Tag: imuniti kelompok

  • Negeri Sembilan hampiri status imuniti kelompok

    Negeri Sembilan hampiri status imuniti kelompok

    NEGERI Sembilan menghampiri status imuniti kelompok apabila 76.4 peratus daripada penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas sudah lengkap dua dos vaksin.

    Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, jumlah kes baharu harian di negeri itu juga menunjukkan kadar jangkitan kes terendah di Malaysia.

    Beliau berkata, setakat 27 Ogos, seramai 76.40 peratus atau 622,081 individu berumur 18 tahun ke atas di negeri ini sudah lengkap divaksinasi sekali gus menghampiri imuniti kelompok.

    “Selain itu, keberkesanan program vaksinasi ini dapat dilihat melalui jumlah harian kes baru positif Covid-19 yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Contohnya semalam hanya 345 kes dikesan, antara kadar terendah di Malaysia,” katanya, hari ini.

    Aminuddin pada masa sama juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa berusaha mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

    “Harapan saya, semoga kita sentiasa mematuhi SOP supaya kes tidak kembali menular dan seterusnya menyukarkan Negeri Sembilan untuk beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

    Menerusi data yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, seramai 762,161 individu sudah mengambil dos pertama, manakala seramai 622,081 sudah lengkap proses vaksinasi.

    Negeri Sembilan beralih daripada Fasa Satu ke Fasa Dua PPN mulai 26 Ogos sekali gus membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi.

    Aktiviti rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap menerima vaksin juga dibenarkan dengan mengemukakan kad atau sijil digital vaksinasi Covid-19 dan Mykad sebagai bukti apabila diminta untuk berbuat demikian.

  • Kuala Lumpur capai imuniti kelompok

    Kuala Lumpur capai imuniti kelompok

    WILAYAH Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mencapai imuniti kelompok (herd immunity) hari ini apabila vaksinasi COVID-19 kepada penduduk dewasa mencecah 85 peratus, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

    “Alhamdulillah, hari ini Kuala Lumpur berjaya mencapai 85 peratus vaksinasi kepada penduduk dewasa. Doakan keadaan Wilayah kita bertambah baik,” katanya dalam hantaran di akaun Twitternya hari ini. 

    Dalam hantaran sama, Annuar turut menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha membantu rakyat. 

    Hantaran beliau turut memaparkan Statistik Pemberian Vaksin di Wilayah Persekutuan hingga Sabtu, 14 Ogos yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. 

    Di Kuala Lumpur, sehingga Sabtu, sebanyak 1.5 juta penduduk atau 85 peratus  sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19. Jumlah ini mengatasi sasaran ditetapkan iaitu 80 peratus atau 1.48 juta penduduk. 

    Sebanyak  2.5 juta  penduduk atau 144 peratus penduduk Kuala Lumpur sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, katanya.  

    Annuar berkata di Putrajaya, jumlah penduduk yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 ialah 81,543 individu atau 74 peratus berbanding  sasaran yang ditetapkan iaitu 88,000 penduduk atau 80 peratus. 

    Jumlah penduduk yang sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Putrajaya ialah 120,984 orang atau 110 peratus. 

    Sementara di Labuan, 92 peratus atau 63,440 penduduk  sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19. – BERNAMA