Tag: Hulu Selangor

  • 2 remaja ditahan hina pembuat kertas soalan Sejarah

    2 remaja ditahan hina pembuat kertas soalan Sejarah

    DUA remaja lelaki di Hulu Selangor ditahan polis bagi membantu siasatan video tular membabitkan pelajar sekolah menengah yang tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, dua remaja berusia 18 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun pada pukul 10.53 pagi semalam.

    “Terdahulu, polis mengesan video tular di TikTok dan Facebook yang berlaku di daerah ini.

    “Video itu memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.

    “Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Suffian berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan di rumah suspek dan menahan dua remaja lelaki warga tempatan.

    “Polis merampas sebuah telefon bimbit iPhone 11 dalam serbuan itu.

    “Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya, lapor Harian Metrp.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

    Suffian menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit yang menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga tercetusnya perbalahan.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan untuk pembersihan, siasatan

    Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan untuk pembersihan, siasatan

    MISI mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di Hulu Selangor, akan diteruskan untuk pembersihan serta siasatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, meskipun mangsa korban terakhir membabitkan kanak-kanak lelaki sudah ditemui namun operasi tetap diteruskan esok.

    “Operasi SAR masih kita teruskan bagi melaksanakan tindakan ‘flushing’ (pembersihan) dan siasatan di tempat kejadian.

    “Sekiranya tiada halangan atau perkembangan baharu SAR, kita jangkakan sehingga esok dan kita akan beri keputusan (lanjut atau tamat),” katanya dalam sidang media di lokasi hari ini, lapor Harian Metro.

    Turut sama dalam sidang media, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

    Sementara itu, Suffian menzahirkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit sepanjang sembilan hari operasi SAR iaitu JBPM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

    “Saya sebagai Komander Operasi juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti mendoakan agar proses pencarian semua mangsa terbabit,” katanya.

  • Operasi SAR tanah runtuh berjalan 24 jam

    Operasi SAR tanah runtuh berjalan 24 jam

    MISI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm di Goh Tong Jaya, di Hulu Selangor akan diteruskan selama 24 jam dengan tumpuan diberikan kepada sektor B dan C.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, misi itu bagaimanapun akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

    Norazam Khamis

    Beliau juga mengakui pasukan penyelamat berdepan kesukaran dalam misi SAR berikutan keadaan mangsa yang dipercayai tertimbus pada kedalaman kira-kira 1.2 meter (m), selain kedudukan mereka teralih berikutan gelongsoran tanah.

    Sejumlah 16 mangsa yang maut katanya ditemui di sektor A, manakala tiga lagi di sektor C, selain menjangkakan baki mangsa yang masih tertimbus berada di sektor B dan C.

    Sektor A bagi misi SAR berkenaan terletak di kem Hillview, manakala sektor B di kem Farmview dan sektor C pula berhampiran kem Riverside.

    “Setakat ini masih ada runtuhan susulan di sektor A antara jam 7 hingga 9 pagi tadi, namun sekarang sudah stabil dan kita sentiasa dalam keadaan waspada kerana terdapat aliran air di kawasan runtuhan.

    “Kita juga masih meneliti pergerakan tanah dan akan meminta pasukan penyelamat menghentikan misi jika berlaku sebarang insiden atau aktiviti geologi di kawasan pencarian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

  • Tanah runtuh: 16 maut setakat pukul 1 tengah hari

    Tanah runtuh: 16 maut setakat pukul 1 tengah hari

    LIMA lagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor ditemui meninggal dunia, setakat pukul 1 tengah hari tadi.

    Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia ketika ini seramai 16 orang.

    Suffian Abdullah

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, berdasarkan rekod, terdapat 17 lagi mangsa yang sedang dicari.

    “Pihak polis menggunakan kaedah inkubator dan sistem penyodok dalam mencari dan menyelamatkan mangsa,” katanya di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

    Suffian berkata, pada masa ini kekuatan pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi keselamatan ditambah membabitkan 15 agensi.

    Katanya, dari segi penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut sama membantu adalah Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerak Am (PGA),” katanya.