Tag: hospital melaka

  • Lelaki didakwa dibelasah warga Myanmar meninggal dunia

    Lelaki didakwa dibelasah warga Myanmar meninggal dunia

    LELAKI tempatan yang koma dipercayai akibat dipukul enam pekerja kilang warga Myanmar akhirnya meninggal dunia, semalam selepas 28 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

    Mangsa, E Murali Kuppusami, 50, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.57 petang di hadapan enam anaknya berusia 11 hingga 24 tahun.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah mengesahkan kematian mangsa yang dirawat di Hospital Melaka sejak 31 Oktober lalu termasuk kes akan dipinda untuk siasatan mengikut kesalahan membunuh.

    “Mangsa yang sebelum ini parah dan koma disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di ICU Hospital Melaka.

    “Kita akan merujuk kes ini kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan meminda pertuduhan daripada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

    Media pada Jumaat lalu melaporkan enam pekerja kilang warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dua pertuduhan membelasah mangsa dan anak lelakinya dengan kayu hingga menyebabkan Murali Kuppusami koma.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kyaw Swar Tun, 21, Win Zaw, 30, Zin Min Htet, 23, Nyi Lin Paing, 23, Aung Myint Thein dan Mya Soe, 33, kerana mereka gagal memahami bahasa Melayu.

    Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan parah ke atas M K Daniel, 19, dan bapanya, Murali Kuppusami dengan menggunakan objek kayu iaitu alat yang mungkin menyebabkan kematian.

    Perbuatan itu dilakukan pada pukul 10.40 malam di bawah Blok L, Pangsapuri Taman Tasek Utama, Melaka Tengah pada 31 Oktober lalu.

    Difahamkan mangsa dikatakan dibelasah selepas menegur tertuduh agar tidak membuat bising di pangsapuri berkenaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 21 Disember ini bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar dan tiada jaminan ditawarkan terhadap semua tertuduh.

  • Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    ALASAN sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal, yang menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

    “Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Kata beliau hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

    “Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

    Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA