Tag: helikopter terputus hubungan

  • Cuaca tidak mengizinkan, SAR helikopter hilang disambung esok

    Cuaca tidak mengizinkan, SAR helikopter hilang disambung esok

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang tadi, dihentikan sementara malam ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi akan diteruskan pada pukul 8 pagi esok, memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan menentu sejak petang hingga ke malam ini.

    Beliau berkata bagi tujuan SAR dan memantau perkembangan kes tersebut, sebuah Bilik Gerakan Operasi dibuka di Balai Polis Bidor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 pegawai dan 68 anggota terdiri daripada pasukan polis, termasuk unit udara dan Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Perhutanan.

    “Helikopter telah diterbangkan pada pukul 4 petang bagi atur gerak tugas pencarian di kawasan sempadan Hilir Perak.

    “Kita menerima maklumat orang ramai terdengar letupan di Jeram Mengkuang dan ada yang katakan helikopter terbang rendah di kawasan Kampung Kenangan, jadi Pusat Kawalan Tempat Kejadian akan didirikan esok pagi di kawasan pencarian.

     “Setakat ini kita tumpukan koordinat diberikan di Hutan Simpan Chikus dan kawasan yang diberikan maklumat oleh orang ramai. Pasukan SAR akan ‘narrow down’ kawasan pencarian pada esok hari,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bidor di sini kira-kira 70 kilometer dari Ipoh malam ini.

    Katanya identiti mangsa belum dapat dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), hanya seorang juruterbang terlibat dan tiada penumpang yang dibawa menaiki penerbangan helikopter itu.

    Difahamkan, juruterbang tersebut bukan warganegara Malaysia dan helikopter itu dipunyai seorang tokoh kenamaan bergelar Datuk.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media di sini hari ini dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu, terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor. 

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi. – BERNAMA

  • Helikopter, juruterbang terputus hubungan dengan KLATCC

    Helikopter, juruterbang terputus hubungan dengan KLATCC

    SEBUAH helikopter yang membawa seorang juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), sebelum dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan kira-kira pukul 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    “Helikopter ini sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, pada pukul 11.37 pagi.

    “Pihak CAAM dan PDRM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian ini dan kedua-dua pihak telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat  di lokasi sebenar, berdasarkan prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Stesen KTMB Ipoh, hari ini.

    Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo dengan kerjasama polis Tapah, sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat termasuk melalui laluan darat.

    “Kita doakan agar pasukan mencari dan menyelamat itu dapat maklumat yang diperlukan untuk tentukan kawasan sebenar pesawat berkenaan dan kita berharap menerima berita baik.

    “Kalau ikutkan kepada menara kawalan, radar menunjukkan pesawat itu sudah berada di atas tanah namun kita nakkan kepastian dan tidak boleh buat sebarang andaian jadi satu laporan lengkap akan dikeluarkan oleh CAAM,” katanya.

    Tambahnya, lokasi sebenar pesawat terbabit tidak dikenal pasti namun difahamkan ia berada dalam kawasan hutan dekat Bidor dan pihaknya dimaklumkan pihak PDRM sedang mengesan laluan masuk ke tempat berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi berkata berdasarkan longitud dan latitud lokasi diberikan CAAM, lokasi terakhir ia dikesan adalah berhampiran Hutan Simpan Chikus, Langkap di Teluk Intan dan pihaknya bersama polis daerah Hilir Perak dengan bantuan pihak bomba sedang giat melakukan pencarian.- BERNAMA