Tag: hukuman

  • Terengganu lulus enakmen berkait aktiviti bomoh, sihir

    Terengganu lulus enakmen berkait aktiviti bomoh, sihir

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022 yang antara lain memasukkan Seksyen 3A melibatkan aktiviti perbomohan dan sihir.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Satiful Bahari Mamat berkata pindaan enakmen tersebut juga melibatkan Seksyen 33A (orang perempuan berlagak seperti lelaki); Seksyen 36A (persediaan melakukan liwat); dan Seksyen 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah).

    “Kita cuba memanfaatkan ruang yang ada dengan memaksimumkan hukuman berdasarkan Peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

    “Dengan adanya pindaan ini kita mengharapkan supaya kesejahteraan umat Islam khususnya di Terengganu lebih terjaga dan terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas sesi persidangan DUN di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.

    Satiful Bahari berkata mengenai kemasukan seksyen melibatkan perbomohan dan sihir, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk memantau perkara tersebut bagi memastikan masyarakat Islam di Terengganu tidak mendapatkan rawatan alternatif yang bercanggah hukum Islam dan hukuman dikenakan hanya melibatkan perawat, bukannya pesakit.

    Bagi seksyen berkaitan orang perempuan berlagak seperti lelaki pula, katanya sebelum ini peruntukan undang-undang sedia ada hanya melibatkan lelaki menyerupai perempuan.

    “Sebab dahulu mungkin tidak ada sangat isu ini (perempuan menyerupai lelaki), tetapi kita tengok sekarang kes ‘pengkid’ dan sebagainya semakin berleluasa jadi kerajaan negeri berhasrat untuk membendung isu ini,” katanya.

    Selain kemasukan empat seksyen tersebut, katanya pindaan pada hari ini juga melibatkan 21 seksyen yang sedia ada dan akan mula dilaksanakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. – BERNAMA

  • Rasuah ejen TNB: Dua pelombong Bitcoin didenda RM55,000

    Rasuah ejen TNB: Dua pelombong Bitcoin didenda RM55,000

    DUA pelombong mata wang crypto Bitcoin masing-masing didenda RM45,000 dan RM10,000, selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka, atas kesalahan mencuri elektrik.

    Hakim Mahkamah Sesyen Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Tey Boon Sin, 33, dan Leang Ting Sheng, 43.

    Tey didenda RM20,000 atau penjara lima bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan RM25,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan pilihan kedua.

    Leang pula didenda RM3,000 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan RM7,000 atau penjara dua bulan atas pertuduhan pilihan kedua.

    Mengikut pertuduhan, Tey didakwa  memberi suapan wang tunai sebanyak RM14,500 dan RM17,500 kepada ejen TNB, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kerana mengambil dan menggunakan elektrik.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Starbucks Coffee, Jalan Kota Laksamana pada 3.45 petang, 6 Okt 2021 dan di tempat letak kereta berhadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka pada 6 petang, 19 Nov 2021.

    Sementara itu, Leang dituduh memberi suapan kepada ejen TNB sebanyak RM500 dan RM2,500, dengan niat yang sama.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Medan Samudera, Jalan Merdeka pada 4 petang, 20 Sept 2021 dan tempat letak kereta Freeport A Famosa Outlet, Alor Gajah pukul 3.50 petang, 4 Okt 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

    Terdahulu peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili  Tey, merayu hukuman ringan kerana perniagaan anak guamnya ditutup akibat COVID-19 dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap serta bergantung hidup dengan simpati rakan-rakan.

    Peguam Azri Abd Hamid yang mewakili Leang memohon hukuman ringan kerana tertuduh tidak bekerja dan ditanggung oleh isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah mengenakan hukuman berat, kerana rasuah kesalahan serius dan mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam. – BERNAMA

  • Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    SEORANG wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dua minggu lepas.

    Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, yang merupakan ibu kandung kepada mangsa dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh bagi menunggu fakta kes dan menetapkan 29 Sept depan sebagai tarikh jatuh hukum.

