Tag: hiburan

  • Mat Kilau kutip RM47 juta selepas 11 hari tayangan, bakal cipta rekod

    Mat Kilau kutip RM47 juta selepas 11 hari tayangan, bakal cipta rekod

    FILEM biografi epik, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang telah mencetuskan fenomena luar biasa telah berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM47 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.

    Pengarahnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof menerusi hantarannya di Instagram berkata jumlah kutipan itu bakal mengatasi rekod pecah panggung filem Munafik 2 yang juga karya arahannya pada tahun 2018.

    “Mat Kilau adalah filem terpantas mencecah RM47 juta hanya dalam 11 hari. Bakal mengatasi rekod pecah panggung Munafik 2 (RM48 juta). Hilang kata…limpah kurnia dari-Nya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem untuk bangsa dan negara,” katanya.

    Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu juga berkata, filem itu juga masih menduduki carta filem nombor satu di Malaysia dan berjaya mengetepikan filem Hollywood untuk minggu kedua.

    Sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lepas, filem yang dinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu telah berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial selain ia telah membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir ke pawagan.

    Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian. – BERNAMA

  • Wanita dakwa jadi isteri hantu Michael Jackson

    Wanita dakwa jadi isteri hantu Michael Jackson

    SEORANG wanita membuat dakwaan yang tidak masuk akal apabila mendakwa berkahwin dengan hantu mendiang raja pop dunia, Michael Jackson.

    Lebih pelik, dia juga mendakwa dirinya adalah jelmaan semula mendiang aktres Hollywood, Marilyn Monroe.

    Memetik laporan Daily Star, Kahtleen Roberts mendakwa, Michael mengahwininya kerana mahu menggunakannya sebagai pengantara untuk memakan biskut.

    Katanya, mereka telah menjalinkan hubungan sejak beberapa tahun lalu dan Michael turut menggunakan tubuhnya untuk menyanyi serta menari.

    Namun, wanita itu agak kecewa kerana hantu Michael tidak mahu melakukan hubungan intim dengannya.

    Hubungan itu memang luar biasa dan sukar dibuktikan tetapi Kathleen menegaskan bahawa fikirannya masih waras dan dia berkata benar.

    Sebelum ini, dia berkongsi kisah tentang perkahwinannya itu melalui TikTok namun perkongsiannya itu telah dipadamkan.

    Kini, apa yang tinggal adalah catatan yang dikongsikannya tahun lalu.

    Kathleen yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) juga menggambarkan hantu Michael sebagai peramah dan suka berbual.

    “Dia menyanyi dan menari semasa merasuk saya. Dia juga banyak bercakap dengan saya, sesuatu yang saya tidak jangka daripada seorang lelaki pemalu yang saya saksikan melalui televisyen ketika menjadi peminatnya,” katanya.

    Wanita itu menjelaskan, hantu Michael juga tidak suka bila disentuh dan mengugut akan menjelma dalam bentuk labah-labah atau mayat jika Kathleen cuba menciumnya.

    “Dia suka mengarah-arahkan orang dan mengungkit kesalahan yang saya lakukan. Saya agak mungkin dia mewarisi perangai itu daripada bapanya, jadi saya cuba tidak mengendahkannya kerana saya mencintai dia dan saya juga tidak sempurna,” jelasnya.

    Tidak diketahui mengapa Kathleen dipilih menjadi pasangan hantu tersebut sedangkan mereka tidak pernah bertemu semasa Michael masih hidup.

    Mungkin ia adalah kaitan dengan dakwaan Kathleen bahawa dia adalah jelmaan semula Marilyn Monroe.

    Sebelum ini, pernah didedahkan bahawa raja pop dunia itu meminati aktres jelita tersebut.

    Terdapat patung kaca fiber Marylin Monroe bersaiz besar di pejabat Michael di Neverland selain gambar aktres berkenaan di meja bilik tidurnya.

    “Saya rasa istimewa kerana dia memilih saya sebagai isterinya. Kami ada saat suka dan duka namun hakikatnya Michael, aku tidak dapat berhenti mencintaimu,” kata Kathleen.