Tag: ibu

  • Ugut bunuh dan cederakan ibu, buruh kontrak dipenjara 8 bulan

    Ugut bunuh dan cederakan ibu, buruh kontrak dipenjara 8 bulan

    AKIBAT membuat ugutan bunuh menggunakan sebilah gunting dan mencederakan ibu kandung, seorang buruh kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

    Majistret S. Punitha menjatuhkan hukuman itu terhadap V. Kumaran, 48, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh ditangkap pada Isnin lepas.

    Bagi pertuduhan pertama, Kumaran didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah secara lisan terhadap ibu kandungnya V. Yallama, 73, dengan mengacukan gunting ke leher dengan niat hendak mendatangkan rasa cemas.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor di sini pada kira-kira pukul 4 petang, 27 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan kecederaan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh hukuman yang ditetapkan di bawah Seksyen 323.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Siti Hajar Hamzah, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.- BERNAMA

  • Ibu, teman lelaki ditahan dera anak sampai mati

    Ibu, teman lelaki ditahan dera anak sampai mati

    POLIS menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana disyaki mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun hingga mati.

    Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang merawat kanak-kanak itu yang meninggal dunia pada 22 Ogos lalu.

    Katanya, pada mulanya pasangan tersebut membawa kanak-kanak itu ke hospital mendakwa mangsa cedera akibat terlanggar lori, lapor Harian Metro.

    “Ketika menerima pesakit itu, pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, namun tiada respons positif. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

    “Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera,” katanya.

    Anbalagan berkata, laporan bedah siasat terhadap mayat mangsa mengesahkan terdapat kecederaan parah pada tisu lembut ekoran pukulan objek tumpul.

    “Susulan itu polis menahan ibu mangsa yang berusia 44 tahun dan teman lelakinya berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

    “Wanita itu yang juga suri rumah didapati menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan sejak suaminya meninggal dunia pada September 2022,” katanya.

    Katanya, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan.

    Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.

    Menurutnya, pasangan itu direman tujuh hari hingga 29 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak usia 9 tahun

    SEORANG ibu dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia sembilan tahun, bulan lalu.

    Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan Izuhaizad Ismail, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.

    Mereka didakwa bersama-sama membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9, di sebuah rumah di Jalan Panglima 5, Taman Panglima Assam Kumbang, antara 10 pagi, 29 Julai dan 10.52 pagi, 30 Julai lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

    Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah jika tidak dihukum dengan hukuman mati dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 16 Oktober ini untuk laporan kimia, bedah siasat, forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

    Pada 31 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah dan atas maklumat orang awam dan hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.

    Polis kemudian menahan ibu mangsa dan teman lelakinya yang turut tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Ibu, anak bebas tuduhan edar dadah, terlepas tali gantung

    Ibu, anak bebas tuduhan edar dadah, terlepas tali gantung

    DUA beranak dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar 280.7 gram dadah jenis kanabis, oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini.

    Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Radzi Abdul Hamid terhadap Sharon Farnell, 52, dan anak perempuannya, Theresa Kennedy, 26, pada akhir kes pendakwaan.

    Mohd. Radzi ketika membaca kesimpulan kehakiman selama kira-kira 45 minit berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang ditimbulkan terhadap dua beranak itu.

    “Terdapat percanggahan dalam kenyataan saksi pendakwaan yang dikemukakan selain pihak pendakwaan juga gagal membuktikan elemen pemilikan dadah berkenaan.

    “Selain itu juga tidak dapat diketepikan terdapat individu lain yang mempunyai akses terhadap kedai yang merupakan lokasi rampasan bahan terlarang itu,” katanya semasa membacakan keputusan penghakimannya, lapor Astro Awani.

    Sejurus hakim membacakan keputusan tersebut, dua beranak tersebut dilihat menitiskan air mata.

    Mengikut pertuduhan, dua beranak itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat kasar 280.7 gram di sebuah premis di Jalan Laksamana, Melaka pada 24 April 2019 lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala dua beranak itu diwakili peguam Haresh Mahadevan.
    Seramai lapan saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 18 September 2019.

