Tag: Ilham Centre

  • Ilham Centre: Rakyat utamakan isu tempatan berbanding isu nasional PRU-15

    Ilham Centre: Rakyat utamakan isu tempatan berbanding isu nasional PRU-15

    Bagi segmen pengundi Melayu, 55 peratus melihat faktor isu tempatan akan menjadi penentu bagi mereka membuat keputusan, manakala 45 peratus memilih isu nasional. 

    KAJIAN yang dilakukan Ilham Centre mendapati isu-isu tempatan menjadi pilihan utama pengundi dalam membuat keputusan di kotak undi pada 19 November nanti.

    Memetik laporan Astro Awani, sebanyak 61 peratus menganggap isu-isu tempatan perlu diutamakan berbanding 39 peratus yang menganggap isu nasional lebih penting.

    Bagi segmen pengundi Melayu, 55 peratus melihat faktor isu tempatan akan menjadi penentu bagi mereka membuat keputusan, manakala 45 peratus memilih isu nasional.

    Pengundi Cina pula, 52 peratus melihat isu tempatan manakala 59 peratus pengundi India melihat perkara yang sama dalam membuat keputusan nanti.

    Sebanyak 48 peratus pengundi Cina dan 41 peratus pengundi India menganggap isu nasional akan mempengaruhi undi mereka.

    Isu tempatan lebih dilihat oleh kelompok pengundi di Borneo, lokaliti kampung dan kawasan tanah rancangan.

    Bagi Bumiputera Muslim, 84 peratus akan membuat keputusan berdasarkan isu-isu tempatan sementara 16 peratus isu nasional.

    Sebanyak 85 peratus pengundi segmen Bumiputera Non Muslim menganggap isu tempatan lebih penting berbanding 15 peratus melihat isu nasional.

    Kaji selidik yang dilakukan oleh Ilham Centre berhubung sikap pengundi

    Di kawasan kampung, 75 peratus melihat isu tempatan perlu diutamakan manakala 25 peratus lagi akan membuat keputusan berdasarkan isu nasional.

    Di kawasan tanah rancangan, 69 peratus memilih isu tempatan, 31 peratus isu nasional manakala di pinggir bandar 56 peratus isu tempatan dan 44 peratus isu nasional.

    Di kawasan bandar juga pengundi lebih melihat isu tempatan lebih penting dengan 54 peratus sementara 46 peratus isu nasional.

    Pengundi-pengundi baru yang berumur 18-20 tahun juga melihat isu tempatan lebih penting iaitu 64 peratus dan 36 peratus lagi menganggap isu nasional lebih penting.

    Ini merupakan dapatan tinjauan awam oleh lima agensi media utama Astro AWANI, Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star & Malaysian Nanban.

    Dilaksanakan oleh tiga badan penyelidik, Ilham Centre, O2 Malaysia dan Huayan Policy Institute serta Centre for Malaysian Chinese Studies.

  • Pengaruh Muhyiddin masih besar di Johor, populariti Najib tercabar

    Pengaruh Muhyiddin masih besar di Johor, populariti Najib tercabar

    LANGKAH Perikanan Nasional (PN) menggunakan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’ kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu strategi yang tepat.

    Berdasarkan kajian Ilham Centre, kira-kira 43 peratus responden mengakui bekas Perdana Menteri itu berpengaruh di Johor.

    Kelebihan yang dimiliki Muhyiddin itu dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang kempen PRN Johor bagi mengimbangi pengaruh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Sedikit sebanyak kekuatan Muhyiddin ini membantu PN muncul sebagai pesaing terdekat Barisan Nasional (BN) terutama di kawasan majoriti Melayu,” kata Ilham Centre.

    Dapatan kajian Ilham Centre berhubung pengaruh Muhyiddin itu adalah selaras dengan kehendak majoriti rakyat Malaysia termasuk Bangsa Johor yang mahu mereka dipimpin oleh tokoh yang bersih dan berintegriti.

    Ahli Parlimen Pagoh itu terkenal dengan imej antirasuah dan menentang keras sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa.

