Tag: hina Nabi Muhammad SAW

  • Ahli politik siar video hina Nabi Muhammad SAW cetus ketegangan di India

    Ahli politik siar video hina Nabi Muhammad SAW cetus ketegangan di India

    KETEGANGAN tercetus di bandar Hyderabad di selatan India selepas seorang pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) mengeluarkan video menghina Nabi Muhammad (SAW).

    BJP menggantung anggota Dewan Undangan Negeri Telangana, T. Raja Singh selepas beliau ditahan polis pada Selasa kerana kenyataan yang menyinggung perasaan itu.

    Bagaimanapun, Singh dibebaskan beberapa jam selepas dihadapkan ke mahkamah.

    Umat ​​Islam mengadakan protes di Hyderabad, ibu kota Telangana, menuntut penahanan ahli politik itu.

    Singh merupakan ahli politik kontroversi kerana pernah membuat komen provokatif tentang umat Islam dan Islam sebelum ini.

    Negeri itu diperintah oleh Telangana Rashtra Samithi (TRS), sebuah parti politik negeri.

    Dalam video yang disiarkan di media sosial pada Rabu, anggota polis yang berpakaian anti rusuhan dilihat memukul penunjuk perasaan dan menyerbu masuk ke dalam rumah.

    Presiden Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM) Seluruh India Asaduddin Owaisi, yang mewakili Hyderabad di parlimen India, berkata terdapat “cubaan yang disengajakan” oleh BJP dan anggota dewan tempatan untuk menimbulkan masalah.

    Beliau berkata bantahan akan berterusan sehingga ahli politik BJP itu dipenjarakan.- BERNAMA

  • Ahli politik India hina Nabi, umat Islam diseru bersatu

    Ahli politik India hina Nabi, umat Islam diseru bersatu

    UMAT Islam di negara ini diseru supaya bersolidariti dalam menentang penghinaan yang dilakukan oleh dua ahli politik India terhadap Nabi Muhammad SAW.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, penghinaan berkenaan dianggap sebagai perbuatan melampau dan tidak boleh diterima.

    “Malah perkara ini juga boleh dijadikan iktibar dan pengajaran bahawa orang Islam perlu bangkit dan bersatu barulah orang tidak boleh hina agama dan Nabi kita, sekali gus akan berasa gerun apabila melihat umat Islam bersatu, kalau kita berpecah orang boleh buat apa sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin.

    Sebelum ini media melaporkan Malaysia bersama Indonesia, Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik daripada parti pemerintah India yang didakwa menghina Islam baru-baru ini.

    Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu turut menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak bertindak tegas dalam isu tersebut, malah katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terlebih dahulu telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu dan mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

    “Saya juga telah mengeluarkan dua kenyataan untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini dan Alhamdulillah kita tengok sensitiviti orang Islam terhadap Nabi masih tinggi yang memberi respon pada kenyataan yang dikeluarkan.

    “Selain itu, saya juga difahamkan hari ini terdapat beberapa penyertaan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sedang berarak ke kedutaan India untuk membuat bantahan, jadi kita sokong bantahan tersebut,” katanya.

    Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) mewakili 140 badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Jalan Pahang di sini, berhubung isu penghinaan Nabi Muhammad SAW.

    Pengerusi MAIM, Muhammad Najhan Shahir Halim berkata, memorandum itu dihantar untuk memohon kerajaan India khasnya Parti Bharatiya Janata (BJP) mengenakan tindakan tegas melucutkan jawatan dalam parti atau kerajaan terhadap dua pemimpin parti itu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

    “Kami kesal dan dukacita terhadap kenyataan pemimpin BJP India, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan juga Naveen Jindal atas komennya di media sosial terhadap Nabi Muhammad.

    “Kerajaan India khasnya Parti BJP perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum berkenaan.

    Muhammad Najhan Shahir berkata, pihaknya menyokong usaha dan tindakan tegas Kerajaan Malaysia yang memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia serta menyatakan bantahan rasmi terhadap negara itu.

    Baru-baru ini dua jurucakap BJP yang mentadbir India telah mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA.

    Perkara itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh negara, terutama di Asia Barat, yang mengutuk tindakan itu sehingga terdapat pusat beli-belah yang memunggah keluar produk India daripada rak jualan. – BERNAMA