Tag: hutan

  • Terdapat kelemahan pengurusan aktiviti 40 hutan simpan kekal di Selangor

    Terdapat kelemahan pengurusan aktiviti 40 hutan simpan kekal di Selangor

    LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan aktiviti melibatkan 40 daripada 76 Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor.

    Dalam kenyataan Jabatan Audit Negara (JAN) hari ini, HSK berkenaan masih belum melaksanakan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan luar hutan itu.

    Laporan itu memaklumkan sembilan pewartaan masuk dan tujuh pewartaan keluar HSK masih belum selesai disiar warta melibatkan tempoh antara satu hingga tujuh tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) manakala seluas 106,754.66 hektar (42.5 peratus) HSK masih belum diwartakan mengikut 12 kelas fungsi.

    “Pencapaian keberhasilan memberikan impak negatif terhadap aspek sosial dan alam sekitar kesan daripada ketidakpatuhan aktiviti kuari serta konflik hidupan liar,” menurut laporan itu.

    Laporan itu turut mendapati 40 kes penerokaan haram dalam HSK direkodkan dengan keluasan 3,537.01 hektar, iaitu aktiviti pertanian (3,356.67 hektar), penempatan dan infrastruktur (146.08 hektar) serta penternakan (34.26 hektar).

    Selain itu, terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) di negeri itu bagi aktiviti kuari seperti bekas penyimpanan minyak diletakkan di kawasan terbuka, pengendalian bahan buangan terjadual tidak diuruskan dengan sewajarnya, kesan pembakaran terbuka di tapak kuari dan kualiti air serta udara melebihi had ditetapkan.

    Menurutnya lagi, pencapaian output dari aspek kutipan hasil hutan menunjukkan penurunan dan anggaran kehilangan hasil permit penggunaan berjumlah RM7.16 juta bagi pengurusan hutan lipur dan RM1.36 juta untuk ladang hutan.

    Dalam pada itu, JAN memaklumkan LKAN mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Selangor Tahun 2021 secara kesuruhannya mendapati kedudukan kewangan negeri adalah kukuh.

    “Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan bagi Selangor meningkat sebanyak RM358.69 juta atau 14.7 peratus menjadi RM2.804 bilion pada 2021 berbanding RM2.445 bilion pada 2020,” menurut laporan itu.

    Pada akhir 2021, Selangor mencatatkan lebihan semasa dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM250.34 juta dan lebihan dicatatkan itu adalah apabila hasil yang diterima berjumlah RM2.284 bilion melebihi perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.034 bilion dalam tahun semasa.

    LKAN dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini dan laporan itu dimuat naik dalam laman web JAN http://www.audit.gov.my. – BERNAMA

  • Pahang keluar 40 permit pertanian, penternakan dalam hutan simpan kekal

    Pahang keluar 40 permit pertanian, penternakan dalam hutan simpan kekal

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah mengeluarkan sebanyak 40 permit penggunaan bagi tujuan pertanian dan penternakan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dengan 28 daripadanya adalah bagi daerah Cameron Highlands.

    Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daerah lain yang terlibat ialah Raub dengan tujuh permit diikuti Kuantan/ Pekan/ Maran (tiga) dan Jerantut (dua), manakala sebanyak 122 permit dikeluarkan bagi penggunaan lain-lain.

    “Ini melibatkan permit bagi penggunaan jalan hutan yang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 43 permit selain untuk tujuan menara telekomunikasi, mini hidroelektrik, laluan talian penghantaran elektrik, laluan kereta api dan sebagainya,” katanya.

    Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini, semasa menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Ketari) yang ingin tahu jumlah penggunaan bagi pertanian dan penternakan serta penggunaan lain dalam HSK di negeri ini.

    Berhubung jumlah keluasan hutan perlindungan, Wan Rosdy berkata, jumlah hutan terlibat setakat Disember lepas ialah seluas 645,751.04 hektar atau 40 peratus daripada jumlah HSK, manakala jumlah hutan pengeluaran ialah 999,158.83 hektar.

    Menjawab soalan Young Syefura yang secara spesifik bertanya jumlah lesen pembalakan dikeluarkan bagi daerah Bentong, Menteri Besar Pahang itu berkata, sebanyak tiga lesen dikeluarkan pada tahun lepas yang bersamaan 2.17 peratus daripada jumlah keseluruhan lesen dikeluarkan iaitu 138 lesen.

