Tag: Idris Jusoh

  • Pelupusan hutang peneroka RM8.3 bilion selesai – Pengerusi Felda

    Pelupusan hutang peneroka RM8.3 bilion selesai – Pengerusi Felda

    PELUPUSAN sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada keseluruhan RM12.1 bilion sebagaimana inisiatif dimulakan pentadbiran bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai pada 2021.

    Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, keputusan itu tidak pernah dibatalkan mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan perpaduan dan semua peneroka yang menandatangani perjanjian menikmati manfaat dengan bayaran pinjaman jauh lebih rendah serta mampu dibayar.

    “Buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada 2021 memberi impak besar kepada aliran tunai Felda.

    “Bayaran kembali baki pinjaman akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan melalui Felda komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan pendapatan mereka serta memastikan hutang ditanggung tidak terus meningkat.

    “Komitmen ini terbukti apabila pada 2022, purata produktiviti ladang peneroka meningkat sehingga 19.43 tan per hektar setahun berbanding 17.29 tan per hektar setahun mewakili peningkatan lebih 12%.

    “Ini sekali gus dapat memberikan pulangan pendapatan lebih tinggi kepada peneroka Felda,” katanya.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang menghentikan inisiatif dimulakan Muhyiddin dalam memansuhkan sebahagian pinjaman peneroka Felda.

    Beliau berkata, kutipan untuk bayaran balik pinjaman perlu diteruskan kerana merupakan sumber pendapatan Felda bagi memastikan kelestariannya dan kebajikan peneroka.

    Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan pentadbirannya bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.

    Ia termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka) dan modal pembangunan (6,711 peneroka).

  • PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka memecahkan rekod yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama apabila menguasai kerusi Parlimen Besut buat beberapa penggal.

    Peluang PN lebih cerah memandangkan penyandangnya Tan Seri Idris Jusoh menarik diri daripada dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Calon Pas mewakili PN bagi Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, perubahan iklim politik yang berlaku sekarang memberi peluang kepada parti-parti lain.

    Katanya, Parlimen Besut sejak sekian lama dimenangi UMNO, BN dengan mengambil kira ada tokoh yang disegani.

    “Namun sekarang sudah dikesan ada angin perubahan apabila pengundi yang ditemui memberi komitmen memihak kepada PN,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan orang ramai di Pasar Tani Alor Lintah dekat sini semalam.

    Turut hadir Yang Dipertua Pas Besut Wan Azhar Wan Ahmad.

    Che Mohamad Zulkifly sebelum ini merupakan bekas Ahli Parlimen BN Setiu, namun sudah lama keluar daripada parti terbabit.

    Menurutnya juga kerja kuat semua pihak terutamanya kerjasama erat jentera Pas dianggap begitu luar biasa bagi memenangkan calon PN kali ini.

    “Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan dan gerak kerja yang padu petugas PAS dan pelbagai pihak,” ujarnya lapor Harakah Daily.

  • Rosol hormat Idris sebagai ‘sifu’ politik, anggap tuduhan tiada modal

    Rosol hormat Idris sebagai ‘sifu’ politik, anggap tuduhan tiada modal

    PENYANDANG kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menegaskan beliau tetap menghormati Tan Sri Idris Jusoh di sebalik kenyataan bekas Ahli Parlimen Besut itu yang meminta orang Pas lebih baik berhati-hati dengan beliau.

    Rosol yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu menyifatkan tuduhan bekas Menteri Besar Terengganu itu kerana tiada modal kempen untuk menyerang keperibadiannya.

    “Saya anggap itu provokasi politik yang sengaja direka-reka untuk melemahkan keperibadian dan mengeruhkan hubungan baik saya dengan pimpinan dan penyokong Pas,” katanya.

    Menurut Rosol, beliau tetap menghormati Idris sebagai ‘sifu’ yang banyak mengajarnya untuk menjadi pemimpin dan menguruskan kerjaya di pentas politik.

    Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu memaklumkan, Idris juga antara individu yang maklum dan merestui penghijrahannya dari UMNO untuk menyertai Bersatu.

    “Saya tetap hormat beliau sebagai seorang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai politik, namun untuk mengatakan saya berjiwa UMNO walaupun bersama Pas (komponen PN), itu hanyalah satu provokasi politik.

    “Sekarang saya nampak pihak lawan tiada isu untuk menyerang dan melemahkan saya, sama ada rasuah atau salah guna kuasa, tak bermoral atau main projek. Setakat ini Alhamdulillah sejak menceburkan diri dalam politik pada 1999, saya tidak terpalit sebarang isu seumpamanya.

    “Jadi parti lawan terpaksa mencari-cari isu untuk melemahkan saya,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh kepemimpinan dan jentera parti yang memberikan sokongan kuat bagi memastikan kemenangan PN pada PRU-15.

    Selasa lalu, portal memetik Idris meminta orang Pas lebih baik berhati-hati dengan Rosol yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha UMNO Terengganu kerana Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa UMNO.

    Atas sebab itu, Idris yang menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2004 hingga 2008 melihat PN sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 ditandingi bekas EXCO kerajaan negeri di bawah pentadbiran UMNO itu.

    Mengenai perkembangan kempennya, Rosol berkata, sejak bermula kempen Sabtu lalu, beliau sudah menemui 50 peratus pengundi di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu, iaitu Ajil, Kuala Berang, Manir dan Telemong.

    “Alhamdulillah, sepanjang saya turun berkempen, termasuk ke lubuk UMNO sokongan amat kuat dan saya lihat mereka bersama dengan saya, insya-Allah. Saya nampak akar umbi menyokong kesepaduan dan menunjukkan kebersamaan yang jitu terhadap PN.

    “Sokongan dan semangat ditunjukkan akar umbi termasuk yang di atas pagar dan tidak berparti, mereka semua mengharapkan perpaduan dan kesatuan parti-parti Melayu. Itu mesej yang saya terima setakat ini.

    Rosol satu-satunya calon Bersatu mewakili PN bertanding kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15 menggunakan lambang Pas, manakala tujuh lagi kerusi Parlimen ditandingi wakil Pas.

  • Tumpu PICK di kawasan pedalaman Felda – Idris

    Tumpu PICK di kawasan pedalaman Felda – Idris

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menumpukan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan komuniti Felda di kawasan pedalaman.

    Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ini kerana masih komuniti Felda yang berada di pedalaman tidak ada peluang divaksinasi.

    Justeru katanya, pihak Felda akan menyediakan bas bergerak bagi memudahkan penduduk menerima suntikan vaksinasi mereka bagi kawasan yang tidak mempunyai dewan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).

    “Saya telah mengarahkan Yasayan Felda untuk turun padang ke kawasan-kawasan tersebut agar vaksinasi dapat diberikan segera.

    “Usaha ini sedang giat dijalankan dengan semalam kita telah pergi ke beberapa kawasan di Terengganu antaranya Kerteh dan Jerangau dan hari ini serta esok kita laksanakan di Pahang dengan purata lebih 1,000 orang menerima vaksin (Covid-19) di setiap lokasi,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPV di Dewan Orang Ramai Felda Mayam di sini hari ini yang turur dihadiri hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

    Ditanya mengenai bilangan individu yang menolak vaksin Covid-19 dalam kalangan warga Felda, Idris berkata, jumlahnya kecil dan usaha mendaftarkan mereka bagi menerima vaksin itu sedang giat dijalankan,” katanya.

    Katanya, kesedaran untuk menerima vaksin dalam kalangan warga Felda kini amat baik dan Pengurus Rancangan dan Ketua Peneroka akan membantu menguruskan daripada segi pendaftaran vaksin.

    Setakat ini seramai 67,837 peneroka daripada 101,866 atau hampir 91 peratus yang mendaftar telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menerusi 66 PPV ditubuhkan di kawasan Felda.