Tag: hujan

  • Hujan, banjir di beberapa kawasan disebabkan monsun barat daya melemah

    Hujan, banjir di beberapa kawasan disebabkan monsun barat daya melemah

    KEADAAN hujan dan banjir di beberapa kawasan ketika ini disebabkan negara sedang mengalami tempoh Monsun Barat Daya yang melemah (monsoon break), kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

    Beliau berkata keadaan itu berlaku apabila terdapat perubahan tiupan angin memasuki kawasan negara, sekali gus menggalakkan pembentukan awan aktif dan menyebabkan keadaan cuaca lembap.

    “Lazimnya, pada tempoh Monsun Barat Daya keadaan lebih kering dan berjerebu dengan negara mengalami hujan bulanan minimum, biasanya antara 100 dan 150 milimeter serta atmosfera yang stabil di kawasan Khatulistiwa.

    “Bagaimanapun, fenomena garis badai (squall line) yang boleh terjadi semasa Monsun Barat Daya menyebabkan cuaca hujan lebat dan angin kencang berserta petir pada awal pagi, terutama di kawasan pantai barat Semenanjung dan barat Sabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Shelf of Sustenance (SOS) Met Malaysia, iaitu bantuan keperluan asas kepada petugas yang memerlukan di ibu pejabat jabatan berkenaan di sini hari ini. 

    Bagaimanapun, Muhammad Helmi berkata keadaan hujan itu semakin berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

    Dalam pada itu, beliau berkata negara dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada sebelah petang dan menjelang malam ketika fasa Peralihan Monsun pada Oktober ini, khususnya di negeri-negeri Pantai Barat. 

    Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil maklum amaran cuaca di tempat masing-masing kerana lazimnya berlaku keadaan banjir kilat dan insiden pokok tumbang semasa tempoh itu.

    Mengenai jangkaan situasi banjir di negeri Pantai Timur semasa Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh, beliau berkata MetMalaysia hanya boleh meramalkan keadaan itu dalam tempoh satu hingga dua hari sebelum sebarang fenomena cuaca berlaku. – BERNAMA

  • Ratusan rumah dilanda banjir kilat di Pulau Pinang

    Ratusan rumah dilanda banjir kilat di Pulau Pinang

    RATUSAN buah rumah di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang, Pulau Pinang dinaiki air lebih melebihi paras lutut hari ini ekoran hujan lebat sejak tengah hari tadi.

    Antara kampung yang terjejas dilanda banjir kilat itu ialah Kampung Sulup; Sungai Burung; Kampung Terang; Titi Teras, Taman Seri Indah dan Pulau Betong.

    Malah, beberapa batang jalan di kawasan itu juga tidak boleh dilalui kenderaan ringan selepas ditenggelami air yang melimpah dari sungai berdekatan.

    Bagaimanapun setakat pukul 7 malam ini, tiada mangsa dipindahkan ke lokasi selamat namun pihak berkuasa kini bersiap sedia mengambil langkah segera sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

    Sementara itu seorang penduduk di Teluk Kumbar, Sulaiman Arshad, 50-an, berkata, dia sekeluarga sudah memindahkan perabot dan perkakasan elektrik ke tempat lebih tinggi untuk diselamatkan.

    Katanya, dia bimbang sekiranya berlaku fenomena air laut pasang malam ini yang boleh menyebabkan keadaan banjir di kawasan perumahannya menjadi lebih buruk.

    “Setakat ini air hanya naik setakat paras buku lali, tetapi kami masih perlu berwaspada kerana keadaan banjir boleh menjadi lebih buruk sebab hujan masih belum berhenti dan fenomena laut pasang boleh berlaku malam ini,” katanya.

    Menurutnya, kejadian hari ini merupakan kali kedua rumahnya dinaiki air akibat hujan lebat selepas kali pertama pada bulan Mei lalu yang turut menyebabkan perabot dan perkakasan elektrik miliknya rosak.

    Tambah Sulaiman, kejadian banjir juga kerap berlaku di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini barangkali berpunca beberapa projek komersial yang sedang rancak dijalankan di sekitar Teluk Kumbar.

    “Sebab itu penduduk berharap pihak berwajb dapat memantau situasi ini dan mencari penyelesaian seperti menaik taraf sistem pengairan sesuai dengan kepadatan penduduk.

    “Ini kerana kami tidak mampu lagi berdepan dengan situasi seperti ini  memandangkan setiap kali selepas hujan lebat dan banjir kilat, kami terpaksa menanggung kerugian yang besar,” katanya.