Tag: helikopter

  • ‘Datuk’ bebas tuduhan tipu pembelian pesawat, helikopter

    ‘Datuk’ bebas tuduhan tipu pembelian pesawat, helikopter

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, daripada dua pertuduhan menipu berhubung pembelian milikan pegangan pesawat dan helikopter berjumlah lebih RM7 juta.

    Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Ismail Hassan, 59, di akhir kes pendakwaan.

    “Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri. Wang jaminan (RM10,000) dikembalikan,” katanya.

    Dalam penghakimannya, Kamarudin berkata, mahkamah mendapati tidak wujud elemen pernyataan palsu dan niat tidak jujur oleh tertuduh di dalam pertuduhan pertama.

    “Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh tidak pernah pada bila-bila masa berjanji untuk membeli pesawat tersebut dan mengeluarkan dua cek.

    “Pembelian yang dikatakan itu datangnya daripada kehendak pengadu sendiri, seperti mana terbukti dalam rantaian perbualan WhatsApp antara tertuduh dan pengadu, yang mana pengadu ingin menjual pegangannya atas pesawat-pesawat tersebut serta desakan pengadu ke atas tertuduh.

    “Oleh itu, mahkamah melihat tidak ada apa-apa perbuatan pemerdaya atau pernyataan tidak jujur daripada tertuduh,” kata Kamarudin.

    Mengenai pertuduhan kedua, Kamarudin berkata, berdasarkan keterangan saksi, mahkamah mendapati terdapat surat dari Jabatan Insolvensi yang telah dikeluarkan kepada tertuduh, sejak 6 September 2016.

    “Surat tersebut menyatakan bahawa tertuduh dibenarkan menjalankan tugas sebagai perunding syarikat tanpa apa-apa syarat sekatan lain, namun tertuduh tidak boleh menjadi penjamin bagi pinjaman kepada syarikat itu atau mana-mana pihak.

    “Walaupun tanpa pelepasan dari seorang bankrap (muflis), namun dengan adanya surat kebenaran tersebut, ia memadai untuk tertuduh melaksanakan apa-apa perkara berkaitan perjalanan syarikat kerana ia dalam pengetahuan pihak insolvensi, yang telah menimbang dengan halus akan baik dan buruknya kemampuan serta keupayaan tertuduh, sebelum surat kebenaran menjalankan tugas itu dikeluarkan kepadanya,” Hakim Kamarudin.

    Perbicaraan kes itu bermula Mei lalu dengan 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan, manakala Ismail diwakili peguam Datuk Zainal Omar dan Ahmad Fadli Salleh.

    Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa tertuduh hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX), dengan harga RM7,092,995.

    Tertuduh telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada mangsa, sedangkan beliau mengetahui bahawa kedua-duanya tidak boleh ditunaikan.

    Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, Sentul di Kuala Lumpur pada 21 Februari 2019 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Ismail didakwa sebagai seorang muflis yang belum dilepaskan, telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 November 2017 dengan lelaki sama, bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 29 November 2017, mengikut Seksyen 109(1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    EMPAT tan bekalan makanan dihantar menerusi dua penerbangan menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, bagi membantu mangsa banjir yang terputus jalan perhubungan di Kahang, dekat Kluang.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrain Md Nor berkata penghantaran bekalan makanan itu untuk kegunaan lebih kurang 660 mangsa yang terdiri daripada pekerja ladang di Ladang Kelapa Sawit Selai dan Ladang Kelapa Sawit Enggang.

    Beliau berkata bekalan makanan itu turut dihantar kepada 240 keluarga Orang Asli melibatkan Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Pangkalan Tereh.

    “Penerbangan menggunakan helikopter jenis Agusta Westland (AW139) yang dikendalikan juruterbang Supt Mohd Fairuz Jamil dan pembantu juruterbang ASP Shahrizat Shahrudin dari Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Semenanjung PDRM.

