Tag: ibu bapa

  • ‘Saya tiada rumah, harta, anak, ibu bapa, malah semuanya tiada’ – Zaiton Sameon

    ‘Saya tiada rumah, harta, anak, ibu bapa, malah semuanya tiada’ – Zaiton Sameon

    PENANTIAN penyanyi veteran, Zaiton Sameon untuk memiliki kediaman sendiri bakal menjadi realiti apabila menerima Kad Orang Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menerusi kelayakan kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak), Zaiton, 66, layak memohon untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

    “Syukur kerana masalah saya mendapat perhatian. Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak dan ibu bapa serta tiada semuanya.

    “Memang saya ada adik-beradik tapi saya tak nak ganggu mereka. Saya sekarang tinggal dengan anak angkat bernama Ikah (Che Sikah Ismail) sejak 11 tahun lalu.

    “Kami berjumpa pada 2010 di Johor Bahru ketika saya menyanyi di sebuah restoran. Kebetulan dia tiada ibu bapa, jadi dia panggil saya dengan nama ibu,” katanya pada sidang media.

    Penyanyi lagu Menaruh Harapan ini berkata, mereka kini menyewa rumah di Bukit Indah, Ampang dengan kadar sewa RM800 sebulan.

    “Saya kini bergantung harap pada jualan produk makanan Rendang Nasib selain menyanyi. Saya ada juga mohon rumah PPR tapi gagal atas alasan tiada pendapatan tetap.

    “Rasa sedih orang lain dapat tapi saya tak. Mentang-mentanglah saya ‘cacat’. Saya bukan ‘cacat anggota’ tapi ‘cacat otak’. Orang pandang lekeh kata saya tak boleh menyanyi. Padahal lagu-lagu Inggeris pun saya boleh menyanyi dengan baik tanpa lupa lirik,” katanya lapor Harian Metro.

    Menurutnya, dia juga pernah terlambat membayar sewa bulanan rumah kerana wang tidak mencukupi.

    “Bagaimanapun saya bersyukur kerana tuan rumah boleh bertolak ansur. Tambah lagi dia adalah peminat saya sebelum ini,” katanya.

    Penyerahan Kad OKU yang berlangsung di ibu pejabat JKM Wilayah Persekutuan di sebuah hotel di sini dilakukan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun.

    Sementara itu, Samsuzuki berkata, Zaiton layak menerima kad OKU berdasarkan bukti-bukti seperti surat pengesahan doktor yang diterima pihaknya.

    Zaizalnizam pula melahirkan kesyukuran kerana usaha mereka membawa isu ini kepada JKM mendapat perhatian.

    Pada 1990, Zaiton mengalami kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan anaknya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia, manakala dia mengalami kecederaan parah di kepala hingga hilang ingatan sementara.

  • ‘Ajak anak pilih pemimpin terbukti berjasa’, pesan Muhyiddin kepada ibu bapa

    ‘Ajak anak pilih pemimpin terbukti berjasa’, pesan Muhyiddin kepada ibu bapa

    IBU bapa bertanggungjawab membimbing dan menerangkan kepada anak mereka khasnya yang baru pertama kali mengundi parti mana yang perlu dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa perlu menyatakan kepada anak mereka untuk memilih pemimpin yang sudah terbukti berjasa dan dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai pemimpin.

    Beliau berkata, ibu bapa juga perlu mengingatkan akan kepentingan memilih pemimpin yang bersama rakyat ketika susah dan senang dan pemimpin yang prihatin ketika rakyat bergelut dengan kesulitan.

    “Kepada anak muda, keluarlah beramai-ramai dan laksanakan tanggungjawab memilih pemimpin negara yang layak.

    “Kita khuatir jika mereka tidak keluar mengundi, pemimpin yang bersih dan berwibawa terlepas peluang untuk diangkat menerajui negara,” katanya menerusi catatan terbaharu di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menceritakan pertemuannya bersama penduduk Kundang Ulu, Parit Raja Gersik, semalam.

    Beliau berkata, jentera PN diminta mengenal pasti pengundi di kawasan mereka mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

    Menurutnya, mereka diminta menyantuni pengundi berkenaan secara berhemah, bertoleransi serta memberikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat akan parti yang harus dipilih.

    “Ketika saya bertemu dengan jentera parti di Bilik Gerakan PDM Gersik, saya meminta mereka mengenal pasti pengundi mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

    “Santuni mereka secara berhemah, bertoleransi serta berikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat,” katanya.

    Muhyiddin pada masa sama memberitahu, beliau turut berkesempatan untuk bersama masyarakat India dan penduduk Tionghoa di sekitar bandar Pagoh dan meminta mereka keluar mengundi pada 19 November.

    Katanya, masyarakat Tionghoa dan orang India diharapkan dapat memberi sokongan kepada beliau kerana PRU-15 paling penting yang menjadi penentu siapa dan parti mana yang bakal menerajui negara.

    “Kita perlu menolak pemimpin yang sudah terbukti tidak prihatin rakyat dan menjejaskan imej negara pada mata dunia.