    Malah, beliau sanggup dipecat dari UMNO ketika memegang jawatan Timbalan Presiden parti tersebut serta Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana bersuara lantang menyuarakan kebenaran dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membarah dalam UMNO ketika itu.

    Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Muhyiddin ketika mengetuai pentadbiran negara semasa dilanda krisis pandemik COVID-19 menyebabkan beliau disayangi oleh rakyat.

    Bagi rakyat khususnya di Johor, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ialah seorang Abah yang penyayang dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka.

    Maka tidak hairanlah nama bekas Menteri Besar Johor itu sentiasa bertakhta di hati mereka dan ramai yang mengharapkan agar beliau kembali memimpin negara.

    Hasrat majoriti rakyat Malaysia itu pasti dapat dicapai sekiranya Bangsa Johor memberi mandat kepada PN esok seterusnya membuka pintu untuk Abah kembali menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • Peratusan mengundi dijangka rendah, BN diramal menang PRN Johor

    Peratusan mengundi dijangka rendah, BN diramal menang PRN Johor

    PERATUSAN keluar mengundi yang dijangka rendah mungkin memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO untuk mengatasi parti-parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

    Senario tersebut merupakan antara faktor yang dinyatakan dalam kajian yang dilaporkan oleh Ilham Centre bagi PRN Johor hari ini.

    Pengundi Melayu yang ditemui dalam kajian tersebut menyatakan secara terbuka mereka akan keluar beramai-ramai untuk mengundi manakala pengundi Cina masih lagi menunjukkan keraguan untuk keluar mengundi disebabkan oleh pelbagai faktor.

    Berdasarkan respon pengundi Cina, mereka masih lagi mengaitkan penularan virus COVID-19 varian Omicron yang berleluasa sekarang menyebabkan mereka takut untuk keluar mengundi.

    Bagi ahli keluarga pengundi yang berkerja di luar Johor khususnya Singapura, turut dimaklumkan tidak akan pulang mengundi.

    “Faktor penyusutan ini yang mungkin berada di paras 55 peratus kalangan pengundi Cina,” jelas Ilham Centre.

    Kemasukan 869,362 atau 33.5 peratus pengundi baharu menarik perhatian semua pihak untuk melihat ke mana sikap dan pola pengundian mereka dalam PRN Johor.

    Ramai yang menaruh harapan kumpulan tersebut mampu membuat keputusan besar serta mengubah landskap politik Johor.

    Pengundi baharu berkenaan merupakan pengundi pertama kali yang menjadi pengundi berdaftar secara automatik dalam kalangan pengundi 18 tahun dan ke atas.

    “Ramai yang beranggapan bahawa pengundi baharu ini adalah kelompok yang dinamik dan ‘anti establishment’ serta akan menguntungkan pembangkang.

    “Namun dalam kajian ini, kami mengenal pasti kecenderungan mereka sebenarnya terlarut dalam budaya setempat, terikat dengan pilihan tradisi keluarga ekoran tidak mempunyai pegangan politik yang kuat,” kata Ilham Centre.

    Selain itu, pengundi baharu menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berperanan sebagai agensi yang mengendalikan proses demokrasi terpenting dalam negara untuk melakukan penerangan dan kempen yang mencukupi untuk menarik minat mereka berpartisipasi dalam pesta demokrasi ini.

    Bergelut dengan kehidupan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tumpuan utama pengundi muda ini lebih kepada meneruskan kelangsungan hidup berbanding diheret dalam pertelingkahan parti-parti politik dalam pilihan raya kali ini.

    “Kami tidak menolak faktor keluar mengundi pada segmen ini dijangka rendah dan tidak mampu memberikan impak yang signifikan seperti mana yang diharapkan oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat perubahan,” jelas Ilham Centre.

    Dalam kajian tersebut, Ilham Centre turut meramalkan BN menang sekurang-kurangnya 35 kerusi, PH 10 kerusi manakala 11 kerusi lagi menyaksikan pertembungan sengit antara Perikatan Nasional (PN), BN dan Pakatan Harapan (PH).