Tag: Hussein Omar Khan

  • Polis tahan pelakon disyaki tumbuk isteri

    Polis tahan pelakon disyaki tumbuk isteri

    POLIS menahan seorang pelakon dipercayai menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh semalam bagi membantu siasatan kes itu.

    Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, lelaki berusia 29 tahun terbabit ditahan kira-kira 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

    Bagaimanapun katanya, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

    “Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan mangsa, dua saksi dan suspek.

    “Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Hussein berkata, polis juga sudah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan disahkan mangsa mengalami kecederaan di pipi.

    Selain itu, kata beliau, polis akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok, bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Kes kait MB Selangor, projek pelebaran Sungai Klang diserah kepada SPRM

    Kes kait MB Selangor, projek pelebaran Sungai Klang diserah kepada SPRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ada kaitan dengan sebuah syarikat dianugerahkan tender projek pedalaman dan pelebaran Sungai Klang.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, oleh kerana dakwaan dibuat wakil Perikatan Nasional (PN) itu mengandungi unsur rasuah, maka pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini hanya satu laporan diterima dan ia dilihat mempunyai elemen rasuah, justeru kes berkenaan diserahkan kepada SPRM,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Semalam, PN Selangor menggesa PDRM menyiasat pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri.

    Gesaan itu selepas tular di media sosial mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan mempunyai konflik kepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Namun semalam, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin dilaporkan berkata, projek bagi tujuan meningkatkan kapasiti sungai untuk menangani isu pencemaran dan banjir itu, tidak membabitkan suntikan tunai daripada kerajaan Selangor.

    Beliau berkata, kos itu akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

    Katanya lagi, kertas cadangan mengenai pendalaman serta pelebaran dibawa syarikat itu kepada kerajaan negeri selepas kejadian banjir besar pada 2021 dan anggaran kos projek RM700 juta diperolehi selepas sesi libat urus dengan agensi berkaitan serta pihak perunding.

    Semalam juga, Amirudin menyifatkan laporan polis dibuat PN terhadapnya berhubung ibarat menghantar ‘peluru kapur’, sebagai tindakan untuk menyerang kerajaan negeri pimpinannya, selain seolah-olah mahu menggambarkan bahawa terdapat kepentingan peribadi dalam isu berkait syarikat itu.

    Beliau menjelaskan, kehadirannya dan EXCO Selangor, Izham Hashim dalam syarikat terbabit bukan atas dasar peribadi, sebaliknya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dijamin dengan selesa, tidak terganggu dan tidak terkurang.

  • 3 suspek letup mesin ATM ditahan, 2 dicekup ketika ‘cuci’ wang

    3 suspek letup mesin ATM ditahan, 2 dicekup ketika ‘cuci’ wang

    TIGA lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes letupan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Setia Alam dekat Shah Alam, pada 23 Februari lalu berjaya ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketiga-tiga suspek itu ditahan Selasa lalu, di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuang, Gombak dan Meru, Klang.

    Dalam kejadian rompakan itu, ketiga-tiga suspek bertindak meletupkan dua mesin ATM dan melarikan wang tunai berjumlah RM267,150 dalam satu daripada mesin berkenaan.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Seorang suspek berusia 43 tahun yang dipercayai dalang ditahan di bengkel tempatnya bekerja selain polis turut merampas sebuah tong gas yang mempunyai tompokan hijau yang dipercayai digunakan untuk meletupkan mesin ATM.

    “Dua suspek yang berusia 30 dan 33 tahun pula ditahan di rumah masing di Meru yang mana ketika serbuan dilakukan, mereka sedang mencuci wang hasil rompakan dengan menggunakan cecair peluntur,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Husein berkata, suspek dipercayai meletupkan mesin berkenaan dengan memasukkan gas ke ruang pengeluaran wang yang diumpil.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan (tiga dari kanan) bersama pegawainya mengadakan sidang media kejayaan polis selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah, rompakan di Ambank Setia Alam dan kes bunuh warga asing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kerugian keseluruhan berjumlah RM327,150 membabitkan wang tunai berjumlah RM267,150 serta dua ATM yang rosak.

    Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan polis mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau sabit jenayah dan dadah.

    Katanya, polis kini sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan seterusnya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

    “Susulan penahanan tiga suspek itu, kita juga berjaya menyelesaikan dua lagi kes letupan ATM milik bank yang sama yang berlaku di Meru pada Disember 2020 dan Februari tahun lalu.

    “Semua suspek direman tujuh hari sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.