  • Ibu, bapa tiri dilepaskan tuduhan cuai cederakan anak

    Ibu, bapa tiri dilepaskan tuduhan cuai cederakan anak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini melepas tanpa membebaskan pasangan suami isteri atas pertuduhan bertindak cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dua bulan lalu.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu terhadap S. Nagendran dan A. Sangeetha yang kedua-duanya berusia 23 tahun selepas mendapati terdapat penduaan terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

    Mahkamah menetapkan hukuman ke atas pasangan berkenaan dijatuhkan hari ini, namun Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar mengemukakan pertuduhan pindaan.

    Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan seterusnya mohon dibicarakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, keduanya didakwa mencapai niat bersama bertindak secara cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka dekat Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru, Johor Bahru, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 28 April lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Nagendran yang juga bapa tiri kanak-kanak berkenaan dan Sangeetha pula ibu kandung kepada kanak-kanak itu diwakili peguam Tuan Nur Izza Natasha Tuan Rosidi.

    Pihak pendakwaan dijangka mengemukakan pertuduhan baharu ke atas dua-dua tertuduh pada esok.

  • Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    POLIS menahan seorang wanita selepas dia disyaki mendera bayi lelakinya berusia 10 bulan di sebuah kediaman di Petaling Utama, di Petaling Jaya, kelmarin.

    Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas suaminya berusia 20-an yang melihat kesan kecederaan itu membawa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

    Sebelum kejadian, pasangan suami isteri berkenaan dikatakan berselisih faham dan tidak bertegur beberapa hari sebelum suaminya mendapati ada kesan lebam pada anak mereka lalu membawa bayi itu ke hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.28 tengah malam.

    Bertindak atas maklumat itu katanya, pada 6.30 petang kelmarin, sepasukan polis menahan wanita berusia 26 tahun tersebut di kediamannya.

    “Mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan kini menerima rawatan di hospital.

    “Suspek dibenarkan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Kanak-kanak perempuan dipercayai mangsa dera ibu diselamatkan

    Kanak-kanak perempuan dipercayai mangsa dera ibu diselamatkan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Bukit Gambir, Georgetown berjaya diselamatkan selepas lebih setahun menahan derita dipercayai akibat didera ibunya sendiri.

    Kanak-kanak malang yang tinggal di sebuah rumah flat itu diselamatkan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, hari ini.

    Menurut Kumaresan, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berhubung kejadian menimpa kanak-kanak itu daripada jiran berdekatan.

    Katanya, dia kemudian membuat laporan kepada JKM sebelum ke rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang.

    “Sebaik saya dan pegawai JKM tiba, didapati mangsa ditinggalkan bersama dua abangnya berusia 14 dan 12 tahun manakala ibunya pula keluar bekerja sementara bapa mereka yang bekerja sebagai pemandu lori hanya pulang sekali sekala.

    “Ketika ditanya, kanak-kanak terbabit mengaku sering dipukul ibu sekiranya tidak melakukan kerja rumah selain kerap meminta pertolongan daripada jiran, ” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut Kumaresan berkata, difahamkan menurut jiran, mangsa terdahulu tinggal bersama ibu saudara sebelum diambil semula ibu kandung sejak lebih setahun lalu.

    Katanya, sejak itu jiran mereka sering mendengar mangsa menangis dan melihat dipukul oleh ibunya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

    “Jiran juga pernah menegur ibu mangsa mengenai perbuatan itu namun wanita itu bertindak memarahi semula jiran berkenaan.

    “Difahamkan mangsa juga pernah melarikan diri dari rumah sebelum ditemukan oleh orang ramai dan dihantar ke balai polis berhampiran.

    “Kanak-kanak itu kemudian diserah kepada ibu saudaranya yang tinggal di flat yang sama sebelum ibu kandung mengambilnya semula,” katanya lagi.

    Menurut Kumaresan, kedua-dua abangnya juga mengaku turut memukul kanak-kanak itu kerana tidak membuat kerja rumah malah mangsa turut ditinggal sendirian sekiranya tidak dihantar ke sekolah.