    “Inilah masa untuk kita berganding bahu, mengerah kudrat dan tenaga bagi memastikan hanya pemimpin yang layak dan berwibawa dipilih memimpin negara tercinta. Ayuh semua keluar mengundi, keputusan di tangan anda!,” katanya.

  • Penipuan kerja: Ibu bapa cari anak di Bangkok rupanya sudah meninggal

    Penipuan kerja: Ibu bapa cari anak di Bangkok rupanya sudah meninggal

    PASANGAN suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui anaknya sudah pun meninggal dunia 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

    Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungya Zhan Feng, 23, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

     Zhan Feng dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy,  Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

    Pasangan suami isteri itu berlepas ke Bangkok pada 30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak mereka.

    “Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya dan isteri datang ke Bangkok untuk bawa dia pulang ke Malaysia bagi dapatkan rawatan.

    “Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei. Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” katanya kepada Bernama di sini.

    Chee Kong berkata anaknya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dengan menggunakan nama dan nombor pasport palsu.

    Berikutan itu katanya pihak hospital tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk membincangkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya. 

    “Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” katanya.

    Beliau dan isterinya berharap dapat membawa pulang abu anak mereka secepat mungkin.

    Bagaimanapun, beliau perlu menjelaskan tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA dan pembakaran mayat.

    Dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum Sim Chon Siang yang berada di Bangkok, satu kempen mengumpul dana telah dilancarkan pada Jumaat.

    Hanya kira-kira 22 jam, sejumlah RM50,000 dapat dikumpulkan yang akan digunakan bagi membayar bil dan yuran pembakaran mayat serta membawa abu pulang ke Ipoh, Perak.

    Sim berkata urusan pembayaran bil hospital akan dibuat pada Isnin bagi mendapatkan sijil kematian serta kebenaran untuk menggali kubur.  

    “Kami berharap dapat bawa pulang abu ke Malaysia pada Khamis. Kami harap semuanya akan berjalan lancar,” kata Sim.

    Zhan Feng, pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) itu belepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bagi bertemu rakan yang dikenalinya di media sosial.

    Dia sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Feb. Berikutan itu pada 7 Feb bapanya membuat laporan orang hilang. 

    Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.

    “Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia minta maaf kerana tak dapat balik ke rumah. Dia janji akan balik semula setahun kemudian…sejak itu kami tidak dengar apa-apa berita daripadanya,” kata Chee Kong.

    Beliau percaya anaknya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan telah membuat laporan polis pada 2 April lalu.

    Beliau menasihatkan pencari kerja tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan upah yang lumayan.

    “Kami terima apa yang berlaku. Saya harap apa yang menimpa anak saya menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya harap perkara yang sama tidak akan berulang,” katanya.- BERNAMA

  • Ziarah ibu-bapa di kampung: Seelok-eloknya capai imunisasi kelompok dahulu – Dr Chong

    Ziarah ibu-bapa di kampung: Seelok-eloknya capai imunisasi kelompok dahulu – Dr Chong

    NEGARA perlu mencapai tahap imuniti kelompok seperti disasarkan sebelum ini, jika kerajaan mahu mempertimbangkan kebenaran perjalanan merentas negeri, khususnya untuk aktiviti menziarahi ibu-bapa di kampung.

    Memetik Astro Awani, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Chong Chee Keong berpendapat, dengan tahap imunisasi berkenaan, ia dapat mengurangkan risiko penularan COVID-19 daripada lebih melarat.

    Malah, katanya lagi, imunisasi kelompok juga mampu mengekang tahap kemasukan hospital bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit serius, dan dapat mengurangkan kematian.

    “Keseluruhannya saya yakin negara kita akan mencapai imunisasi kelompok dalam masa terdekat ini. Tetapi yang penting kita kena mencapai herd immunity ini dahulu supaya penyakit serius dan juga jumlah kematian dapat dikawal sebelum kita boleh mencapai kejayaan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lepas, menzahirkan perasaan optimis dengan kadar keberjayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Beliau berkata, jika situasi positif itu dapat dikekalkan, berkemungkinan orang ramai dapat kembali menziarahi ibu-bapa di kampung halaman, melancong dalam negara, serta anak-anak boleh kembali ke alam persekolahan.

    Dalam pada itu Dr Chong berkata, yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley berkata, buat masa ini kadar kemasukan ke hospital di sekitar Lembah Klang telah menurun.

    Jelasnya lagi, berdasarkan statistik yang diperolehi, tiada keperluan untuk menambah bilangan katil Unit Rawatan Rapi (ICU), namun mereka akan terus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Buat masa ini kita dapati bilangan pesakit masuk ke wad adalah stabil, dan kapasiti kita mencukupi. Oleh itu secara berperingkat, katil COVID-19 tambahan ini akan ditukarkan semula kepada katil COVID-19 untuk teruskan perkhidmatan bagi pesakit bukan COVID-19.

    “Tetapi sekiranya kes COVID-19 kembali bertambah, kita akan naikkan kapasiti dan meneruskan apa yang kita buat sekarang ini,” katanya lagi.