Tag: ibu tunggal

  • Ibu tunggal, dua anak dicekup berkhalwat dengan dua lelaki

    Ibu tunggal, dua anak dicekup berkhalwat dengan dua lelaki

    IBU tunggal dan dua anak perempuannya dicekup berkhalwat dengan dua lelaki di rumah mereka di Lipat Kajang, Jasin malam tadi.

    Ibu tunggal berkenaan berusia 49 tahun itu bersama dua anaknya masing-masing berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan dalam serbuan JAIM susulan aduan awam jam 12.30 tengah malam.

    Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, ketika serbuan, wanita terbabit yang bekerja di syarikat kontraktor dan dua anak perempuannya mengambil masa 15 minit untuk membuka pintu.

    “Sebaik pintu dibuka, penguat kuasa mendapati ada dua lelaki tempatan dalam rumah itu.

    “Mereka tiada hubungan mahram walaupun dua lelaki itu mendakwa adalah saudara jauh dan dibenarkan wanita itu untuk tinggal bersama di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak.

    Che Sukri berkata, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

    “Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

    “JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Duda dipenjara 3 tahun samun warga emas di dobi layan diri

    Duda dipenjara 3 tahun samun warga emas di dobi layan diri

    SEORANG duda dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita warga emas di sebuah dobi layan diri, dua minggu lepas.

    Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas pekerja restoran Mohamed Ghibran Mohamed Yusof, 23, selepas dia mengaku melakukan samun dengan mengambil dan melarikan sebuah beg tangan mengandungi barangan peribadi dan wang tunai RM200, milik seorang pesara kerajaan berusia 64 tahun yang juga seorang ibu tunggal.

    Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa secara tiba-tiba telah merentap beg tangan yang disandang pada bahu kanan wanita itu sebelum melarikannya dengan motosikal semasa mangsa ingin memasukkan kain langsir ke dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi di Cheras, di sini pada 7.30 pagi, 11 Dis lepas.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

    Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 21 Dis lepas.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Izralizam berkata tertuduh tidak sepatutnya mengambil kesempatan melakukan jenayah terhadap ibu tunggal itu yang kematian suami.

    “Kamu masih muda dan tidak mempunyai penyakit, namun kamu memilih untuk melakukan jenayah samun bagi mendapat duit dengan mudah. Cuba bayangkan kalau mangsa itu adalah ibu kamu sendiri yang direntap. Kamu tidak fikirkan perkara itu ketika melakukan jenayah,” kata hakim itu.

    Mohamed Ghibran, yang menangis ketika berada dalam kandang tertuduh berkata, “saya tahu, Yang Arif”.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama, manakala Mohamed Ghibran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung dua anak serta ibu yang sakit.

    “Saya dan isteri telah bercerai dan dua anak kami berada dalam jagaan saya. Saya minta maaf Yang Arif. Saya mohon tidak dipenjarakan kerana saya perlu jaga anak-anak saya,” kata tertuduh dalam nada sebak. – BERNAMA

  • Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    HELAH seorang lelaki berusia 46 tahun menumpang sementara di rumah seorang ibu tunggal yang dakwanya akan dinikahinya gagal apabila dia ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), semalam.

    Lelaki berstatus duda itu ditahan bersama pasangannya, wanita 38 tahun yang mempunyai tiga anak di sebuah rumah kedai di Pekan Air Hitam, Kedah kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup sepasukan anggota JAIK selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti maksiat.

    Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak wanita itu berada dalam rumah kedai berkenaan.

    “Pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.

    “Lelaki itu memberi alasan seperti itu bagi mengelak ditahan namun gagal kerana tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

    Wanita berkenaan dipercayai menjalankan perniagaan di rumah kedai tersebut manakala lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kedai wanita itu.

    Radzi berkata, mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

    Beliau menambah, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.