    “Antara barang yang dihantar termasuk beras, air mineral, gula dan barangan keperluan lain, yang dijangka boleh bertahan empat hingga lima hari,” katanya dalam sidang akhbar di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, hari ini. 

    Bahrain berkata bagi penduduk Orang Asli yang lain termasuk di Kampung Orang Asli Peroh dan Pucur, penghantaran akan dilakukan melalui laluan sungai dalam masa terdekat.

    Beliau juga menambah sekiranya ada mangsa banjir yang juga terputus hubungan jalan (darat), mereka dinasihati supaya sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa terutamanya polis dan pasukan penyelamat agar usaha mengeluarkan dan memberikan bantuan dapat dilaksanakan segera.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan lebih 2,000 pekerja ladang dan penduduk di perkampungan Orang Asli di Kahang, dekat sini, terputus hubungan akibat jalan penghubung ke kawasan berkenaan ditenggelami air akibat banjir.

    Beliau berkata jumlah berkenaan membabitkan 1,700 pekerja di 14 ladang dan 647 penduduk dari enam perkampungan Orang Asli. – BERNAMA

  • Banjir: Bomba kerah dua helikopter ke kawasan terputus hubungan

    Banjir: Bomba kerah dua helikopter ke kawasan terputus hubungan

    JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan mengerakkan dua helikopter miliknya ke kawasan yang terputus hubungan akibat banjir di Pantai Timur, kata Pengarah Bahagian Operasi jabatan itu Datuk Nor Hisham Mohammad.

    Beliau berkata unit udara dikerahkan sekiranya bantuan aset darat dan air menghadapi masalah untuk ke kawasan yang terjejas akibat banjir seperti di Gua Musang, Kelantan yang terputus hubungan sejak empat hari lepas.

    “Unit udara akan digerakkan ke kawasan tersebut bagi menghantar bekalan makanan kepada mangsa yang berada di lokasi,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia di TV1 hari ini.

    Nor Hisham berkata bantuan seperti penggunaan lori muatan besar seberat 10 hingga 20 tan digunakan secara praktikal di kawasan-kawasan bandar dalam menggerakkan mangsa banjir.

    Dalam pada itu, Nor Hisham menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada berada di kawasan peranginan di negeri-negeri yang sedang menghadapi banjir.

    “Kami tidak mahu insiden seperti kepala air berlaku di kawasan peranginan dan mohon agar orang ramai tangguh percutian mereka ke negeri-negeri terjejas banjir,” katanya.

    Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi dan memantau anak-anak mereka yang berada di kawasan banjir bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. – BERNAMA

  • Helikopter bawa lima petugas kesihatan terhempas, tiga cedera

    Helikopter bawa lima petugas kesihatan terhempas, tiga cedera

    TIGA cedera apabila helikopter dinaiki lima anggota pasukan perubatan serta juruterbang terhempas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands, bersempadan Perak dan Pahang, 1.05 tengah hari tadi.

    Semua mangsa dilaporkan selamat namun mengalami kecederaan susulan pendaratan cemas yang terpaksa dilakukan juruterbang akibat cuaca buruk.

    helikopter jenis Airbus AS 355 F2 itu dikendalikan Layang Layang Aerospace Sdn Bhd,

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa menghubungi pasukan keselamatan memaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat diatur gerak ke lokasi untuk menyelamatkan mereka.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berpunca apabila helikopter dinaiki mereka mengalami masalah akibat cuaca buruk di lokasi sehingga memaksa juruterbangnya mengambil keputusan untuk melakukan pendaratan.

    “Bagaimanapun, difahamkan ketika cuba melakukan pendaratan, helikopter tersebut tersangkut pada pokok di hutan tersebut.

    “Setakat ini maklumat awal yang kami perolehi adalah semua mangsa selamat, hanya mengalami kecederaan namun tidak serius,”katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Mohd Yusri berkata, kejadian berlaku ketika helikopter yang membawa pasukan perubatan terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak daripada Lojing, Kelantan.

