dikatakan keluar dari rumah untuk ke pejabat pada 2020 selepas kerajaan menarik balik sekatan pergerakan (lockdown) kali pertama. Sejak itu, lelaki itu tidak dibenarkan memasuki kediaman berkenaan.

    Satu-satunya cara Majhi kekal berhubung dengan keluarganya adalah melalui panggilan video.

    Bagaimanapun, dia tetap membayar sewa bulanan rumah, menjelaskan bil elektrik, mendepositkan yuran sekolah anaknya, membeli barangan runcit dan sayuran, di samping meninggalkan beg barangan keperluan di luar pintu utama rumah itu.

    Selepas diselamatkan, wanita dan anak lelakinya itu dikejarkan ke hospital awam.

  • Tular video anak muda Melayu, Cina, India, main alat muzik tarian singa

    Tular video anak muda Melayu, Cina, India, main alat muzik tarian singa

    TULAR satu klip video memaparkan aksi sekumpulan anak muda terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berbangsa Melayu, Cina dan India bermain alatan muzik tarian singa dengan begitu cekap.

    Ia sebahagian daripada latihan pra sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 22 Januari ini dikongsi Liondance Freak dalam laman Facebook mereka.

    Sejak dimuat naik dua hari lalu, ia telah ditonton lebih 450,000 kali dan mendapat lebih 7,700 tanda suka.

    Ia juga telah dikongsi lebih 4,600 kali oleh pengguna Facebook, lapor Utusan TV.

    Menariknya, kanak-kanak terbabit dilihat tidak kekok dan sangat profesional ketika memainkan alatan muzik tersebut.

    Kelincahan kanak-kanak terbabit mendapat perhatian warganet dan rata-ratanya kagum akan kemampuan mereka.

    “Menarik! Pelbagai kaum. Yang Islam bertudung juga diberi peluang,” tulis Ra’ayah Sulaiman.

    “Harmony satu Malaysia.pround to be Malaysian.多元一体,” ujar Vince Ong.

    “Yang tengok xrasa bangga ker…generasi kita akan datang bersatu hati…sehati sejiwa…ahhh hakak bangga weiii…,” komen Norhasni.

  • Mat Sabu tak perlu jelajah ke India, Ayer Hitam ada banyak telur – Wee

    Mat Sabu tak perlu jelajah ke India, Ayer Hitam ada banyak telur – Wee

    AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kerana didakwa mengutamakan telur ayam import berbanding keluaran tempatan.

    Ini susulan tinjauan Mohamad ke ladang pengeluaran telur di Tamil Nadu, India untuk melihat sendiri proses pengeluaran telur yang diimport ke Malaysia.

    Presiden MCA itu meminta Mohamad mengutamakan penternak tempatan dan mencadangkan agar menteri itu datang ke Ayer Hitam bagi melawat kawasan pengeluaran telur di situ.

    “Abang Mat, jauh jelajah?! Perlu ke India tengok telur ke?

    “Saya cadangkan datang ke kawasan saya parlimen Ayer Hitam. Yong Peng ada lebih 100 ladang ayam dan di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

    Wee mendakwa penternak tempatan kerugian berikutan kos pengeluaran lebih tinggi berbanding harga telur yang dijual iaitu 41 sen sebiji akibat kawalan harga.

    Beliau sebaliknya mencadangkan harga telur tempatan dinaikkan sama seperti telur yang diimport dari India, yang berharga 51 sen sebiji.

    “Abang Mat, apa kata harga kawalan diubah? Saya rasa kalau harga kawalan ditetapkan RM0.50 sebiji (sama macam harga telur import dari India), mungkin penternak tempatan sanggup bela kerana mereka tak akan rugi.

    “Kalau kerajaan mampu dan bersungguh nak bantu golongan B40, boleh wujudkan “elaun telur secara top up” kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Wee menambah, tiada keperluan untuk mengimport telur dari India sekiranya bekalan telur tempatan mencukupi.

    Pada Disember tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan langkah mengimport telur dari India sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi di negara ini pada harga yang kompetitif.

    Ini berikutan pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan telur di beberapa negeri.

    Berita Harian melaporkan telur dari India itu akan diimport melalui jalan laut bagi menurunkan harga dan bersaing dengan harga telur tempatan.

    Beliau juga mengatakan kontena penghawa dingin disediakan bagi memastikan kualiti telur dalam keadaan baik.

    Bagaimanapun Wee mempersoalkan kesegaran telur import berkenaan memandangkan pengangkutan laut dari India akan mengambil masa tiga hingga empat minggu.

