Tag: hutan simpan kekal

  • Pengeluaran tender balak di HSK: Peka anggap PH hipokrit

    Pengeluaran tender balak di HSK: Peka anggap PH hipokrit

    SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kekecewaan mereka terhadap pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK) di negeri terbabit.

    Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dalam satu kenyataan berkata, ketika negara dilanda pelbagai bencana alam akibat kegagalan pengurusan hutan, Negeri Sembilan sepatutnya melindungi khazanah alam negeri supaya menjadi benteng perlindungan daripada ancaman pemanasan global dan perubahan iklim yang menjana cuaca ekstrim sekarang.

    “Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim boleh dikatakan hipokrit kerana membiarkan pembalakan di negeri pentadbiran mereka,” kata Peka, lapor Malaysiakini hari ini.

    Peka berkata, sebelum ini Anwar selaku ketua pembangkang pernah meminta NGO berkaitan alam sekitar menghantar soalan berkaitan kepadanya untuk dibangkitkan di Dewan Rakyat.

    Anwar juga kata Peka, pernah menjemput NGO alam untuk menghadiri Simposium Pemanasan Global dan Perubahan Iklim di Parlimen, namun pada masa sama Negeri Sembilan yang ditadbir PH sendiri mempromosikan tender “mengeluarkan balak di hutan simpan kekal” di negeri berkenaan.

    Mengiringi kenyataan Peka itu ialah iklan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengenai notis bertarikh 5 Okt lalu yang mempelawa tawaran kontrak untuk mengeluarkan balak dari beberapa petak di hutan simpan Lenggeng dan hutan simpan Gapau.

    Notis itu menyatakan, tender tersebut melibatkan kawasan seluas 94.66 hektar atau bersamaan dengan lebih 130 padang bola sepak.

    Menurut notis tersebut, tender berkenaan adalah untuk membuka laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan di antara Kampung Ganu dan Ulu Beranang.

    Tawaran untuk tender berkenaan hendaklah dikemukakan sebelum tengah hari 26 Okt ini.

  • Kawasan 23.83 hektar di KL diisytihar Hutan Simpan Kekal

    Kawasan 23.83 hektar di KL diisytihar Hutan Simpan Kekal

    SEBUAH kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan yang diedarkan hari ini berkata, Hutan Simpan Kekal tersebut akan dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) melalui siaran Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 495/2021 bertarikh semalam.

    Beliau menjelaskan, pewartaan hutan itu adalah untuk menggantikan kawasan Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh, mukim Cheras seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar bagi pembangunan lebuh raya.

    Menurut beliau, HSK itu diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah Seksyen 45 Akta 313.

    “HSK di Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa Menteri Tenaga dan Sumber Asli selaras dengan Seksyen 2 dan Seksyen 114 (Jadual Kelima) Akta 313.

    “Ia juga dibaca bersama Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 dan Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017.

    “Pengurusan Hutan Simpan Kekal di Wilayah Persekutuan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan,” katanya.

    Sebelum pewartaan ini, Takiyuddin berkata, HSK di Kuala Lumpur adalah seluas 68.27 hektar iaitu 0.28 peratus daripada keluasan tanah ibu negara yang meliputi Hutan Simpan Bukit Nanas (9.37 hektar), Hutan Simpan Sungei Puteh (14.51 hektar), Hutan Simpan Sungai Besi (42.29 hektar) dan Hutan Simpan Bukit Lagong Tambahan (2.10 hektar).

    Kata beliau, penggantian HSK secara serentak itu telah meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35 peratus keluasan tanah keseluruhan.

    “Pewartaan ini juga mewujudkan kompleks Hutan Simpan Sungai Besi – Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) seluas 66.12 hektar mewakili 78.13 peratus daripada keseluruhan kawasan HSK di Kuala Lumpur yang berperanan sebagai ‘jantung hijau’ bandar raya ini.

    “Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak yang berlaku ini adalah selaras dengan hasrat serta cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

    “Proses ini juga merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok,” jelas beliau.