Tag: hutan bidor

  • Cuaca tidak mengizinkan, SAR helikopter hilang disambung esok

    Cuaca tidak mengizinkan, SAR helikopter hilang disambung esok

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang tadi, dihentikan sementara malam ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi akan diteruskan pada pukul 8 pagi esok, memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan menentu sejak petang hingga ke malam ini.

    Beliau berkata bagi tujuan SAR dan memantau perkembangan kes tersebut, sebuah Bilik Gerakan Operasi dibuka di Balai Polis Bidor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 pegawai dan 68 anggota terdiri daripada pasukan polis, termasuk unit udara dan Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Perhutanan.

    “Helikopter telah diterbangkan pada pukul 4 petang bagi atur gerak tugas pencarian di kawasan sempadan Hilir Perak.

    “Kita menerima maklumat orang ramai terdengar letupan di Jeram Mengkuang dan ada yang katakan helikopter terbang rendah di kawasan Kampung Kenangan, jadi Pusat Kawalan Tempat Kejadian akan didirikan esok pagi di kawasan pencarian.

     “Setakat ini kita tumpukan koordinat diberikan di Hutan Simpan Chikus dan kawasan yang diberikan maklumat oleh orang ramai. Pasukan SAR akan ‘narrow down’ kawasan pencarian pada esok hari,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bidor di sini kira-kira 70 kilometer dari Ipoh malam ini.

    Katanya identiti mangsa belum dapat dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), hanya seorang juruterbang terlibat dan tiada penumpang yang dibawa menaiki penerbangan helikopter itu.

    Difahamkan, juruterbang tersebut bukan warganegara Malaysia dan helikopter itu dipunyai seorang tokoh kenamaan bergelar Datuk.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media di sini hari ini dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu, terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor. 

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi. – BERNAMA

  • CAAM sahkan helikopter hilang, lancar operasi SAR

    CAAM sahkan helikopter hilang, lancar operasi SAR

    PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), tengah hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo, berkata helikopter kendalian Heli Outpost Sdn Bhd dengan nombor pendaftaran N409HH gagal dihubungi pada pukul 12:16 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Menurutnya, sistem radar di KLATCC merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

    “Pegawai KLATCC cuba menghubungi juruterbang itu, namun tiada panggilan kecemasan dibuat. Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada satu minit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Voo berkata, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter berkenaan.

    Tambahnya, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

    Media sebelum itu melaporkan, helikopter berkenaan dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan KLATCC tengah hari tadi.

    Helikopter syarikat swasta dengan seorang juruterbang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada 12.37 tengah hari.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, lokkasi terakhir helikopter dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor dan Langkap.