Tag: Hassan Karim

  • Bukan ‘pak turut’, kejujuran MP Pasir Gudang resahkan pimpinan PKR

    Bukan ‘pak turut’, kejujuran MP Pasir Gudang resahkan pimpinan PKR

    AHLI Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim mendakwa pandangan jujurnya mengenai kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meresahkan beberapa pemimpin parti berkenaan.

    Beliau berkata, ada pihak menghantar mesej memintanya “lebih mengawal diri kerana PKR kini kerajaan”.

    “Walaupun saya faham kebimbangan mereka, sukar untuk saya menahan diri atas perkara membabitkan prinsip. Kita memerlukan kejujuran politik,” kata penyokong kerajaan perpaduan itu yang lantang bersuara menurut laporan Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Hassan menegaskan bahawa penggal ini adalah yang terakhir baginya sebagai Ahli Parlimen.

    Katanya, beliau bimbang “salah langkah” boleh merugikan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

    Dalam gesaan terbarunya terhadap Pakatan Harapan (PH), Hassan berkata, gabungan itu berisiko ditolak pengundi jika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diampunkan dan tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi digugurkan.

    “Mana-mana senario itu akan menjadi malapetaka buat kerajaan,” katanya.

    Hassan, yang mengenali Anwar selama lebih setengah abad, berkata, “Saya tidak pernah jadi pak turut, dan tidak akan pernah jadi sebegitu.”

    Beliau berkata: “Saya berada di barisan hadapan semasa protes Baling sebagai pemimpin pelajar yang diketuai oleh Anwar pada 1974.

    “Selepas itu, saya mengetuai protes setinggan di Johor Bahru, apabila mereka menahan saya. Saya dibuang dari Universiti Pertanian Malaysia dan biasiswa saya ditarik balik.

    “Ketua Cawangan Khas kemudiannya berkata, saya boleh mendapatkan semuanya kembali jika saya sanggup mengaku dalam siaran langsung di TV bahawa saya telah digunakan oleh anasir subversif untuk mencetuskan pemberontakan.

    “Saya berfikir sejenak, kemudian beredar. Mengapa saya perlu berbohong?”

    Hassan yang juga seorang peguam berkata, beliau tidak takut menyuarakan pandangannya ketika itu dan tidak akan berhenti melakukannya sekarang, walaupun itu diinginkan beberapa pemimpin parti.

    “Jika kita tidak bersuara apabila parti dalam haluan yang memudaratkan, kita akan menganiaya rakyat yang percaya kepada kita. Jadi, saya akan buat apa yang perlu untuk negara,” katanya.

  • Pembangkang jangan jadi ‘budak nakal’ kritik PM

    Pembangkang jangan jadi ‘budak nakal’ kritik PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menjadi ‘budak nakal’ yang terus mengganggu Perdana Menteri dalam atau luar Parlimen.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibiarkan mengurus negara dengan tenang dan PH tidak perlu mencampuri urusan Perdana Menteri.

    “Blok pembangkang khususnya PH tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat tak tentu hala Perdana Menteri yang baru sahaja dilantik ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Beliau berkata, PH juga tidak seharusnya ‘mencampak’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal dalam persaingan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.

    Katanya, khidmat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu masih diperlukan PH terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, desakan supaya Anwar meletak jawatan dan memilih orang lain untuk memimpin PH adalah tidak wajar.

    “Ini semua ‘nonsense’. Cakap-cakap seperti itu datang dari ‘deep state’ iaitu musuh PH yang memang hendak menghancurkan PH dan Anwar.
    Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia tunduk terhadap tututan kluster mahkamah daripada UMNO.

    “Anwar tidak berkompromi. ‘Rule of law’ atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati. Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap dan pendirian tegas Anwar,” katanya.

  • Hassan sedih Anwar masih gagal jadi PM

    Hassan sedih Anwar masih gagal jadi PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim sedih dan hiba apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal menjawat jawatan Perdana Menteri sehingga kini.

    Belia pasti perasaan tersebut dirasai dan dikongsi ribuan rakyat yang menjadi penyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

    “Tetapi perjalanan masa merawat kesedihan dan hiba. Kehidupan perlu diteruskan, perjuangan mesti bangkit semula setiap kali menempuh kekalahan dan kegagalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    Kelmarin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.

    Keputusan itu ditetapkan Agong selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat dan beliau bakal mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri kesembilan semalam.

    Hassan berkata, secara peribadi persaingan Anwar dan Ismail Sabri dalam pemilihan Perdana Menteri kesembilan amat personal bagi dirinya.

    Katannya, ini kerana kedua-dua calon Perdana Menteri itu rakan baiknya dan keadaan tersebut membuatkannya sukar membuat pilihan.

    Apatah lagi katanyanya, Ismail Sabri adalah bekas anak muridnya ketika Tingkatan Enam.

    “Bukan itu sahaja, beliau adalah kawan duduk serumah ketika seorang mahasiswa dan saya seorang guru kolej swasta di Kuala Lumpur. Saya rapat dengan keluarga Ismail Sabri.

    “Jadi pada hari Selasa 17 Ogos lalu saya terpaksa memilih antara Anwar Ibrahim, pemimpin saya dan Ismail Sabri, calon Perdana Menteri parti lawan saya.

    “Saya tidak teragak-agak telah memilih Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kesembilan kerana saya percaya beliau boleh memberi kepimpinan untuk selamatkan Malaysia dan rakyatnya dalam melawan pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau memilih Anwar juga kerana percaya dapat membawa negara keluar daripada kemunduran ekonomi, membina negara yang demokratik dan adil untuk seluruh rakyat dari pelbagai kaum dan agama.

    “Sebagai seorang sahabat, bekas guru dan rakan serumah, saya telah mengirim ucapan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri,” katanya.