    Mengikut kertas pertuduhan, Tan yang tidak bekerja dan Chua yang merupakan pengawal keselamatan didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera di sebuah rumah di Champhor Garden City, Bandar Hilir di sini, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya  Anis Wahida Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mangsa kini ditempatkan di bawah penjagaan sementara keluarga saudaranya dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.- BERNAMA

  • Hukuman lebih berat bela pekerja kemalangan di tempat kerja

    Hukuman lebih berat bela pekerja kemalangan di tempat kerja

    SETIAP kali berlaku insiden kemalangan di tempat kerja termasuk tapak binaan dan kilang yang turut melibatkan kematian, sudah tentunya isu yang berbangkit ialah apakah nasib pekerja yang malang itu?

    Apakah mencukupi tindakan yang dikenakan ke atas pihak yang didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat?

    Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya ke atas pihak yang didapati bersalah kerana cuai dan mengabaikan aspek keselamatan pekerja sehingga menyebabkan kemalangan serta kematian.

    Banyak pihak yang menganggap hukuman berkenaan sebagai terlalu rendah dan tidak setimpal berbanding dengan nasib yang menimpa pekerja yang malang itu.

    Mereka mahukan akta tersebut dipinda dengan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pihak terlibat.

    Bernama mendapatkan penjelasan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Zailee Dollah serta Peguambela & Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Ahmad Ishrakh Saad sama ada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ini perlu digubal atau dipinda dari segi hukuman bagi memberikan lebih pengajaran kepada pihak yang bertanggungjawab.

    PENJARA MAKSIMUM LIMA TAHUN

     Ahmad Ishrakh berpandangan, sudah tiba masanya hukuman di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 itu disemak dan digubal memandangkan ia telah melangkaui usia 27 tahun.

    “Kerajaan perlu membuat semakan semula dengan mengambil kira situasi semasa. Ini kerana hukuman dalam kes jenayah perlu mencapai matlamatnya iaitu penghukuman, teladan, pencegahan berserta pemulihan,” katanya.

    Menurut beliau, hukuman yang membabitkan kes jenayah juga perlu setimpal dengan perkara yang telah dilakukan si pelaku kerana jika hukuman tidak setimpal, ia akan gagal mencapai matlamat tersebut.

    “Saya berpendapat hukuman sedia ada perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya penjara maksimum lima tahun. Ini menjadikan kes ini sebagai kes tangkap dan bukan kes saman. 

    “Jikalau hukuman dua tahun ke bawah, ia tergolong di bawah kes saman yang lazimnya tidak dianggap serius. Suspek lazimya tidak boleh ditahan tanpa waran. Sebaliknya, jika hukuman penjara lebih dua tahun, ia tergolong dalam kes tangkap di mana suspek lazimnya boleh ditahan dan direman,” tegasnya.

    TINGKATKAN DENDA KEPADA RM500,000

    Isu ini turut dipandang serius oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak agensi terbabit sedang merangka pindaan yang kini dalam peringkat akhir.

    Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Zailee Dollah berkata, JKKP kini dalam proses akhir bagi membuat pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

    “Rang Undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) kini menunggu masa untuk Bacaan Kedua di Dewan Rakyat, apabila Parlimen bersidang kelak. Antara pindaan yang akan dimasukkan ialah peruntukan berkenaan kenaikan kadar denda maksimum daripada RM50,000 kepada RM500,000,” katanya.

    Beliau berkata, kerajaan senantiasa menganggap pekerja sebagai aset penting negara yang bukan sahaja mencari rezeki untuk keluarga mereka tetapi juga menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negara. 

    “Negara akan mengalami kerugian yang besar jika terdapat pekerja cedera atau maut disebabkan pekerjaan mereka. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan negara kehilangan empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berpunca daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan.

    “Kerajaan tidak mahu pihak majikan hanya menumpukan kepada aspek keuntungan perniagaan semata-mata hingga mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja,” katanya.

    Menurut beliau, mengikut rekod,  kadar kemalangan pekerjaan negara menurun sebanyak 63 peratus, iaitu daripada 5.84 untuk setiap 1,000 orang pekerja pada tahun 2004, kepada 2.18  untuk setiap 1,000 orang pekerja pada tahun 2020.

    Manakala bagi kadar kematian pekerjaan, ianya menyusut sebanyak 71 peratus, iaitu daripada 7.17 untuk setiap 100,000 orang pekerja pada tahun 2004, kepada 2.09 untuk setiap 100,000 orang pekerja pada tahun 2020.

