Tag: Hulu Terengganu

  • Persaingan sengit antara guru dengan bekas pelajar di Hulu Terengganu

    Persaingan sengit antara guru dengan bekas pelajar di Hulu Terengganu

    PERSAINGAN sengit bagi memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini akan menyaksikan pola pengundian lebih 87,971 pengundinya sama ada berorientasikan calon ataupun kepartian.

    Umum mengetahui, penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Rosol Wahid pada pilihan raya kali ini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), sedangkan pada PRU lepas beliau memenangi kerusi yang dianggap ‘kubu kuat’ Barisan Nasional (BN) itu atas tiket gabungan berkenaan.

    Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilihat menerima tentangan hebat daripada bekas anak muridnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat yang mewakili BN, dan kedua-dua mereka pernah berjuang di atas pentas yang sama ketika Rosol masih bersama UMNO.

    Menjadi satu-satunya wakil daripada Bersatu di Terengganu yang akan ‘membawa’ logo PAS di medan PRU15, Rosol mengakui perkara itu bukan tugas mudah, namun bekas guru itu bersyukur kerana mempunyai barisan jentera termasuk daripada PAS yang akan membantu memastikan kemenangannya.

    “Soal kebajikan rakyat dan agenda pembangunan yang dapat meningkatkan ekonomi setempat antara yang akan terus saya fokus jika diberi mandat pada PRU15 nanti, insya-Allah,” kata Rosol kepada Bernama.

    Jawatan sebagai timbalan menteri juga telah membuka ruang kepada Rosol untuk membantu penduduk setempat terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang melalui program-program termasuk Gerobok Prihatin di masjid sekitar Hulu Terengganu dan pelbagai program jualan murah.

    Rosol memulakan langkah dalam dunia politik sebagai ADUN Ajil pada 1999 sehingga berjaya menjadi Ahli Parlimen Hulu Terengganu pada PRU14 dengan kemenangan majoriti 2,868 menewaskan calon PAS dan PKR.

    Dalam pada itu, walaupun PRU15 ialah pengalaman pertama Rozi bertanding di peringkat Parlimen, beliau tidak boleh dianggap sebagai lawan yang mudah ditundukkan kerana telah empat penggal dipilih sebagai ADUN Telemong sejak 2004, dan sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri.

    Rozi turut mempunyai pengaruh kuat di Hulu Terengganu dan pastinya beliau mempunyai strategi untuk merampas semula kerusi yang pada awalnya milik BN itu, termasuk akan berusaha bersemuka dengan seramai mungkin pengundi di kawasan itu.

    Selain berhasrat memperkasakan infrastruktur pendidikan di Hulu Terengganu bagi melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai dari daerah itu, Rozi juga bercita-cita untuk memperkasakan infrastruktur pelancongan terutama di Tasik Kenyir jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.

    “Selain mengikuti manifesto BN di peringkat pusat, dalam konteks UMNO dan BN di Hulu Terengganu ini, saya ingin Tasik Kenyir bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong domestik malah juga pelancong antarabangsa. Selain itu, lokasi lain seperti Kampung Belukar Bukit yang terkenal dengan flora dan fauna serta air terjun juga boleh diketengahkan kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

    Meskipun Rosol dan Rozi sering dianggap sebagai calon pilihan, dua lagi pencabar iaitu calon parti Pejuang Mohd Khadri Abdullah dan calon Pakatan Harapan (PH) Alias Ismail tidak boleh dipandang sepi kerana kedua-duanya turut mempunyai misi untuk pengundi di Hulu Terengganu.

    Alias yang juga bekas guru memberitahu Bernama, antara isu yang akan diketengahkan beliau ialah nasib golongan petani di Hulu Terengganu yang menghadapi pelbagai masalah termasuk serangan binatang liar dan tanah yang tidak subur.

    “Saya dapati serangan binatang liar di kebun-kebun di daerah ini seperti tidak diberi perhatian sepenuhnya. Ada yang tanaman sudah mula berbuah tetapi dirosakkan binatang liar seperti gajah dan babi. 

    “Begitu juga ada kawasan yang tanah tidak subur jadi kita perlu membimbing petani mengenai cara penanaman yang berkesan. Ilmu pengetahuan ialah kunci kepada kemajuan dan peningkatan taraf hidup, bukan hanya bantuan seperti kewangan yang bersifat sementara,” katanya.

    Bagi Mohd Khadri pula, walaupun dilabel sebagai calon tidak popular dan agak sukar mengatasi pesaingnya terutama Rosol dan Rozi, beliau tetap bersemangat berkempen terutama menerusi media sosial yang dirasakannya lebih efektif pada masa kini.

    Beliau juga percaya sebarang situasi boleh berlaku pada PRU15 termasuk keputusan pengundian pada 19 Nov ini yang tidak mustahil akan berpihak kepadanya.- BERNAMA

  • Rosol sedia pertahan kerusi Hulu Terengganu, tidak ‘lari’

    Rosol sedia pertahan kerusi Hulu Terengganu, tidak ‘lari’

    TIMBALAN Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid sedia mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata sudah sedia berdepan UMNO yang akan meletakkan anak didiknya yang juga ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat bertanding di kerusi Parlimen itu.

