Tag: Idrus Harun

  • Pendakwaan dibuat berdasarkan fakta, bukan tekanan, kata Peguam Negara

    Pendakwaan dibuat berdasarkan fakta, bukan tekanan, kata Peguam Negara

    SEBARANG keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan keterangan dan fakta daripada penyiasatan, tegas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    Katanya, beliau menafikan tohmahan bahawa wujudnya sebarang pendakwaan terpilih dan penganiayaan yang bermotifkan politik terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.

    “Keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Idrus berkata, Peguam Negara menjalankan tugasnya secara adil tanpa mengambil kira individu yang terlibat.

    “Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu tersebut akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang,” tambahnya, lapor Astro AWANI.

  • Kerajaan putus tak wajar tarik semakan Batu Puteh, kata peguam negara

    Kerajaan putus tak wajar tarik semakan Batu Puteh, kata peguam negara

    KERAJAAN berpandangan tindakan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik semakan keputusan berhubung Batu Puteh pada 2018, sebagai tidak teratur dan tidak wajar, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    Beliau berkata, keputusan itu adalah berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri, pada 11 Jan lalu.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang diputuskan, pada 23 Mei 2008.

    “Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas tersebut termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office) dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Idrus berkata, Batu Puteh merupakan isu sangat penting kerana melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.

    “Dalam hal ini, kerajaan akan terus mempastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.

    Pada 15 Okt 2022, Mahathir berkata, keputusan penarikan balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman, pada 2018, melibatkan Batu Puteh, dibuat atas nasihat pegawai dilantik Apandi Ali.

    Beliau berkata, pelantikan Apandi yang juga bekas peguam negara sebagai pengerusi Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara (JPN) juga mempunyai konflik berkepentingan.

    “Sepatutnya angkat orang lain. Walaupun demikian kalau nak bawa ke mahkamah antarabangsa, biar mahkamah antarabangsa putuskan,” katanya.

    Pada 13 Okt, Jemaah Menteri diberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh Mahathir terhadap tuntutan kes Batu Puteh, kata Ismail Sabri Yaakob yang juga perdana menteri sementara, ketika itu.

    Mahathir berkata, seharusnya negara menerima keputusan telah dibuat ICJ.

    “Bagi saya, kita sudah janji dengan Singapura, kita akan terima apa jua keputusan dibuat mahkamah. Lepas itu apabila mahkamah buat (keputusan), kita tak boleh tolak. Kita dah janji,” katanya mengulas keperluan bagi Malaysia menuntut semula Batu Puteh.

    Pada 2008, ICJ memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura, Batuan Tengah kepada Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.

    Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu.

    Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan bawah pimpinan Mahathir menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.