    Wan Rosdy juga menegaskan bahawa kerajaan negeri Pahang tidak berkompromi dengan tindakan penerokaan tanah secara haram termasuk telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang selain dibantu agensi serta jabatan berkaitan bagi mengatasi masalah tersebut.

    “Pemantauan penguatkuasaan adalah secara berterusan dan kami mengalu-alukan mereka yang mempunyai pengetahuan untuk membuat aduan supaya tidak berlaku ketirisan atau kehilangan hasil. Penguatkuasaan yang dilakukan kami selama inilah yang berjaya meningkatkan kutipan hasil,” katanya.

    Wan Rosdy juga memaklumkan bahawa sebanyak 50 kes penerokaan hutan secara haram telah diambil tindakan dan dikenakan kompaun hampir RM4 juta pada tahun lepas. – BERNAMA

  • RMK-12: Buat sesi pendengaran awam sebelum batal warta HSK, PFE

    RMK-12: Buat sesi pendengaran awam sebelum batal warta HSK, PFE

    RMK12

    KERAJAAN negeri akan diminta untuk mengadakan sesi pendengaran awam sebelum sebarang pembatalan pewartaan bagi kawasan hutan simpan kekal (HSK) dan Estet Hutan Kekal (PFE).

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, ia antara langkah di bawah strategi memulihara ekosistem semula jadi iaitu mempertingkatkan langkah pemuliharaan bagi kawasan terestrial dan air daratan.

    “Pemuliharaan ekosistem yang berterusan adalah penting bagi memastikan habitat semula jadi dilindungi dan bersambung secara ekologi. Dalam hubungan ini, pemuliharaan kawasan terestrial, air daratan, pesisir pantai dan marin akan dipertingkat melalui perlindungan, pemulihan dan ketersambungan habitat.

    “Kepentingan ekosistem akan diarusperdanakan dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi. Inisiatif ini akan mempertingkat daya tahan dan keupayaan ekosistem untuk menyediakan perkhidmatan ekologi secara berterusan bagi kemampanan biodiversiti dan menyokong pertumbuhan sosioekonomi, selari dengan Matlamat 14 dan 15 Agenda 2030,” menurut dokumen itu.

    Selain itu, pewartaan kawasan perlindungan bagi terestrial dan air daratan akan dipergiatkan melalui pewujudan pasukan petugas khas selain rangka kerja bagi kaedah-kaedah lain yang berkesan untuk pemuliharaan berlandaskan kawasan akan turut dibangunkan.

    Menurut dokumen itu, usaha berkenaan adalah untuk meningkatkan pemuliharaan kawasan semula jadi termasuk geopark dan air daratan bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan litupan hutan berbanding keseluruhan kawasan tanah.

    Penanaman semula, pemuliharaan dan pengayaan hutan akan dipergiat melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan. Sektor swasta akan digalakkan untuk menyertai dengan aktif dalam program pemuliharaan hutan.

    Di samping itu, ketersambungan empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia akan ditambah baik dengan mempercepat pewujudan koridor ekologi di bawah inisiatif CFS (Central Forest Spine) manakala pengurusan dan pemuliharaan kawasan berhutan di Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkat melalui inisiatif HoB (Heart of Borneo).

    Sementara itu, di bawah strategi meningkatkan pemuliharaan sumber air, dokumen itu menyatakan Akta 127 akan dikaji semula untuk memasukkan peruntukan mengenai bahan pencemar baru muncul terutamanya bahan kimia yang terdapat dalam produk farmaseutikal, racun perosak, perindustrian dan isi rumah.

    Menurut dokumen itu, kajian Jumlah Beban Harian Maksimum (TMDL) yang menentukan keupayaan bebanan segmen sungai akan diperluas untuk meliputi lebih banyak lembangan sungai.

    “Kajian ini akan memberi panduan kepada kerajaan negeri dan PBT (pihak berkuasa tempatan) dalam menilai cadangan pembangunan sedia ada dan baharu di sepanjang koridor sungai.

    “Sistem pemantauan pintar juga akan diwujudkan bagi membolehkan pemantauan masa nyata dan amaran awal serta memperkukuh penguatkuasaan. Denai sungai akan dibangunkan sebagai penyelesaian semula jadi untuk mencegah pencerobohan dan pencemaran sungai,” menurut dokumen itu. – BERNAMA

  • Kempen tanam 100 juta pokok perlu disusuli larangan penebangan hutan

    Kempen tanam 100 juta pokok perlu disusuli larangan penebangan hutan

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP)  mengalu-alukan Kempen Menanam 100 Juta Pokok 2021-2025 oleh kerajaan sebagai langkah menghijaukan negara namun berharap kerajaan tidak memberikannya kepada mana-mana syarikat swasta untuk dikendalikan.

    Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kempen itu seharusnya mengupayakan orang ramai untuk terlibat dalam menanam pokok di bawah penyeliaan Jabatan Perhutanan kerana boleh menjimatkan wang di samping mencapai objektif kempen.

    Dalam masa tegas beliau, kempen menghijaukan negara dengan usaha penanaman pokok sahaja tidak cukup jika penebangan hutan dibenarkan untuk diteruskan berlanjutan.

    “Kempen ini akan hanya dilihat semata-mata untuk menutup keburukan bagi Malaysia yang memperoleh pengiktirafan “mempunyai kadar kehilangan hutan tertinggi” antara 10 negara di seluruh dunia yang mengurangkan liputan hutan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu tambah Mohideen, kempen tersebut seharusnya menerima pakai pendekatan serampang dua mata iaitu meningkatkan penanaman pokok daripada spesies yang betul serta mencegah penebangan hutan.

    Katanya, langkah itu akan membantu orang ramai mempelajari untuk menghargai dan mengambil pemilikan pokok dalam komuniti.

    Jelasnya, untuk menangani punca utama penebangan hutan juga kerajaan mesti memastikan negeri masing-masing bertanggungjawab bagi sebarang aktiviti penebangan hutan sama ada secara sah atau haram yang dijalankan.

    Ujarnya, objektif penanaman pokok akan gagal jika kerajaan negeri dibenarkan untuk menyahwartakan hutan simpan atau membenarkan pokok ditebang dengan pemantauan yang sedikit. 

    “Pada masa ini di bawah Akta Perhutanan Negara, sebarang hasil daripada Kawasan Hutan Kekal atau tanah negeri lain dianggap harta negeri tetapi hasil mungkin hanya boleh dikeluarkan dengan lesen yang betul.

    “Oleh itu, ia berada di bawah bidang kuasa negeri dan satu cara bagi kerajaan Persekutuan untuk mengawal penebangan hutan ialah dengan menetapkan syarat mengenai bantuan Persekutuan kepada negeri berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, undang-undang berkaitan perhutanan dan alam sekitar juga perlu diperketatkan yang mana mesti memastikan terdapat semak dan imbang untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.

    Ini kerana tegas beliau, Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri hanyalah penjaga aset tanah dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.  

  • Kebakaran hutan Baitulmuqaddis: 3,100 penduduk dipindahkan, 1,699 hektar kawasan musnah

    Kebakaran hutan Baitulmuqaddis: 3,100 penduduk dipindahkan, 1,699 hektar kawasan musnah

    SEKURANG-KURANGNYA 3,100 penduduk Israel di Baitulmuqaddis meninggalkan kediaman masing-masing semalam apabila kebakaran hutan besar melanda wilayah itu semalam.

    The Jerusalem Post melaporkan, kebakaran besar di lima titik panas berasingan itu setakat ini memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar.

    Bagaimanapun menurut jurucakap bomba, kebakaran itu sudah tidak mengancam kediaman penduduk dan mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini.

    Kebakaran besar di lima titik panas berasingan di Baitulmuqaddis setakat ini memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar.

    Namun bomba setakat pagi ini masih bergelut memadam kebakaran itu yang mengelilingi Baitulmuqaddis.

    “Kebakaran memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar hampir empat kali ganda dari keluasan yang musnah dalam kebakaran sebelum ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

    Katanya, sebanyak 70 pasukan bomba dari sekitar Baitulmuqaddis cuba memadam kebakaran namun masih gagal mengawalnya di beberapa lokasi.

    “Kesemuanya menjadi hitam tiada lagi kawasan hijau,” kata seorang penduduk di Shoeva.

    Kebakaran itu sampai ke pinggir Puat Perubatan Eitanim di Jerusalem Hills memaksa kesemua pesakit dipindahkan.

    Sebanyak dua penduduk dilaporkan hilang akibat kebakaran itu.

    Lebih 2,000 penduduk di Beit Meir, Kesalon, Ramat Raziel and Givat Ye’arim dipindahkan akibat kebakaran itu dan setakat tengah malam tadi mereka masih tidak dibenarkan pulang ke rumah.

    Sementara itu, jurucakap bomba berkata, kebakaran itu berpunca daripada manusia namun masih tidak jelas sama ada ia disengajakan atau sebaliknya.