Tag: Hazani

  • PRU-15: PDRM keluarkan lebih 3,000 permit berkempen di seluruh negara

    PRU-15: PDRM keluarkan lebih 3,000 permit berkempen di seluruh negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 3,457 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Abdullah berkata daripada jumlah itu, 623 permit dikeluarkan di Sabah, Johor (482), Perak (413), Sarawak (372), Selangor (320), Kedah (257), Pahang (230), Negeri Sembilan (203), Melaka (162), Pulau Pinang (122), Kelantan (107), Terengganu (77),  Perlis (45) dan Kuala Lumpur (44).

    Beliau berkata pada masa sama, PDRM mengesan 177 ceramah yang tidak memiliki permit iaitu 39 di Negeri Sembilan, Perak (38), Selangor (25), Kedah (21), Kuala Lumpur (18), Johor (17), Pahang (sembilan), Terengganu (enam), Sarawak (tiga) dan Kelantan (satu).

    Mengenai kesalahan berkaitan PRU15, Hazani berkata di Johor kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki membakar dan membaling mercun terlarang jenis ‘Cake Repeater 138 Shot’  di bahagian belakang pentas tapak kawasan ceramah Parti Pakatan Harapan (PH) di Jalan Bistari 4/1, Taman Yayasan, Segamat.

    “Suspek ditahan kerana mercun dibakarnya boleh membahayakan orang ramai yang hadir mendengar ceramah PH berkenaan dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hazani berkata kes kedua pula melibatkan seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan mabuk telah membuat provokasi dengan mematahkan kayu dan membuang bendera Barisan Nasional (BN) di tepi Jalan JB Air Hitam berhadapan sebuah bank di Taman Senai Utama, Senai.

    Beliau berkata kes ketiga di Pulau Pinang, melibatkan seorang lelaki tempatan disyaki memeras ugut pengadu yang ingin memasang bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam di kawasan Parlimen Bukit Bendera.

    “Suspek mendakwa bahawa kawasan Ayer Itam adalah kawasan jajahan di bawahnya jika mahu  pasang bendera perlu membuat bayaran.

    “Jika tidak suspek akan mengganggu dan minta konco-konconya membuat kacau di kawasan terlibat,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    Bagi kes keempat di Kelantan, seorang pengadu yang berada di Dewan Jeram Tekoh, Gua Musang, telah membuka aplikasi WhatsApp Group ‘Anak Muda Tolak Kuli P32’ dan mendapati ada seorang peserta dikenali sebagai Aznan Rosmadi telah memuat naik gambar kertas undi.

    “Kertas undi berkenaan memaparkan nama parti dan calon yang bertanding di Parlimen Gua Musang. Pengadu musykil bagaimana kertas undi berkenaan diperoleh dan tujuan ia dimuat naik dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.

    Selain itu, PDRM turut membuka 22 kertas siasatan di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan PRU15 antaranya di Sarawak, Sabah dan Selangor yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

    Di SARAWAK, bertempat di pejabat DAP Cawangan Sarikei, seorang pengadu memaklumkan pekerja dikenali dengan nama panggilan ‘Tengki’ mengatakan di sepanjang Jalan Masjid Lama Sarikei, bermula  daripada sebuah farmasi hingga hadapan Jalan Sugarbun, Sarikei bendera parti DAP telah dipatahkan lebih kurang 30 batang oleh individu tidak dikenali.

    Di SABAH, bertempat di Kampung Kolapis Laut, Beluran, seorang pengadu mendapat makluman daripada ahli parti Warisan bahawa terdapat tiang bendera parti itu telah dirosakkan anggaran empat tiang yang diletakkan di laluan pejalan kaki tepi jalan Taman Arif.

    Hazani berkata pengadu tidak pasti motif atau tujuan serta individu yang melakukan perkara berkenaan.

    “Siasatan di lokasi kejadian mendapati beberapa tiang bendera jenis paip PVC berwarna putih telah dirosakkan.

    “Terdapat  beberapa bendera parti berkenaan berada di atas tanah dan jalan raya manakala tempat kejadian adalah gelap dan lampu jalan tidak berfungsi,” katanya sambil menambah tiada saksi berhubung kejadian itu.

    Di SELANGOR, bertempat di Kajang, seorang pengadu membuat laporan polis telah melihat bendera BN yang diletakkan di hadapan rumah kawasan parkir telah dirosakkan dengan dikoyakkan dan cubaan mencabut ikatan buluh.

    Hazani berkata pengadu mengesyaki ada pihak tidak bertanggungjawab dan mempunyai hasad dengki.

    “Perbuatan ini boleh menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati di mana perlu menghormati sensitiviti jiran dan parti yang disokong setiap individu,” katanya.

    Sementara itu, di JOHOR BAHRU, polis telah membuka tiga kertas siasatan berkaitan kesalahan sempena PRU 15 di negeri ini, setakat semalam.

    Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Supt Ibrahim Mat Som berkata tiga kertas siasatan yang dibuka, akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Katanya, sebanyak 477 permohonan permit ceramah oleh parti politik bertanding bagi kempen PRU15 telah pun diluluskan, setakat ini. – BERNAMA

  • 4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu iaitu seorang di Selangor dan tiga di Sarawak kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata PDRM juga telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan PRU15.

    Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.

    Selain itu adalah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPA) 2016, Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan Seksyen 24(A)(2) Akta Pilihan Raya 1954.

    Hazani berkata antara yang dibuka kertas siasatan itu adalah dua di Selangor mengikut Seksyen 500 KK, Seksyen 447 KK, Seksyen 233 AKMM 1998 dan Seksyen 143(1) PPPA 2016, satu di Pulau Pinang mengikut Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan satu di Pahang di bawah Seksyen 506 KK.

    Hazani berkata bagi permit ceramah pula, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 289 permit iaitu 52 permit di Perak, Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), Pahang dan Melaka masing-masing (14), Terengganu (tujuh), Kelantan (enam), Perlis (tiga) dan Kuala Lumpur (dua).

    “Sebanyak 19 ceramah tidak berpermit dikesan, dengan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, Perak (lima), Pahang (satu), dan Terengganu (dua),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA