Tag: ICU

  • Rohana Jalil kritikal dalam ICU

    Rohana Jalil kritikal dalam ICU

    JUARA Bintang RTM 1980, Rohana Jalil kini dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa diketahui penyakit, sejak semalam.

    Berita duka menimpa penyanyi popular era 1980-an itu disahkan rakan baiknya, Datin Salwa Abdul Rahman, pagi ini.

    Memetik laporan BH Online, Salwa berkata, doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapi Rohana, 68, penyanyi lagu Rayuanku itu tidak pernah alami penyakit serius sebelum ini.

    “Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam pada Ahad lalu.

    “Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.

    “Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit.

    “Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” katanya kepada BH Online.

    Salwa berkata, dia diberitahu Rohana dikejarkan ke hospital, kelmarin, namun, anak-anaknya masih merahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.

    “Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.

    “Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana Rohana masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.

    “Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam,” katanya.

    Terdahulu, Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil memulakan karier sebagai penyanyi sejak usia 17 tahun pada 1979.

    Sebelum itu, penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor itu memulakan kerjayanya sebagai gadis kilang sekitar 1970-an, sebelum menukar kerjaya nyanyian apabila ditawarkan menyertai band D’ Suria dengan mengadakan persembahan di ekspo dan fun fair.

    Berbekalkan pengalaman menyanyi ekspo dan fun fair, Rohana mencuba nasib dalam pertandingan Bintang RTM 1976, tetapi tuah tidak menyebelahinya apabila kecundang.

    Namun, Rohana tidak berputus asa dan mencuba sekali lagi nasib dalam Bintang RTM, empat tahun kemudian.

    Akhirnya, Rohana dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.

    Rohana muncul dengan album pertama, Rintik-Rintik Hujan, tetapi album itu tidak mendapat sambutan. Kemunculan album kedua, Masih Dalam Ingatan juga mengecewakan.

    Namun, kejayaan ibu kepada tiga cahaya mata mendapat tempat ketiga Persembahan Terbaik dalam Juara Lagu TV3, mengambil alih tempat Datuk Jamal Abdillah (menerusi lagu Cinta Yang Terbiar) berjaya membawa banyak pembaharuan.

    Kemunculan Rohana bersama album Rayuanku terbitan A Ali membawa tuah apabila mendapat sambutan hangat.

    Selain itu, lagu sentimental duet Rohana dan To’ki, Naluri Cinta juga melonjakkan populariti Rohana pada era 1990-an.

  • Covid: 18,053 kes sembuh, atasi kes baharu

    Covid: 18,053 kes sembuh, atasi kes baharu

    JUMLAH kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus melebihi angka kes baharu untuk hari keempat berturut-turut apabila 18,053 kes dilaporkan berbanding 15,669 kes baharu direkodkan, setakat 12 tengah hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu pulih daripada wabak berkenaan kini sebanyak 1,764,579 orang.

    Beliau berkata terdapat 1,266 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 954 kes disahkan COVID-19 manakala 312 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

    “Sebanyak 689 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 432 kes disahkan COVID-19 sementara 257 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes harian dilaporkan hari ini, 283 kes atau 1.8 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan), manakala baki 15,840 kes atau 98.2 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

    Daripada jumlah kes baharu itu juga, Dr Noor Hisham berkata 17 adalah kes import melibatkan tujuh warganegara, manakala 15,652 kes penularan dalam negara membabitkan 14,169 warganegara.

    Beliau berkata sebanyak 29 kluster juga dikesan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan 14 kluster di tempat kerja, 12 kluster komuniti serta tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.98 dengan semua negeri mencatat Rt sekurang-kurangnya 1.0 kecuali Sabah, Kedah, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

    Sarawak adalah negeri paling tinggi mencatatkan nilai Rt iaitu 1.16 diikuti Terengganu (1.08), Johor dan Perak masing-masing 1.02, Pahang (1.01), manakala Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis masing-masing 1.00.

    Bagi data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my tengah malam ini.- BERNAMA

  • Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian itu.

    “Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

    Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

    HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit COVID-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan COVID-19 sebanyak 142 katil. 

    Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

    “Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin akan bertambah.

    “Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

    “Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.- BERNAMA

  • Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    HANYA 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

    “Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

    “Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

    “Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,4450 kluster,” katanya.- BERNAMA

  • Tun Sakaran dimasukkan ke ICU akibat jangkitan Covid-19

    Tun Sakaran dimasukkan ke ICU akibat jangkitan Covid-19

    BEKAS Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai kini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu akibat jangkitan COVID-19.

    Memetik laporan Astro AWANI, Tun Sakaran, 91 yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ke 8 itu dimasukkan ke hospital swasta berkenaan sejak Rabu lalu dan semalam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Menurut Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, bapanya dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lalu selepas disyaki dijangkiti COVID-19.

    “Keadaan beliau (Tun Sakaran) stabil. Bagaimanapun semalam, beliau dimasukkan ke ICU atas nasihat doktor bagi pemantauan yang lebih terperinci dan rapi.

    “Setakat ini, ahli keluarga dan anak-anak ada berhubung dengan Tun Sakaran melalui panggilan video,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

    Nasir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang memberitahu, beliau ada berhubung dengan Tun Sakaran pagi tadi melalui panggilan video.

    Katanya, Tun Sakaran juga memaklumkan kesihatannya baik dan dijaga dengan rapi oleh pihak hospital.

    “Tadi ayah saya ada mohon orang ramai mendoakan kesihatan beliau kembali sihat dan cepat sembuh,” kata Nasir sambil berterima kasih atas doa yang dipanjatkan kepada ayahnya.