Tag: Hawk

  • Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga Kapten Affendi

    Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga Kapten Affendi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Hawk 108, di Butterworth malam tadi.

    Beliau turut mendoakan Mejar Mohd Fareez Omar, juruterbang yang tercedera dalam nahas yang sama cepat sembuh dan diberi kesabaran serta kekuatan menghadapi ujian ini.

    “Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham Kapten Mohamad Affendi ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta diangkat darjatnya dan dimuliakan di sisi Allah SWT. Amin.

    “Semoga ahli keluarga dua wira negara ini tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

    “Saya juga berharap agar siasatan terperinci dapat dilakukan secepat mungkin oleh pihak berwajib berhubung kejadian ini.

    “Marilah kita bersama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham Mohamad Affendi,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.

    Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa (16 Nov) itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

    Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

  • TUDM tubuh jawatankuasa siasat nahas pesawat Hawk

    TUDM tubuh jawatankuasa siasat nahas pesawat Hawk

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM malam tadi.

    Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, siasatan akan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk operasi dan latihan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, adalah terlalu awal untuk membuat keputusan menggantung penggunaan pesawat jenis berkenaan semasa siasatan.

    Ikmal Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan 15,000 kotak makanan daripada badan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia di Pangkalan Udara Subang.

    Nahas pesawat pejuang Hawk 108 pada kira-kira pukul 10.07 malam tadi mengakibatkan juruterbang TUDM Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera.

    Mohd Fareez sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam hantaran Facebook berkata, Ikmal Hisham telah menyempurnakan Perasmian Penyerahan 15,000 Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2021 di Pangkalan Udara TUDM, Subang.

    Dalam majlis berkenaan, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Kementerian Pertahanan telah menerima sumbangan sebanyak 15,000 kotak bekalan makanan daripada pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew menerusi pertubuhan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia.

    Sumbangan ini merupakan sumbangan fasa ke-2 setelah fasa pertama serahan berjumlah 10,000 kotak telah disempurnakan pada 27 Ogos 2021 di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.

    Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM merupakan kesinambungan daripada Program MINDEF PRIHATIN yang merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bertujuan dalam membantu meringankan beban warga pertahanan termasuk Veteran ATM dan keluarga yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

    Kementerian Pertahanan sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM serta tanggungan.

    Program seumpama ini dilihat sebagai salah satu langkah yang signifikan oleh JHEV ATM dalam menyokong usaha kerajaan dalam membantu Veteran-veteran ATM dan balu yang terjejas.

  • TUDM jalankan siasatan terperinci punca nahas Hawk

    TUDM jalankan siasatan terperinci punca nahas Hawk

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci termasuk berkaitan aspek teknikal berhubung kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, di sini malam tadi.

    Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan segera.

    “Kami akan jalankan siasatan teknikal secara terperinci, setakat ini yang lain, saya tidak dapat komen,” katanya kepada pemberita ketika berada di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi melawat mangsa nahas yang cedera dalam kejadian itu, di Butterworth awal pagi ini.

    Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa (16 Nov) itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

    Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Unit Forensik dan Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya di sini, mendapati beberapa anggota polis dan TUDM berada di perkarangan hospital seawal 8 pagi.

    Bagaimanapun waris dan anggota keluarga terdekat mangsa masih belum kelihatan dan perkarangan hospital didapati dikawal ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Difahamkan pihak hospital akan melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa nahas pada pukul 9 pagi hari ini.

    Berikut adalah kronologi insiden membabitkan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1996.

    • 18 Jun 1996 — Pesawat pejuang Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan berhampiran Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.
    • 23 Julai 1996 — Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan. Dua juruterbang terselamat.
    • 10 Sept 1998 — Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 yang dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 200 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan.
    • 2 Okt 2000 — Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.
    • 18 Dis 2003 — Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.
    • 23 Jun 2005 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, mengorbankan juruterbangnya.
    • 4 Mei 2007 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.
    • 15 Jun 2017 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat itu terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
    • 16 Nov 2021 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang pada 10.07 malam. Seorang juruterbang terselamat manakala seorang lagi terkorban. – BERNAMA