Tag: HIMPIT 2023

  • Pihak kecam guna replika senjata, kostum terikut Islamofobia, kata Hadi

    Pihak kecam guna replika senjata, kostum terikut Islamofobia, kata Hadi

    PAS menyifatkan pihak yang mengecam penggunaan replika senjata dan kostum tentera Islam semasa perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 Jumaat lalu sehingga mengundang polemik masyarakat seolah-olah terikut dengan Islamofobia.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa golongan terbabit juga sudah menggambarkan kedudukan Islam itu sebagai agama yang menakutkan.

    “Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.

    “Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa.

    Umat Islam bawa pedang kayu tak boleh,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika hadir Majlis Apresiasi dan Makan Malam Pra Satu Dekad Khidmat Malaysia di sini, malam ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Mengulas lanjut Hadi berkata, malangnya ada pihak yang terpengaruh dengan naratif ketakutan yang cuba digambarkan pihak tertentu itu.

    “Malangnya ada orang yang terpengaruh seolah-olah Islam ini menakutkan. Kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, hikmah,” katanya.

    Penggunaan barangan replika pedang dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 Jumaat lalu mencetuskan polemik di media sosial.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penganjuran perarakan bersama replika senjata dalam satu perhimpunan terbuka adalah tidak wajar dan mengundang keresahan awam.

    Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan apabila tular di media sosial jelas ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

    Susulan itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dilaporkan berkata, pihaknya merampas replika senjata yang digunakan ketika perarakan HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.

  • HIMPIT manifestasi sayang perjuangan sahabat Rasulullah SAW, cinta Islam

    HIMPIT manifestasi sayang perjuangan sahabat Rasulullah SAW, cinta Islam

    PROGRAM Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 yang diadakan di Terengganu, minggu lalu, adalah manifestasi semangat sayang kepada perjuangan sahabat Rasulullah SAW dan cinta kepada Islam.

    Tegas Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin, kostum peserta perarakan pada program itu adalah pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam pada zaman sahabat Rasulullah SAW.

    Malah katanya, Pas mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang sebelum ini dilaporkan berkata perarakan terbabit adalah satu daripada acara dipertandingkan pada program berkenaan, iaitu reka cipta bertemakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.

    “Kenyataan berkenaan (dilihat sebagai) telah menjawab tohmahan jahat dilemparkan seorang pemimpin muda sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Kelantan yang mengaitkan ‘cosplay’ himpunan HIMPIT di Terengganu sebagai unsur yang boleh disiasat bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357). Ada juga yang mencadangkan ia dilihat dalam aspek ‘anti keganasan’ (counter terrorism).

    “Kami melihat isu ini sengaja dilemparkan kepada Pas dalam usaha memburuk-burukkan imej parti ini, selain membawa lagi satu dogma Islamofobia dalam masyarakat,” dakwanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut, dalam satu kenyataan, semalam.

    Lapor Berita Harian, polis sudah memanggil 12 individu, termasuk penganjur program HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan berhubung perarakan membabitkan replika senjata di Setiu pada Jumaat lalu.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dalam satu kenyataan, semalam, berkata mereka yang diambil keterangan itu meliputi ahli jawatankuasa program berkenaan.

    Beliau memaklumkan, sebahagian lagi peserta HIMPIT 2023 juga akan dipanggil nanti.

    Jumaat lalu, Dewan Pemuda Pas Terengganu (DPPNT) dilapor menganjurkan program HIMPIT 2023 di daerah Setiu dengan dirasmikan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Bagaimanapun, himpunan itu yang dikata diadakan DPPNT sebagai acara tahunan sejak 1991, mencetuskan polemik apabila peserta berarak sambil membawa replika senjata.

    Namun, Ketua DPPNT, Mohd Harun Isa, dilapor menjelaskan bahawa peserta mengikut tema perarakan dan ia sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.

    Mohd Harun dipetik berkata, tiada istilah keganasan dan provokasi, sebaliknya perarakan itu menggambarkan kreativiti peserta mempamerkan idea masing-masing.

    Kelmarin, Rohaimi dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kesalahan dilakukan penganjur dalam perarakan HIMPIT 2023.