    Katanya, kanak-kanak terbabit pada masa ini diserah kepada JKM mengikut prosedur pihak berkenaan.

    “Difahamkan pada masa ini mangsa dibawa ke rumah perlindungan sementara menanti siasatan JKM dan laporan polis juga akan dibuat pihak berkenaan.

    “Saya turut meminta pihak JKM membawa kanak-kanak terbabit bagi dilakukan pemeriksaan kesihatan kerana mangsa mendakwa sakit di bahagian kepala dan mengalami bengkak selain terdapat kesan lebam di badannya.

    “Mangsa adalah murid pintar dan mendapat 5A 3B dalam peperiksaan di sekolah justeru, diharap masyarakat prihatin dapat melapor segera jika ada berlaku kejadian serupa dalam kawasan kejiranan,” katanya.

  • Ibu Syamsul Yusof tidak akan maafkan Kazar

    Ibu Syamsul Yusof tidak akan maafkan Kazar

    BERLEGAR satu paparan skrin tertera komen yang difahamkan ditulis oleh ibu kepada pelakon dan pengarah kontroversi Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail.

    Dalam kenyataan yang tular itu, Patimah meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pelakon veteran, Kazar Saisi yang membantu anak perempuannya, Ira Kazar bernikah dengan Syamsul.

    “Kami keluarga Syamsul tidak akan memaafkan Kazar yang membantu anaknya berkahwin dengan Syamsul dan telah merosakkan rumah tangga Puteri Sarah Liyana dan anak-anak mereka!

    “Namun, kami terima takdir yang telah berlaku kepada anak kami yang malang itu,” demikian tulisnya, lapor Astro Gempak.

    Syamsul pada Jumaat mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan telah selamat bernikah dengan wanita yang didakwa menjadi individu ketiga dalam rumah tangganya bersama Puteri Sarah iaitu Ira Kazar.

    Turut tular gambar pernikahan Syamsul dan Ira termasuk Kazar yang menjadi wali kepada pasangan terbabit.

    Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5 dan Summayah, 3 tahun.

  • Ibu, bayi lemas kereta terbalik dalam parit

    Ibu, bayi lemas kereta terbalik dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kereta membawa lima beranak hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu mengorbankan Dalila Ilyia Abu, 36, dan bayi lelakinya, Khalis Mohd. Khusairi yang berusia setahun.

    Sementara suaminya, Mohd. Khusairi Mohd. Khaida, 39, dan dua lagi anaknya, Nur Ulmiyah Nuha, 9, dan Nur Nadiah Husha, 6, terselamat.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 6.19 pagi.

    “Seramai enam anggota dengan sebuah jenera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Anggota bomba memberi bantuan kepada seorang mangsa selepas kereta dinaiki terbabas sebelum masuk dan terbalik dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara Selatan, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki sebuah keluarga telah terbabas dan terbalik dalam parit yang dipenuhi air di tepi lebuh raya.

    “Tiga mangsa berjaya keluar dengan sendiri manakala ibu dan bayinya tidak sedarkan diri dalam kereta dan dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihaknya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap mereka namun tiada tindak balas.

    Katanya, kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, operasi tamat pada pukul 8.53 pagi.

  • Budak 5 tahun rentung, ibu, bayi melecur teruk dalam kebakaran

    Budak 5 tahun rentung, ibu, bayi melecur teruk dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun ditemui rentung manakala adik dan ibunya melecur dalam kebakaran Rumah panjang Polly Anak Sulau di Bukong Asal dekat Jalan Lidong, Betong pukul 9.22 pagi tadi.

    Mangsa, Rezdesson Carlos Robson rentung manakala adiknya, Elsa Amanda,2, dan ibunya Ency Shaylla, 25, melecur sehingga 50 peratus.

    Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, semasa kejadian terdapat seramai 59 penghuni berada di rumah panjang 11 pintu.

    “Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong diatur gerak ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

    “Mangsa ditemukan rentung di ruang dapur bilik nombor 11 semasa kerja-kerja overhaul dilakukan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Sementara itu, dua lagi mangsa melecur telah dihantar ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.