  • Harga telur import Gred C lebih mahal daripada Gred A tempatan

    Harga telur import Gred C lebih mahal daripada Gred A tempatan

    TELUR ayam yang diimport dari India dijual pada harga 50 sen sebiji, lebih mahal daripada telur Gred A, walaupun saiznya lebih kecil daripada Gred C tempatan.

    Pada masa ini, telur Gred C tempatan dijual pada harga 41 sen sebiji, manakala Gred A pula adalah 45 sen sebiji.

    Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, mengakui harga telur import itu lebih mahal, namun ia masih mendapat permintaan daripada pengguna.

    “Walaupun saiz telur import itu lebih kecil daripada Gred C, manakala harganya lebih mahal daripada Gred A, namun sekurang-kurangnya kita ada bekalan itu terutamanya ia adalah sumber protein yang paling murah boleh didapati.

    “Kebanyakan makanan di negara ini memerlukan telur, disebabkan itu ia tetap ada pembeli walaupun harganya sebegitu,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, import telur itu sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur.

    Sementara itu, mengulas lanjut mengenai telur ayam import yang diterima oleh pasar raya Mydin, Ameer berkata, ketika ini bekalan yang diperoleh mereka hanya cukup untuk dijual menerusi cawangan Subang Jaya.

    “Telur ayam import itu sudah diterima dan setakat ini dianggarkan jumlah itu cukup untuk menampung bekalan antara dua hingga tiga hari di cawangan Subang Jaya.

    “Minggu depan akan masuk lagi bekalannya dan akan diagihkan kepada semua cawangan Mydin di negara ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Ameer berharap selepas telur ayam kembali stabil, kerajaan membiarkan ia dijual pada harga pasaran, tidak meletakkannya di bawah harga kawalan.

    Katanya, kerajaan tidak perlu takut dengan kenaikan harga telur ayam kerana mengikut perkiraan ia hanya akan meningkat sekitar lima hingga tujuh sen sahaja.

    Malah katanya, tindakan itu juga dapat mengelakkan pembekal ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan kepada perkara lain.

    “Kalau bekalan telur ayam pada pembekal tempatan ini sudah mencukupi, kita tidak perlu lagi import dari luar. Kita mahukan situasi menang-menang. Diharapkan selepas perayaan Krismas ini kerajaan tidak buat harga kawalan kepada telur.

    “Setiap kali adanya kawalan harga sudah tentu terdapat ‘underground economy’ di sebaliknya. Mungkin kerajaan kini tidak tahu, walaupun ada harga kawalan ia akan disekalikan dengan ‘underground economy’.

    “Ini bermakna harga barangan itu dijual lebih mahal, kalau harga kawalan menetapkan sebiji telur itu dijual dengan harga 45 sen sebiji, tetapi peniaga ini tidak akan mendapat bekalan dengan harga berkenaan,” katanya.

    Ameer mendedahkan, hanya mereka yang sanggup bayar lebih sahaja akan menerima bekalan daripada pembekal.

    “Walaupun dalam invois harga telur ayam ini akan kekal sama, namun pembekal bertindak ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan pada pengangkutan atau caj pengendalian.

    “Ini tidak betul, ia babitkan harga yang mahal namun dengan cara yang tidak telus, disebabkan kerajaan nak semua dibuat secara telus jadi kita cadangkan untuk tidak membuat harga kawalan selepas perayaan Krismas ini,” katanya.

  • Bayi 8 bulan nyaris maut tertelan pengetip kuku

    Bayi 8 bulan nyaris maut tertelan pengetip kuku

    SEORANG bayi lelaki di Nashik, India nyaris maut apabila dia tertelan pengetip kuku yang kemudiannya tersekat di dalam kerongkongnya.

    Metro Co UK melaporkan, bayi itu sebelum kejadian bermain dengan pengetip berukuran dua inci sebelum tertelan objek berkenaan.

    Ibu bapa kepada bayi itu yang melihat kejadian kemudiannya membawa anak mereka ke hospital.

    Imbasan sinar-X kemudiannya menunjukkan objek besi itu tersekat di bawah kerongkongnya, sehingga hampir menutup laluan pernafasannya.

    Ibu bapa itu bernasib baik kerana pengetip kuku berkenaan tidak memasuki perutnya yang boleh mendatangkan ancaman lebih serius.

    Sementara itu, pakar di Kolej Perubatan Dr Vasantrao Pawar berjaya mengeluarkan objek itu dalam pembedahan selama sejam.