    “Lokasi sebenar keberadaan mereka masih belum dapat dipastikan setakat ini namun pasukan penyelamat sudah memulakan operasi mencari dan menyelamatkan semua mangsa,”katanya.

    Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2.

    Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Chester Voo berkata, helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.

    “Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat sudah digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan.

    “Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara,” katanya.

  • Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    KEPUTUSAN bedah siasat hari ini mendapati juruterbang warganegara Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus Ahad lalu, disebabkan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan ringkas berkata kecederaan itu disebabkan kemalangan aviasi.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta gagal dihubungi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Richard Chan menerbangkan Eurocopter EC120B dari Subang ke Ipoh apabila terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini jam 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA

  • Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    JUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

    “Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

    “Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.

    Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

    Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA

  • Juruterbang helikopter hilang di Bidor ditemukan selamat

    Juruterbang helikopter hilang di Bidor ditemukan selamat

    JURUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor petang semalam ditemukan selamat di sekitar lokasi kejadian, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata juruterbang itu dijumpai pada 8.20 pagi ini dan pada masa ini pasukan penyelamat sedang berusaha membawa keluar juruterbang berkenaan untuk dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

    “Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan semua yang terlibat di dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam catatan menerusi Facebooknya hari ini.

    Semalam Wee dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor. 

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata SAR dihentikan sementara malam tadi memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan tidak menentu.

    Pemerhatian Bernama mendapati operasi yang bersambung hari ini bermula seawal 7.30 pagi melibatkan lima kumpulan dan dipecahkan kepada dua sektor besar.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata operasi itu melibatkan kawasan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dan turut memfokuskan pencarian dalam radius lima kilometer di kawasan Hutan Simpan Chikus, tempat isyarat terakhir mangsa sebelum hilang.

    Ia melibatkan 10 pegawai dan 197 anggota daripada pelbagai agensi antaranya PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Perhutanan Negeri selain sebuah helikopter Unit Udara PDRM turut diterbangkan bagi mengesan mangsa.- BERNAMA

  • Helikopter, bot lama PDRM perlu diganti-Hamzah

    Helikopter, bot lama PDRM perlu diganti-Hamzah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang berbincang untuk menggantikan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk helikopter dan bot lama dengan yang baharu kerana dilihat sudah tidak sesuai dengan keadaan masa kini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, aset baharu itu amat diperlukan terutama bagi menghadapi bencana contohnya banjir yang berlaku pada setiap tahun.

    Jelas beliau, perkara itu disedari ketika pasukan beruniform berkenaan turun melakukan operasi membantu sepanjang bencana itu.

    Katanya, situasi tersebut memberi pengajaran kepada pihaknya untuk menggantikannya apatah lagi helikopter PDRM sendiri telah berusia 25 tahun yang tidak dilengkapi teknologi terkini.

    “Aset lama seperti helikopter sebagai contoh adalah aset yang kita rasa bahaya bila ada ribut petir dan hujan lebat kerana ia tidak

    mempunyai kelengkapan yang boleh bersedia dalam keadaan banjir atau bencana seperti ini.

    “Banyak aset PDRM bila dalam keadaan nak membantu ini baru kita sedar. Contohnya bot yang kita guna selama ini telah lama kita perolehi.

    “Jadi, saya ada berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha kementerian untuk kita mencari bot yang lebih sesuai dalam keadaan banjir pada masa akan datang,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di Segamat.

    Hamzah (kiri) diberikan taklimat oleh Bahrin Noh berkaitan keadaan terkini banjir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Segamat, hari ini.

    Hamzah turut melawat Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, Muar sebelum mendengar sesi taklimat berkaitan keadaan terkini bencana itu di di Segamat yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat.

    Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Segamat, Superintenden Bahrin Noh.