    “Walaupun kadar kemalangan dan kematian pekerjaan negara mencatatkan penurunan, masih ramai pekerja yang ditimpa kemalangan di tempat kerja. Pada tahun 2020, seramai 32,674 pekerja terlibat dengan kemalangan pekerjaan dengan 312 daripadanya merupakan kemalangan maut,” katanya.

    Zailee berkata, atas dasar tersebut, kerajaan turut berpandangan, kadar denda sedia ada adalah terlalu rendah dan pihak kerajaan sering mendapat maklum balas daripada orang awam, parti politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kesatuan Sekerja yang meminta supaya kadar penalti dinaikkan.

    “Kenaikan denda yang tinggi untuk kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) juga adalah selaras dengan praktis yang dilaksanakan di negara-negara maju bagi memastikan majikan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja mereka,” katanya.

    PERANAN EFEKTIF SECARA BERSAMA

    Dalam menangani usaha ini, Zailee berkata, semua pihak termasuk agensi kerajaan, majikan dan pekerja, pengamal KKP serta pihak industri perlu melaksanakan peranan mereka secara efektif dan berintegrasi,. 

    Ini, katanya, bagi membentuk serta memperkukuh lapisan perlindungan yang mampu mengelakkan kegagalan sistem KKP sekaligus mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan.

    “Sehubungan itu juga, pihak kerajaan menerusi JKKP akan melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021 – 2025, atau ringkasnya OSHMP25 yang bertemakan KKP Inklusif: Kebersamaan dan Komitmen.

    “Penglibatan semua pihak berkepentingan dalam pelaksanaan OSHMP25 ini dijangka akan melonjakkan tahap KKP negara ke peringkat yang lebih cemerlang bertujuan melindungi sumber manusia, yang merupakan aset penting dalam menjayakan program pembangunan negara,” tambahnya.

    RUANGAN SISI

    KES TANAH RUNTUH DI BUKIT KUKUS, PULAU PINANG

    Pada 19 Okt 2018, negara dikejutkan dengan berita kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak projek jalan berkembar Paya Terubong di Bukit Kukus kendalian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

    Insiden itu meragut nyawa sembilan orang pekerja asing terdiri daripada tiga orang lelaki Indonesia, lima orang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar. Empat orang pekerja lain cedera dan seorang dilaporkan hilang.

    Dalam tragedi yang dilaporkan berlaku pada pukul 1.56 tengah hari itu, tanah di tapak projek pembinaan jalan raya berkembar yang menghubungkan Paya Terubong ke Relau di Bukit Kukus itu runtuh bersama 13 buah kontena yang menjadi tempat tinggal pekerja.

    Sebelum itu, pada 11 Okt 2018 di kawasan yang sama, hujan lebat berserta angin kencang mengakibatkan 14 rasuk konkrit berukuran 25m panjang setiap satu di lereng cerun Jalan Tun Sardon jatuh ke lereng bukit di Projek Bukit Kukus itu.

    Susulan kejadian hingga meragut nyawa itu, kontraktor serta pengarah bagi projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong, di Jalan Bukit Kukus itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen George Town atas beberapa tuduhan pindaan antaranya gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh di tapak projek itu.

    Syarikat tersebut iaitu Yuta Maju Sdn Bhd (Yuta Maju) yang diwakili pengarah syarikatnya turut berdepan pertuduhan sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah  bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara, sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh pada pukul 1.50 tengah hari, 19 Okt 2018.

    Semasa kes itu dituduh pada 2019, syarikat tersebut pada mulanya membuat pengakuan tidak bersalah namun akhirnya menukar pengakuan kepada bersalah pada 19 Feb tahun lepas dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM35,000 masing-masing kepada syarikat dan pengarah projek itu atas kesalahan terbabit.

    Pada 8 Jan tahun 2020, syarikat itu yang diwakili pengarahnya, Osmera Mamat didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen George Town selepas mengaku bersalah kerana gagal memastikan dan menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan tapak pembinaan ‘Projek Pembinaan Sebahagian Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong Pulau Pinang’, pada pukul 8.30 malam, 11 Okt 2018. – BERNAMA