    “Kalau beliau (Rozi) bertanding, kita lawan. Sebab itu saya kata saya tak berani, tapi kalau orang ajak lawan, kita tak lari, kita lawan,” katanya selepas Majlis Perasmian Kopi Merdeka with Tealive.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan Bersatu untuk memutuskan sama ada beliau akan dicalonkan untuk bertanding dalam PRU-15.

    “Saya orang politik dan kita ada ketua, kalau ketua kata tanding, kita tanding. Kalau ketua kata tak tanding, kita tak tanding,” katanya.

    Pada PRU-14, Rosol yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon PKR, Datuk Razali Idris yang kini merupakan ketua Bersatu Terengganu.

    Pada 11 Mei lalu, Ketua UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan BN akan meletakkan Rozi untuk bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15.

  • Kerusi Parlimen Hulu Terengganu milik siapa, PN atau BN?

    Kerusi Parlimen Hulu Terengganu milik siapa, PN atau BN?

    guane

    BANYAK pihak meramalkan bahawa perebutan kerusi bagi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti akan berlangsung dalam suasana agak sengit.

    Malah, rata-rata pemerhati politik turut menjangkakan persaingan itu turut menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon berkaliber mewakili Bersatu (PN) dan UMNO (BN).

    Manakala lain-lain parti politik setakat ini dikatakan seperti masih kurang menunjukkan minat untuk berbuat demikian.

    Ini kerana, dalam konteks Hulu Terengganu, sekiranya mana-mana parti tidak memiliki calon yang benar-benar berkelayakan dan diterima masyarakat setempat, maka calon ditampilkan nanti bakal berhadapan hilang deposit.

    Dalam PRU-15 nanti, penulis percaya akan berlaku pertembungan dua calon memiliki kriteria seperti anak tempatan, berpengaruh dan berpengalaman serta mempunyai pengikut tersendiri.

    Walaupun nama-nama calon yang akan bertanding belum dimuktamadkan, namun penulis percaya nama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid akan tersenarai sebagai calon mewakili PN untuk menentang calon BN, iaitu Datuk Rozi Mamat yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

    Bagi penulis, sekiranya Rosol kekal bertanding di Hulu Terengganu, peluang untuk menang adalah sama rata kerana kedua-dua calon umpama dua beradik yang ‘berselisih pendapat hanya disebabkan harta pusaka’.

    Rozi Mamat

    Mereka merupakan anak tempatan yang mempunyai keluarga, sahabat, jiran dan kawan dan pengikut yang ramai di kawasan Parlimen tersebut.

    Selain itu, sikap dan penerimaan masyarakat khususnya pengundi Hulu Terengganu yang lebih cenderung memilih calon berbanding parti juga perlu diberikan perhatian.

    Perkara inilah menyebabkan kenapa Parlimen Hulu Terengganu menjadi antara kubu kuat BN di Terengganu sejak dahulu lagi.

    BN hanya tewas kepada calon Pas dalam PRU-10 pada tahun 1999 lalu.

    Malah, usaha Pas untuk menawan kerusi tersebut dalam beberapa siri PRU selepas itu terus menemui kegagalan.

    Berdasarkan itu, penulis berpendapat adalah wajar Rosol diberi peluang untuk terus kekal bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.

    Malah, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Senator Datuk Razali Idris telah memberi restu kepada Rosol untuk berbuat demikian.

    Razali yang juga bekas calon Bersatu dalam PRU-14 lalu, menyatakan beliau bersedia memberi peluang kepada Rosol bertanding sekalipun dia sendiri tidak terpilih.

    Ketika bersembang dengan penulis baru-baru ini, Razali memberitahu beliau sudah menghantar cadangan nama Rosol kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk dinilai.

    Setakat ini BN Terengganu pula telah umumkan nama Rozi yang akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu manakala Pakatan Harapan (PH) belum berbuat demikian.

    Pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong sebagai calon pertama mewakili BN bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada 11 Mei lalu.

    Dalam PRU-14 lalu Rosol yang ketika itu mewakili BN menang dengan majoriti 2,868 undi.

    Rosol yang memperoleh 30,925 undi berjaya menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan Datuk Razali Idris (Bersatu-Pakatan Rakyat) yang hanya mendapat 3,364 undi dan hilang deposit.

    Dalam PRU-15 nanti, ramai yang sudah berteka teki; milik siapakah kerusi Parlimen Hulu Terengganu sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara Rosol dan Rozi.

    Apa yang pasti hanya pengundi yang dapat menentukan kemenangan calon pilihan masing-masing.

    Cuma ada yang berasa khuatir sekiranya Pas masih mahu meletakkan bekas calonnya, Muhyidin yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar bertanding di kerusi ini.