    Dalam pada itu, Hamzah mengumumkan peruntukan sebanyak RMM250,000 untuk membaik pulih Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air sehingga paras 2.5 meter dalam bencana banjir baru-baru ini.

    “Atas sifat prihatin KDN, saya telah bersetuju memberikan bantuan kewangan untuk baik pulih kawasan galeri bersejarah tersebut meskipun semua artifak dapat diselamatkan.

    “Walaupun kita sudah reka bentuk galeri tersebut lebih tinggi selepas mengambil kira bencana besar pada tahun 2011 lalu, namun kita perlu melihat keperluan menghadapi bencana ini pada masa akan datang,” katanya.

  • Enam helikopter MD-530G sedang jalani proses prapenghantaran

    Enam helikopter MD-530G sedang jalani proses prapenghantaran

    ENAM buah helikopter jenis MD-530G yang akan dioperasikan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sedang dalam peringkat pemeriksaan prapenghantaran (PDI), sebelum mula digunakan secara rasmi, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Beliau berkata proses PDI helikopter buatan McDonnell Douglas berkenaan adalah bagi memastikan aspek teknikal dan spesifikasi dipatuhi sepenuhnya, bagi pengoperasiannya kelak yang bertujuan mengukuhkan lagi mobiliti udara TDM.

    “Berdasarkan kepada kontrak perolehan, semua pesawat helikopter terbabit dijangka sampai ke Malaysia pada akhir tahun ini,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira ATM, di sini.

    Pada Februari lepas, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyatakan Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menerima helikopter buatan McDonnell Douglas bernilai RM321.9 juta itu, pada bulan Ogos tahun ini.

    Mengulas mengenai perancangan ATM terutamanya dalam menguruskan aset-aset pertahanan yang disifatkan agak berusia sama ada ia mencukupi untuk mempertahankan negara, Affendi berkata pihaknya mempunyai perancangan dalam perkara itu.

    “ATM mempunyai rancangan pengurusan aset-aset yang merangkumi Program Senggaraan, ‘Upgrading program’ dan Program Penggantian Aset Pertahanan, bagi membolehkan ATM menjalankan fungsi mempertahankan negara.

    “Selain itu, ATM telah memfokuskan Rancangan Pengurusan Aset kepada Tonggak 1 Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu, seperti mana yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan, di mana ATM mendapati ada kekangan terhadap keupayaan dan bilangan aset untuk menjaga keseluruhan kawasan operasi,” katanya.

    Affendi berkata ATM telah membuat perancangan operasi secara sistematik melalui aset-aset sedia ada, bagi memberikan efek pertahanan yang lebih berkesan.

    Mengulas mengenai perkembangan latihan komprehensif di prermis MD Helicopter Inc di Arizona, Amerika Syarikat bagi juruterbang dan juruteknik, Affendi berkata ATM telah menghantar seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik, untuk menjalani latihan berkenaan pada 24 April hingga 13 Ogos lepas.

    “Latihan berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran juruterbang dalam pengendalian sistem persenjataan, penerbangan taktikal dan latihan menembak pesawat, manakala latihan kru untuk penyelenggaraan pesawat, enjin dan persenjataan,” katanya.

    Dalam pada itu, Affendi berkata sejumlah lapan syarikat pengeluar telah menyatakan minat membida tender perbekalan jet latihan penggempur/jet tempur ringan (FLIT-LCA) yang telah diiklankan pada 22 Jun lalu.

    “Di antara pesawat yang terlibat adalah PAC JF-17 keluaran Pakistan Aeronautical, Hongdu L15B keluaran China National Aero-Technology, M-346 keluaran Leonardo dari Itali, Yak-130 keluaran Irkut Corporation dari Rusia dan T-7 Red Hawk keluaran Boeing dari Amerika Syarikat.

    “Tender dijadualkan akan ditutup pada 22 Sept depan dan proses tender itu masih sedang berjalan,” katanya.- BERNAMA