Tag: HRPB

  • Mayat lelaki ditemui di belakang kuil, berdekatan belukar

    Mayat lelaki ditemui di belakang kuil, berdekatan belukar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki berusia 40-an ditemui maut di kawasan belukar di belakang kuil di Jalan Lahat, Simpang Pulai, Ipoh, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.15 tengahari memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

    “Sekumpulan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh dan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh digerakkan bagi menjalankan siasatan di lokasi penemuan,” lapor BH, hari ini.

    Katanya, hasil siasatan pegawai penyiasat dan forensik mendapati tiada unsur jenayah atas kematian mangsa.

    Yahaya berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Warga emas didakwa kelar, bunuh isteri

    Warga emas didakwa kelar, bunuh isteri

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG warga emas, Lim Hon Koi, didakwa atas pertuduhan mengelar leher dan membunuh isterinya di Taman Desa Cahaya di Gopeng, Ipoh, minggu lalu.

    Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hari ini kerana tertuduh, 72, menerima rawatan radang usus.

    Warga emas itu didakwa mengelar leher isterinya, Chan Moy, 74, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu telah menyebabkan kematiannya.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik tingkat bawah sebuah rumah di Taman Desa Cahaya, Gopeng antara pukul 8 malam pada 8 Ogos hingga 7.30 pagi 9 Ogos lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dari Mahkamah Majistret Kampar namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Nur Faizah kemudiannya menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, laporan kimia dan toksikologi.