    Menurut doktor, bayi itu kini dalam keadaan baik dan beransur pulis selepas melalui prosedur pembedahan.

  • India haramkan organisasi terkemuka Islam

    India haramkan organisasi terkemuka Islam

    KERAJAAN India mengharamkan sebuah pertubuhan Islam terkemuka kerana didakwa melakukan “aktiviti menyalahi undang-undang.”

    The Popular Front of India (PFI) dan sekutunya telah diharamkan selama lima tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 27 Sept.

    PFI dan sekutunya atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu telah terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang, yang memudaratkan integriti, kedaulatan dan keselamatan negara serta berpotensi mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat serta menyokong militan di negara ini,” menurut kerajaan India.

    Kumpulan berkaitan PFI termasuk Rehab India Foundation, Campus Front of India, All India Imams Council, National Confederation of Human Rights Organisation (NCHRO) dan National Women’s Front.

    Keputusan itu dibuat selepas penahanan pemimpin dan anggotanya di kebanyakan negeri termasuk Kerala, Maharashtra, Tamil Nadu, Karnataka, Andhra Pradesh, Rajasthan, Uttar Pradesh dan Telangana sejak beberapa hari kebelakangan ini.

    PFI, memaklumkan bahawa pertubuhannya berfungsi untuk menyuarakan hak orang Islam dan masyarakat kurang bernasib baik di negara ini.

    Kumpulan nasionalis Hindu bertahun-tahun berkempen untuk mengharamkan PFI yang kini berusia 15 tahun.

    Pada Selasa, kumpulan itu mendakwa “penahanan besar-besaran” sedang berlaku di negeri yang diperintah Parti Bharatiya Janata (BJP).

    “Ini tidak lain bertujuan menghalang hak untuk mengadakan protes demokratik terhadap kerajaan yang menyasarkan PFI,” menurut PFI.- BERNAMA

  • India lancar kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama

    India lancar kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama

    INDIA pada Jumaat melancarkan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan yang pertama di pantai Kerala pada Jumaat.

    Kapal tentera laut India, bernama Vikrant, itu boleh memuatkan 30 jet pejuang dan helikopter.

    Dibina oleh Cochin Shipyard Limited (CSL), syarikat milik negara, kapal itu telah mula beroperasi secara rasmi selepas dilancarkan Perdana Menteri India Narendra Modi dalam satu majlis.

    “Hari ini, India telah menyertai negara-negara lain di dunia, dan menghasilkan kapal pengangkut pesawat mega menggunakan teknologi tempatan. Hari ini INS Vikrant telah memberi keyakinan baharu bagi India,” kata Modi.

    Kapal sepanjang 262 meter dengan berat mencecah 45,000 tan itu menggunakan empat turbin gas yang menghasilkan kuasa 88 MW.

    Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 28 knot.

    Pembinaannya bermula pada 2009 dan projek yang telah siap itu menelan belanja 193.4 bilion rupee (kira-kira US$2.4 bilion).

    Perdana menteri India itu juga mendedahkan panji baharu tentera laut India, yang sebelum ini mempunyai lambang salib Saint George.

    “Diilhamkan oleh Chhatrapati Shivaji (pemerintah Maratha abad ke-17 yang disegani), bendera tentera laut baharu kini akan megah berkibar di laut dan di langit,” kata Modi.- BERNAMA

  • Tertembak peluru berpandu ke Pakistan, tiga tentera India dipecat

    Tertembak peluru berpandu ke Pakistan, tiga tentera India dipecat

    KERAJAAN India memecat tiga pegawai tenteranya ekoran insiden melancarkan peluru berpandu ke Pakistan pada Mac.

    Perkhidmatan mereka ditamatkan berkuat kuasa serta-merta, menurut Tentera Udara India.

    Siasatan mendapati berlakunya pengabaian terhadap prosedur operasi standard oleh tiga pegawai berkenaan sehingga membawa kepada insiden menembak peluru berpandu dengan tidak sengaja, menurut pihak tentera dalam satu kenyataan pada Selasa.

    Peluru berpandu BrahMos, ialah sistem senjata yang dibangunkan Rusia dan India, terhempas berhampiran bandar Mian Channu di wilayah Punjab pada 9 Mac.

    Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan dan Kementerian Pertahanan India pada ketika itu mengeluarkan kenyataan mengenai berlakunya “kepincangan teknikal”.

    Pakistan membantah keras insiden itu dan menyifatkannya sebagai “pencabulan tanpa provokasi” terhadap ruang udaranya.- BERNAMA