Tag: hospital medan

  • Hospital Medan Pulau Pinang dijangka terima pesakit pertama esok

    Hospital Medan Pulau Pinang dijangka terima pesakit pertama esok

    HOSPITAL Medan yang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan letak kenderaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown dijangka menerima pesakit Covid-19 pertama pukul 9 malam esok.

    Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Dr. Zamri Derahman berkata, ketika ini pasukan jurutera sedang melakukan penilaian akhir sebelum Hospital Medan itu dapat beroperasi sepenuhnya.

    Bagaimanapun jelas beliau, HPP perlu menjalankan operasi pembersihan penuh di hospital itu terlebih dahulu sebelum boleh menerima pesakit untuk dirawat.

    “Ketika ini dari segi persediaan infrastruktur hospital medan itu sudah mencapai 90 peratus.

    “Pagi esok pasukan jurutera akan melakukan penilaian akhir yang mana jika dipenuhi, maka hospital ini sedia menerima pesakit,” katanya selepas sesi ujian penuh dan latihan keselamatan kebakaran di Hospital Medan terbabit hari ini.

    ATM memulakan pembinaan hospital itu pada 16 September lalu dengan 23 khemah didirikan di atas kawasan seluas 2,300 meter persegi yang bakal menempatkan 96 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU).

    Pembinaan itu susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 11 September lalu yang menyatakan sebuah hospital medan akan dibina di hospital awam berkenaan bagi menampung lebih ramai pesakit Covid-19 di Pulau Pinang.

    Dalam pada itu, Dr. Zamri berkata, ATM akan menugaskan seramai dua pegawai dan 22 anggota di Hospital Medan terbabit bagi membantu kelancaran operasinya.

    Jelasnya, mereka akan membantu seramai lima pakar, 54 pegawai perubatan dan 250 kakitangan sokongan serta jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan bertugas di hospital tersebut.

  • Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    SERAMAI 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin COVID-19 esok menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata kumpulan itu terdiri daripada remaja berumur 16 serta 17 tahun dan remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi iaitu bermasalah dengan sistem imun.

    “Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak…kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

    “Selepas kumpulan awal ini pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Hospital Medan Sementara di Lapangan Terbang Lama, Jalan Utara, di sini hari ini.

    Pemberian vaksin berkenaan susulan daripada keputusan dasar dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja.

    Khairy berkata selepas Sarawak, vaksinasi kepada golongan remaja akan diberikan kepada negeri yang sudah mencapai vaksinasi lengkap 80 peratus golongan dewasa seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor.

    Sementara itu, beliau berkata sebuah Hospital Medan Sementara dengan 108 katil serta dua dewan pembedahan dalam pertimbangan untuk dibina di tapak Lapangan Terbang Lama di Jalan Utara bagi menampung kes-kes COVID-19

    Menurutnya sebuah yayasan antarabangsa menawarkan untuk membina hospital berkenaan dan permohonan mengenai perkara itu sedang dipertimbangkan di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Hospital Medan Sementara ini seharusnya dibina dalam tempoh singkat bagi menampung keperluan kes COVID-19 selain menunggu projek pembinaan Hospital Tawau siap sepenuhnya tahun hadapan,” katanya yang menambah projek Hospital Tawau itu kini 60 peratus siap.

    Terdahulu pada lawatan rasminya ke Tawau, Khairy yang diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut meluangkan masa ke Klinik Sri Balung bagi menyampaikan Anugerah PeKa B40 berikutan pencapaian klinik itu menjalankan saringan kesihatan tertinggi tahun lepas.- BERNAMA

  • ATM dirikan hospital medan di lima negeri terjejas Covid-19

    ATM dirikan hospital medan di lima negeri terjejas Covid-19

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan mendirikan Hospital Medan di lima negeri yang dikenal pasti berdepan penularan jangkitan harian Covid-19 yang tinggi ketika ini.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima negeri berkenaan ialah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

    Menurutnya, usaha bagi mengurus dan meredakan situasi di kesemua negeri berkenaan sudah tentunya akan menjadi keutamaan ATM.

    “Saya telah menjelaskan semalam, antara perkara paling penting bagi ATM ketika ini ialah memenuhi agenda nasional terutama memerangi Covid-19.

    “ATM sememangnya mempunyai infrastruktur, aset serta kepakaran yang mencukupi dan sedia diatur gerak pada bila-bila masa.

    “Sehubungan dengan itu, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera bersedia untuk membantu pihak Kerajaan dengan mendirikan Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang akan dikenalpasti oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, pembinaan Hospital Medan itu bagi membantu memberikan rawatan ke atas pesakit-pesakit Covid-19 khususnya yang berada dalam keadaan tahap 3 ke atas.

    Ujarnya, beliau percaya, bantuan ATM itu akan dapat membantu berupaya mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di negeri-negeri berkenaan.

    Selain itu katanya, ATM juga bersedia untuk membantu menyediakan tim vaksinasi ATM di negeri-negeri yang memerlukan khasnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai oleh pihak KKM,” katanya.

    “Ini selepas mengambil kira kenyataan Menteri Kesihatan semalam bahawa antara keutamaan sekarang ialah untuk meningkatkan bekalan dan mempercepatkan pemberian vaksin di lima negeri berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata, ATM juga akan memberi bantuan sewajarnya bagi menjayakan usaha memerangi Covid-19 di negeri-negeri lain tidak terhad kepada lima negeri terbabit sahaja.

    “Ini termasuklah meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam seperti yang ditetapkan oleh Sidang Khas MKN hari ini.

    “ATM kini hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF),” tambahnya.

  • Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Oleh: Bernama

    HOSPITAL medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dijangka akan mula beroperasi pada petang Jumaat ini (6 Ogos).

    Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ATM bagi memastikan fasiliti itu selamat digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

    “Hari ini kami sedang laksanakan pemeriksaan dengan teliti dan esok kami akan mulakan latihan pengoperasian sehingga pagi Jumaat, pada sebelah petang atau malam kami jangka akan mula menggunakan hospital medan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dr Zulkarnain berkata hospital yang dibangunkan di tempat letak kenderaan HTAR dengan anggaran keluasan 15.24 meter (m) panjang dan 30.48m lebar itu mempunyai kelengkapan yang selesa antaranya bilik rawatan pesakit, bilik donning dan doffing, tandas, bilik mandi serta kaunter jururawat.

    Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang merawat kira-kira 1,000 pesakit COVID-19 dan hospital medan yang mempunyai 100 katil akan digunakan untuk pesakit kategori tiga dan ke atas yang memerlukan rawatan terapi oksigen khusus.

    Sementara itu, Dr Zulkarnain mengalu-alukan penyertaan orang awam yang ingin menjadi sukarelawan bukan perubatan di hospital medan dalam membantu kelancaran pengoperasian hospital itu dan boleh menghubungi Mercy Malaysia bagi maklumat lanjut.

    Pembinaan hospital medan adalah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 Mercy Malaysia, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Maybank dan Mercy Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit COVID-19 terutamanya di Lembah Klang. – BERNAMA